fbpx

Paranoid Terhadap Perunding Pewarisan Dan Takaful

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Paranoid Isu Pewarisan

Definisi paranoid di dalam kamus dewan edisi keempat menjelaskan bahawa ia adalah satu perasaan terlalu curiga, takut atau tidak percaya terhadap orang lain. Isu ini bukanlah sesuatu yang baru timbul bahkan pelbagai persepsi wujud dalam masyarakat kita.

Perkara ini saya sendiri tidak mengetahui mendalam sehinggalah saya terjun ke lapangan. Pelbagai kisah benar daripada masyarakat kita berkaitan dengan harta yang membimbangkan. Saya ingin berkongsi kisah benar yang pernah saya lalui.

Kisah Benar 1

Arwah (isteri) meninggal dunia dan meninggal beberapa harta termasuk duit di dalam ASB dan Tabung Haji. Semasa hidup, arwah melantik suami sebagai penama dan duit tersebut dapat kepada suami. Namun apa yang terjadi adalah suami ambil keseluruhan duit tersebut tanpa difaraidkan kepada waris lain.

Kisah Benar 2

Arwah anak melantik ibu sebagai penama KWSP semasa awal pekerjaan dan ketika itu masih bujang. Arwah lupa untuk tukarkan penama kepada isteri. Setelah berlaku kematian, ibu arwah mengambil keseluruhan KWSP tanpa difaraidkan.

Kisah Benar 3

Arwah meninggalkan harta dan hutang. Setelah berlaku kematian, hutang arwah terpaksa ditanggung oleh arwah isteri disebabkan harta telah diambil oleh waris-waris lain sebelum melunaskan hutang tersebut.

Kisah di atas adalah antara koleksi kisah benar yang saya lalui sendiri. Tidak diceritakan lagi tentang harta yang tidak diurus langsung oleh waris, waris yang bercelaru nasab, waris hilang, kes poligami yang tidak didaftarkan dan sebagainya.

Demikianlah kisah-kisah benar, maka timbul persoalan adakah semua ini salah hibah, wasiat, takaful dan sebagainya seperti yang dinyatakan di dalam status di bawah?

Persoalan Dan Penjelasan

Pernyataan oleh guru saya di dalam status di atas perlu dijelaskan. Ada perkara yang betul dan ada perkara yang kurang tepat. Penjelasan ini tidaklah mengurangkan sedikitpun rasa hormat kepada guru saya. Apapun, saya ingin jelaskan sudut pandang saya setelah berkecimpung di dalam bidang ini.

Perenggan Pertama

Pernyataan: “Kenapa ramai perunding…… selalu mengambarkan kehidupan berkeluarga dipenuhi permusuhan… sesama waris”.

Realiti: Itulah yang berlaku di dalam masyarakat kita apabila rata-rata kes pusaka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, bahkan mengambil masa bertahun-tahun sehingga berlaku kematian kepada waris pula. Jika realiti tiada masalah pusaka, mengapa wujudnya harta beku berbilion pada hari ini dan 9/10 adalah umat Islam kita.

Seperti yang saya nyatakan, tidak dinafikan wujudnya ahli keluarga yang harmoni dan tiada masalah dalam pengurusan pusaka. Namun dengan kejahilan umat Islam pada hari ini ditambah pula fitrahnya sukakan harta, maka isu masalah pewarisan harta akan timbul. Tuan puan boleh baca salah satu kajian tentang hal ini:

Disebabkan isu pewarisan ini sering terjadi, maka wujudlah perkhidmatan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sepertimana wujudnya masalah kereta, maka wujudlah bengkel kereta, wujudnya masalah rumah, maka wujudnya tukang baiki rumah.

Perunding perkhidmatan hibah, wasiat, takaful dan seumpamanya menggunakan isu pewarisan untuk menarik masyarakat supaya mengambil langkah awal untuk mengelakkan masalah pusaka.

Perenggan Kedua

Maka pernyataan seterusnya timbul: “……. mekanisma yang diletakkan syarak iaitu faraid adalah sama sekali gagal sebaliknya ….. perlu campur tangan menentukan siapa yang bakal perolehi..”.

Sebagai orang yang beriman dengan segala apa yang disyariatkan wajib kita imani dan yakini bahawa faraid adalah satu penyelesaian daripada Allah untuk menyelesaikan masalah pusaka. Ia adalah pembahagian yang adil lagi saksama.

Namun, adakah perlu kita campur tangan pembahagian tersebut untuk menentukan siapa yang bakal perolehi? Hal ini telah saya kongsi di dalam perkongsian lalu. (Tekan sini)

Mekanisma faraid, hibah dan wasiat ada timeline tersendiri. Faraid wujud selepas berlaku kematian. Hibah berlaku semasa hidup. Wasiat berlaku masa hidup tetapi berkuatkuasa selepas kematian. Ini bermakna situasi penggunaan mekanisma faraid, hibah dan wasiat berbeza keadaannya.

Pernyataan: “…… perlu campur tangan …”. Apabila berlaku kematian, semestinya faraid berkuatkuasa dan hibah mustahil berlaku ketika itu. Begitu juga semasa hidup, pembahagian faraid tidak wujud kerana rukun pewarisan ialah mesti berlaku kematian kepada pemilik harta.

Hakikatnya tiada campur tangan kerana pemberian masa hidup adalah pilihan mutlak pemilik harta untuk berikan kepada siapa yang dikehendaki termasuk hibah, wasiat, wakaf dan sebagainya. Kemudian, pembahagian selepas mati pula tiada campur tangan kerana kewajipan beriman dengan hukum faraid.

Sekiranya ada pihak mengatakan ada campur tangan, maka pihak tersebut telah menceroboh apa yang sepatutnya. Sebagai contoh, menghibahkan bukan hartanya, membahagikan harta mengikut faraid sedangkan pemilik masa hidup, membahagikan selain faraid sedangkan waris tidak bersetuju dan sebagainya.

Pernyataan: “….menentukan siapa yang bakal perolehi..” adalah kenyataan ini adalah untuk wasiat. Ini kerana penentuan masa hidup dan hak milik berpindah selepas kematian adalah wasiat. Oleh itu, mekanisma hibah tidak menentukan siapa yang bakal perolehi, bahkan ia menjadi hak milik penerima semasa hidup lagi.

Mungkin kenyataan tersebut ingin memberitahu mengapa perlu membuat hibah, wasiat, takaful? Erti kata lain, mengapa perlu buat perancangan harta?

Maka saya jawab dengan peribahasa kita yanag menyatakan, “Sediakan payung sebelum hujan”. Analogi mudah, mengapa kita bawa powerbank sedangkan bateri telefon kita masih penuh. Semestinya kita akan jawab, “Saya sediakan powerbank supaya jika bateri habis nanti, saya boleh guna”.

Perenggan Ketiga

Pernyataan: “Adakah institusi keluarga hari ini terlalu teruk…….kita mensensasikan cerita-cerita untuk meraih keuntungan”.

Respon saya terhadap institusi kekeluargaan hari ini adakah terlalu teruk? Kes perceraian meningkat, kes pengabaikan anak-anak meningkat, kes anak luar nikah meningkat, kes dera meningkat dan sebagainya. Data yang dikongsikan oleh Channel New Asia berkenaan perceraian:

Saya tidak pasti betapa teruknya institusi kekeluarga, tetapi data yang dikongsikan kepada kita semua merunsingkan kita semua. Apabila kes kekeluarga semasa hidup pun akan membimbangkan, bagaimana urusan selepas kematian? Ini kerana pengurusan harta selepas kematian ada hubung kait perjalanan arwah semasa hidup.

Sebagai contoh, semasa hidup arwah, arwah telah berkahwin secara sembunyi. Setelah kematian, muncullah isteri kedua dan anak-anak arwah. Pergaduhan sesama waris berlaku dan urusan pusaka tidak dapat diteruskan. Disaat begitu, siapakah yang boleh mendamaikan?

Faraid tidak salah dan ia satu penyelesaian daripada Allah untuk menyelesaikan pembahagian pusaka. Sebelum ke tahap pembahagian, urusan pusaka tidak dapat diteruskan dek perbalahan yang timbul. Hakikatnya faraid tidak dapat dilaksanakan kerana pihak-pihak waris tenggelam dalam emosi masing-masing.

Itu baru satu situasi yang telah terjadi di dalam masyarakat kita. Adakah kisah-kisah begini perlu disensasikan? Dari satu sudut, ia perlu didedahkan untuk memberi kesedaran kepada individu yang sama situasi untuk membuat tindakan awal untuk elakkan masalah tersebut.

Sebagai contoh, si A mempunyai 2 isteri dan mempunyai 2 rumah yang berasingan, lalu dihibahkan kepada setiap seorang isteri rumah tersebut. Maka isu pewarisan disitu tidak timbul kerana rumah tersebut telah menjadi hak milik isteri. Ini kerana jika tidak dihibahkan, maka kedua-dua rumah ada hak milik kedua-dua isteri. Implikasinya, kemungkinan besar isteri-isteri bergaduh.

Tindakan suami menghibahkan setiap seorang isteri sebuah rumah tidaklah bercanggah dalam syarak dan bukanlah berniat untuk lari daripada faraid tetapi untuk mendamaikan antara isteri-isterinya. Bahkan disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

“تَهَادَوْا تَحَابُّوا”

Maksudnya: “Saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai.”

Pernyataan: “…… untuk meraih keuntungan” adalah satu kenyataan yang berat. Ia seakan-akan memberitahu bahawa perunding-perunding menunggang isu untuk mendapatkan habuan dunia.

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh perunding-perunding adalah persediaan awal seseorang terhadap hartanya. Ini kerana hibah, wasiat dan faraid pada zatnya tidak memerlukan dokumentasi pun. Jika ia memenuhi rukun dan syarat, maka terlaksanalah ia.

Sebagai contoh hibah. Rukun hibah ialah pemberi, penerima, harta hibah dan ijab qabul serta satu syarat hibah iaitu qabd (penyerahan hak). Sekiranya memenuhi kesemuanya, maka terlaksanalah hibah. Namun, apakah yang ditawarkan oleh perunding berkaitan hibah dan wasiat?

Yang ditawarkan adalah dokumentasi. Erti kata lain, ia adalah bukti untuk mekanisma yang dilakukan. Jika berlaku konflik, maka dokumen tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

Adakah penyediaan dokumentasi itu satu bentuk meraih keuntungan? Realitinya jika kita ingin masuk tandas sekalipun, kita perlu bayar sedikit untuk perkhidmatan yang ditawarkan. Inikan pula apabila ia melibatkan undang-undang, semestinya memerlukan kos untuk perkhidmatan tersebut.

Andai kata kita mengatakan dokumentasi tersebut meraih keuntungan, maka kita boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa atau kita usahakan sendiri tanpa mengikut prosedur yang betul. Namun, adakah tindakan tersebut menyelesaikan masalah? Baiki kereta pun kita akan serahkan kepada pomen, inikan urusan berkaitan undang-undang!

Perenggan Keempat

Pernyataan: “Nampak seakan-akan faraid yang diletakkan syarak untuk menyelesaikan masalah akhirnya bertukar dianggap halangan utama…..yang bersusah payah mempromosikan helah-helah mengubah hukum faraid”.

Realiti: Setiap orang sememangnya ada hasrat untuk berikan hartanya kepada seseorang yang disayangi atau disukai. Maka itu adalah fitrah manusia untuk berbuat demikian. Jika kita memikirkan bahawa pemberian semasa hidup itu satu helah untuk lari daripada faraid, maka kita katakan wakaf, hadiah, sedekah dan sebagainya juga satu jalan untuk lari daripada faraid.

Ini kerana kita membuat pemindahan harta kepada orang lain semasa hidup. Eloknya kita simpan semua harta untuk difaraidkan selepas kematian. Itukah yang dimaksudkan untuk mengelak daripada berhelah mengubah hukum faraid?

Saya sendiri sebagai perunding tidaklah mempromosikan bahaawa hibah adalah satu-satunya cara untuk elakkan masalah pewarisan. Jika ada perunding berbuat sedemikian, saya berlepas diri daripada perbuatan tersebut.

Rata-rata apabila saya bertanya kepada prospek, mereka ada hasrat hati untuk menghibahkan beberapa hartanya untuk ahli keluarga tersayang. Cuma ada sesetengahnya membuat tindakan yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, hibah mulut sahaja tanpa ada bukti hitam putih, wasiat kepada anak angkat tetapi caranya salah.

Tindakan tersebut sah disisi syarak setelah memenuhi rukun dan syarat tetapi ia akan timbul masalah kemudian hari jika tidak dapat dibuktikan. Maka muncullah perkhidmatan dokumentasi hibah, wasiat dan sebagainya untuk memudahkan pengesahan dan pengurusan.

Adakah kita kata dokumentasi tersebut salah satu helah? Jauh sama sekali jika kita mengatakan sedemikian. Dari segi zahirnya, maka kita mengatakan bahawa dokumentasi hibah adalah satu perkhidmatan untuk memudahkan turun milik kepada penerima.

Sekiranya ada pihak yang menggunakan instrumen yang wujud untuk lari daripada faraid, maka saya bersetuju dengan pernyataan di atas bahawa ia adalah satu helah. Namun, kita tidak boleh menghukum secara menyeluruh bahawa perkhidmatan tersebut adalah satu helah.

Perenggan Kelima

Allah berfirman di akhir ayat 11 berkenaan hukum faraid:

لا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِّنَ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Bermaksud: “Kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Benarlah firman Allah taala. Sesungguhnya kita tidak mengetahui waris kita yang lebih banyak memberikan manfaat kepada kita selepas berlaku kematian. Waris yang kita tidak berapa rapat masa hidup, lalu kita tidak memberikan hibah kepadanya, namun dialah yang lebih banyak mendoakan kita. Begitu jugalah sebaliknya, waris yang kita rapat, lalu kita berikan banyak harta kita kepadanya, hakikatnya dia tidak memberikan manfaat pun selepas kematian.

Bagi saya, pemberian hibah semasa hidup hendaklah berpaksikan keadilan. Keadilan di sini bukanlah bermakna sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka atas kebijaksanaan pemilik harta untuk hibahkan atau wasiatkan kepada seseorang individu.

Kesimpulan

Kesempatan ini, saya mengingatkan diri saya dan juga perunding-perunding di luar sana supaya berpada-pada dalam mempromosikan hibah. Bukan semua orang memerlukan mekanisma tersebut. Jangan kita melihatkan hibah satu-satu solusi dalam masalah pewarisan harta, tetapi meraikan semua mekanisma yang ada dan meletakkan pada tempat yang betul.

Jika ada prospek ingin membuat perancangan harta dengan berniat untuk lari daripada faraid, maka kita sebagai perunding untuk menjelaskan perkara sebenarnya dan memberitahu tindakan tersebut adalah salah.

Sudah pasti setiap orang, maka lain keperluannya dalam perancangan harta. Ada prospek yang hanya memerlukan khairat pusaka sahaja. Ada prospek yang memerlukan dokumentasi hibah dan juga wasiat. Ada prospek yang memerlukan perkhidmatan pengurusan pusaka. Begitulah seterusnya yang boleh kita lihat perkhidmatan yang ditawarkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad lebih 40 produk untuk menyelesaikan masalah prospek.

Ingat! Faraid adalah satu mekanisma yang ditetapkan syarak adalah adil lagi saksama. Namun, pelaksana kepada hukum tersebut yang tidak melaksanakannya dengan betul. Maka perbetulkan tindakan kita supaya hukum faraid dalam tertegak. Sehubungan dengan itu, hibah dan wasiat adalah mekanisma untuk memindahkan harta semasa hidup, namun kita sebagai pemberi hendaklah melaksanakannya selari dengan syariat dan juga undang-undang.

Semoga perkongsian dan penjelasan kali memberikan pencerahan kepada semua. Jika ada pandangan yang lain, mohon kemukakan di ruangan komen. Jika tuan puan ada hasrat dalam merancang harta, maka bolehlah hubungi Abu Nuha untuk review dan membuat tindakan yang sesuai.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?