fbpx

Penjelasan: Adakah Kanak-kanak Boleh Menghibahkan Hartanya?

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Hibah Kanak-Kanak Yang Tidak Mumayyiz

Jika kanak-kanak yang tidak mumayyiz memberi hibah, hibahnya tidak dianggap sah, tidak menghasilkan kewajipan atau tanggungan, dan ini disepakati oleh para ulama.

Dalil-dalil
  1. Ayat Al-Quran: Firman Allah Ta’ala: “Jika mereka dengan senang hati memberi sebahagian daripadanya kepada kamu, maka makanlah (ambil dan gunakanlah) dengan baik (halal dan suci).” (Surah An-Nisa: 4) Di sini, perpindahan pemilikan dengan hibah bergantung pada kerelaan yang dianggap sah, yang mana tidak terdapat pada kanak-kanak yang tidak mumayyiz.
  2. Ayat Al-Quran: Firman Allah Ta’ala: “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya (sufaha) harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu).” (Surah An-Nisa: 5). Menurut Imam At-Tabari: “Yang betul dalam menafsirkan ayat ini adalah Allah Ta’ala melarang memberi harta kepada sesiapa sahaja yang tidak sempurna akalnya, tidak kira sama ada kanak-kanak kecil atau orang dewasa.”
  3. Hadis Nabi: Riwayat Imam Ahmad daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Diangkatkan pena daripada tiga golongan: daripada orang tidur sehingga dia bangun, daripada kanak-kanak sehingga dia baligh, dan daripada orang gila sehingga dia berakal.”
  4. Logik: Kanak-kanak pada awal usianya tidak mempunyai kebijaksanaan, sama seperti orang gila, malah mungkin lebih rendah lagi kerana orang gila mungkin mempunyai sedikit kebijaksanaan walaupun tidak berakal, sedangkan kanak-kanak yang tidak mumayyiz langsung tidak mempunyai kebijaksanaan.
  5. Kemaslahatan: Kanak-kanak yang tidak mumayyiz tidak mencapai kemaslahatan dengan tindakannya; membenarkan akad yang dikeluarkannya akan menyebabkan kehilangan hak dan hartanya.

Hibah Kanak-Kanak Yang Mumayyiz

Pendapat Pertama

Tidak Sah Hibah Kanak-Kanak Yang Mumayyiz.

Jika kanak-kanak yang mumayyiz memberi hiba, hibanya tidak sah, dan izin wali tidak memberi kesan. Walaupun wali mengizinkan kanak-kanak untuk memberi hibah, ia tidak mengubah hukum. Ini adalah pendapat kebanyakan ulama: Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali.

Dalil-Dalil
  1. Kanak-kanak yang mumayyiz dihalang demi kepentingan dirinya, maka hibahnya tidak sah.
  2. Kanak-kanak adalah golongan yang patut dikasihani dan dijaga, bukan yang diizinkan untuk membahayakan diri mereka, dan Allah Ta’ala Maha Penyayang tidak mensyariatkan sesuatu yang membahayakan mereka, termasuk ketidakabsahan hibah mereka.
  3. Kuasa wali adalah untuk menjaga kepentingan kanak-kanak, bukan untuk membenarkan sesuatu yang merugikan mereka seperti hibah.
  4. Mengkiaskan hibah kanak-kanak yang belum baligh dengan talaqnya; kedua-duanya menghasilkan mudarat kepada kanak-kanak dan hartanya.
Pendapat Kedua

Sahnya Hibah Kanak-Kanak Yang Mumayyiz.

Dalil-Dalil

Pendapat ini merupakan riwayat daripada Imam Ahmad, dengan hujah mengkiaskan kepada sahnya pengampunan kanak-kanak.

    Bantahan

    Tidak dapat menerima asas qiyas tersebut kerana ia merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para ulama.

    Pandangan Yang Dipilih:

    Yang rajih – Allahu a’lam – bahawa hibah kanak-kanak yang mumayyiz tidak sah; berdasarkan kekuatan dalil jumhur dan kelemahan dalil pendapat kedua dengan penolakannya.

    Hibah Kanak-Kanak Mumayyiz Bagi Perkara Kecil

    Pendapat yang sahih dalam mazhab Hanbali: Sahnya tindakan kanak-kanak yang mumayyiz dalam perkara kecil, seperti membeli roti atau menjual gula-gula, dengan alasan bahawa ketakutan kehilangan harta tidak terdapat dalam perkara kecil.

    Penutup

    Alhamdulillah, berakhirlah terjemahan dan ringkasan yang dibuat berdasarkan penulisan Dr Khalid. Tuan puan boleh tekan di sini untuk bacaan asal. Semoga bermanfaat.

    Langgan Informasi

    Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

    Leave a Comment

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Scroll to Top
    Perlukan Solusi?