fbpx

Penjelasan: Bolehkah Hibah Semua Harta?

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Penjelasan

Realiti yang berlaku pada zaman kini apabila keluarga sendiri meragui satu sama lain. Banyak kali saya mendengar kisah benar daripada kenalan terdekat bahawa mereka tidak mempercayai adik beradik sendiri boleh menjaga kebajikan anak-anaknya sekiranya berlaku kematian.

Bagi saya, mereka lebih mengenali keluarga mereka bagaimana perangainya. Sudah pasti mereka sudah boleh menjangkakan apa yang bakal terjadi selepas ketiadaan mereka di dunia ini. Oleh itu, perancangan harta menjadi asbab memulakan tindakan yang sewajarnya.

Persoalan

Timbul soalan, adakah dibolehkan menghibahkan keseluruhan harta kepada suami/isteri atau anak-anak?

Hal ini saya sudah jawab di dalam perkongsian lalu, cuba kita khususkan dalam perkongsian kali. Asasnya, semasa hidup harta tuan puan, maka ia adalah hak milik tuan puan. Ini bermakna tuan puan boleh buat apa sahaja dengan harta tersebut. Tuan puan nak waqafkan kepada masjid, badan kebajikan dan sebagainya. Tuan puan nak sedekahkan, hadiahkan atau hibahkan harta kepada semua yang tuan puan kehendaki, maka tiada halangan untuk berbuat demikian.

Tiada istilah tuan puan larikan hak orang lain sekiranya pemberian tersebut adalah hak tuan puan sepenuhnya dan niat tersebut menepati apa yang dihasratkan. Namun begitu, jika ada niat tersembunyi dengan tujuan sebaliknya sebagai contoh untuk lari daripada faraid. Walaupun faraid belum wujud, namun niat tersebut pada perkara yang bakal terjadi, maka ia dilarang di dalam agama.

Perbuatan “menghibahkan” “mewaqafkan” “menghadiahkan” dan sebagainya tidaklah salah. Yang salah adalah niat yang menyimpang daripada apa yang digariskan oleh syarak. Tuan puan menghibahkan harta kepada orang yang tersayang atas dasar kasih sayang, atas dasar menjaga kebajikan dan sebagainya adalah tuntutan syarak.

Nasihat-Nasihat

Adakalanya perbuatan menghibahkan seluruh harta ini bertujuan untuk lari faraid. Secara zahirnya kita boleh jangka perbuatan tersebut. Namun begitu, bukan tugas kita untuk menghukum jika ada mana-mana individu berbuat demikian. Sehubungan dengan itu, jika ada yang ingin hibahkan semua hartanya, maka saya ingin ingatkan beberapa perkara:

Pertama, pastikan tuan puan tiada hutang. Ini kerana pemberian hibah adalah sunat dan pembayaran hutang adalah wajib. Tidak wajar jika perkara wajib diabaikan lebih-lebih lagi berkaitan dengan hak Allah, hak manusia dan hak organisasi. Hutang wajib dilunasi terlebih dahulu. Jika tuan puan ada back up dengan takaful yang bantu lunaskan, maka tiada masalah untuk teruskan hasrat tersebut.

Kedua, pastikan tuan puan dapat memenuhi keperluan kelangsungan hidup. Apabila hibahkan semua harta, ini bermakna tuan puan tidak memiliki harta bahkan tuan menumpang harta orang lain. Oleh itu, perbuatan menghibahkan seluruh harta ada risikonya. Namun begitu, hibah bersyarat yang mana pemberi boleh ambil manfaat sepanjang hidup daripada harta hibah dibolehkan selagi tidak memudaratkan penerima hibah.

Ketiga, pastikan semua kewajipan nafkah sebagai ayah, suami dapat ditunaikan dengan baik. Begitu juga kewajipan ibadah seperti haji dan lain-lain. Hal ini perlu difikirkan kerana tanggungjawab sebagai seorang hamba tidak pernah luput selagi hayat dikandung badan walaupun semua harta telah dihibahkan.

Setakat ini, itulah sahaja perkara yang perlu difikirkan sebelum bertindak menghibahkan. Pastikan niat betul dan cara yang betul. Ada banyak berlaku di luar sana, ingin berikan kepada anak-anak tetapi melalui wasiat. Wasiat kepada waris terbatal kerana mereka sudah ada faraid. Untuk pembacaan wasiat kepada waris, jemput baca. (tekan sini)

Pandangan

Pada pandangan saya, tidak perlu hibahkan semua harta bahkan pilih harta yang sukar pembahagiannya seperti rumah, kereta, barang kemas dan sebagainya. Contoh situasi, si mati memiliki sebuah rumah dan meninggalkan isteri, anak perempuan serta adik beradik lelaki seibu sebapa. Adik beradik lelaki seibu sebapa boleh mewarisi melalui asobah. Sudah pasti rumah tersebut berkongsi hak antara mereka. Ini bermakna rumah tersebut terpaksa dijual atau isteri dan anak perempuan terpaksa cucur kembali dengan sumber lain jika tidak mahu berkongsi hak rumah tersebut. Hal ini boleh memudaratkan isteri dan anak perempuan.

Oleh itu, tidak salah jika hal ini difikirkan oleh pemilik harta semasa hidup dengan melihat kemungkinan-kemungkinan yang ada dan membuat perancangan harta. Oleh itu, baki harta seperti duit di dalam bank, saham, tabung haji dan sebagainya sebaiknya dibiarkan terus menjadi hak tuan puan. Jangan berfikir tidak mahu adik beradik dapat bahagian faraid, terus dihibahkan semua harta. Biarlah mereka dapat juga merasa harta pusaka sekiranya mereka tersenarai sebagai waris. Ini kerana:

1) Mereka juga waris yang berhak mendapat pusaka.

2) Mereka adalah ahli keluarga kita yang membesar sejak kecil sebelum wujud isteri dan anak-anak.

3) Menjaga hubungan keluarga antara kakak/adik ipar dengan keluarga arwah, anak saudara dengan bapa/mak suadara dan sebagainya.

4) Menjaga perasaan adik beradik supaya mereka tidak terasa dengan tindakan tersebut.

Kesimpulan

Saya ulang kembali, jika tuan puan berhasrat untuk menghibahkan semua harta, maka mohon fikirkan pandangan-pandangan yang saya utarakan. Jika ia sesuai dengan keadaan tuan puan, maka ambillah satu panduan. Jika tidak sesuai, maka tuan puan lebih berhak dan lebih mengetahui keadaan dan situasi sebenar. Akhir sekali, jagalah niat tuan puan dalam segala perbuatan supaya ia menjadi satu ibadah yang memberi manfaat kepada dunia dan akhirat.

Allahu A’lam.

Penutup

Alhamdulillah, maka berakhirlah perkongsian saya berkaitan hibah seluruh harta. Jika tuan puan ada pandangan yang ingin dikongsi, maka saya alu-alukan untuk komen di bawah. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat kepada semua.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?