fbpx

Persoalan: Dilema Pemilikan, Amanah Dan Status Harta Atau Pusaka

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Pendahuluan

Dalam kehidupan seharian, soal pewarisan sering menjadi perbincangan yang rumit, terutamanya apabila melibatkan pembahagian harta selepas kematian seseorang. Banyak persoalan yang timbul berkaitan hak pemilikan, amanah, dan kesahihan proses hibah atau faraid dalam sistem undang-undang syariah. Dalam Islam, perancangan harta dan pembahagian yang adil mengikut hukum faraid adalah satu tanggungjawab yang penting, bukan hanya untuk memenuhi tuntutan syariah tetapi juga untuk mengelakkan sebarang konflik dalam kalangan ahli keluarga.

Dalam tulisan ini, saya akan menjawab beberapa soalan penting yang sering ditanyakan mengenai pewarisan harta, terutama situasi yang melibatkan penggunaan nama individu lain untuk pemilikan aset, status harta hibah, dan pembahagian pusaka yang telah dilakukan secara tidak mengikut faraid. Setiap perbincangan akan dilihat dari sudut syariah dan undang-undang bagi memastikan kefahaman yang jelas tentang konsep pewarisan harta dalam Islam.

Soalan Pertama

Saya mempunyai dua orang abang. Abang sulung sudah meninggal dunia, dan abang kedua masih hidup. Semasa abang sulung masih hidup, abang kedua membeli kereta dan menggunakan nama abang sulung untuk membeli kereta tersebut. Walau bagaimanapun, kereta itu hanya didaftarkan atas nama abang sulung sahaja. Abang sulung tidak menggunakan kereta tersebut kerana beliau sudah mempunyai kereta lain untuk kegunaan harian.

Saya bertanya kerana selepas abang sulung meninggal dunia, abang kedua ingin menukar nama kenderaan tersebut kepada namanya semula. Dia menggunakan dua orang adik-beradik yang masih hidup untuk mendapatkan salinan kad pengenalan mereka sebagai saksi, dan menggunakan bantuan orang dalam untuk memudahkan proses pertukaran nama kenderaan tersebut.

Adakah kereta tersebut dianggap sebagai harta pusaka?

Jawapan

Untuk menjawab soalan ini, saya bahagikan kepada dua perkara:

Pertama, dari segi pemilikan ia adalah hak milik abang kedua walaupun nama kereta tersebut adalah abang sulung. Abang sulung dikira sebagai pemegang amanah sahaja.

Kedua, dari segi undang-undang ia dikira hak pemilik nama di dalam geran walaupun abang kedua yang membayar setiap bulan.

Dalam masalah ini, situasi apabila berlaku kematian kepada abang sulung, maka proses pusaka mesti dilakukan dan diserahkan hak kepada abang kedua sebagai pemilik asal. Sekiranya berlaku kematian abang kedua terlebih dahulu, abang sulung mesti serahkan kepada waris abang kedua walaupun tidak perlu melalui proses pusaka.

Untuk menjawab soalan di atas adakah ia pusaka? Jawabnya, ia bukan pusaka tetapi perlu melalui proses pusaka untuk ditukar milik kepada pemilik asal.

Soalan Kedua

Arwah abang sulung telah meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki berusia 15 tahun, dan empat orang anak perempuan.

Semasa arwah abang sulung masih hidup, arwah ayah (yang masih hidup pada masa itu) telah menukar nama tanah kepada arwah abang. Setelah arwah ayah meninggal dunia, adakah tanah yang telah diberikan oleh arwah ayah itu termasuk dalam harta pusaka arwah ayah?

Jawapan

Untuk soalan ini pula, ia pusaka arwah ayah ataupun tidak melihat kepada situasi berikut:

Sekiranya arwah ayah menukar nama kepada arwah abang sebagai hibah. Maka ia telah menjadi hak milik abang dan menjadi pusakanya jika berlaku kematian.

Sekiranya arwah ayah menukar nama kepada arwah abang itu sebagai pemegang amanah untuk adik beradik lain, maka tanah tersebut bukan harta abang dan ia perlu diagihkan mengikut hasrat arwah ayah. Jika berlaku kematian, ia tidak menjadi pusaka abang dan waris abang perlu tunaikan amanah yang telah diberikan oleh arwah ayah.

Apapun, dari segi pemilikan dalam undang-undang, ia melihat kepada nama pemilik di dalam geran. Sekiranya pemilikan tersebut hanyalah tumpang sahaja, maka perlulah membuat dokumentasi untuk mengelakkan pertikaian pada hari mendatang.

Soalan Ketiga

Saya mempunyai 5 orang adik-beradik, 2 lelaki dan 3 perempuan. Arwah ayah meninggal dunia pada tahun 2014. Ketika itu, saya hanya tahu sedikit sahaja tentang faraid (maknanya: tahu, tetapi tidak mendalam dan tidak bersungguh dalam bab faraid; sekadar mengikut apa yang adik-beradik cadangkan). Semasa di mahkamah, apabila hakim atau pegawai yang menguruskan tanah bertanya, saya hanya menjawab ‘ya’ tanpa benar-benar memahami atau dapat menerangkan apa-apa. Proses untuk menukar nama tanah kepada semua anak-anak juga saya tidak mahir.

Pada waktu itu, semua adik-beradik bersepakat untuk membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan arwah ayah secara sama rata, walaupun nilai bahagiannya tidak sama. Setiap orang mendapat bahagian masing-masing. Namun, setelah saya mengetahui kewajipan faraid dan mengapa Allah memerintahkannya dengan jelas, saya mula merasa bersalah. Bagaimanakah hukumnya?

  1. Bolehkah saya menggunakan harta yang telah dibahagi sama rata?
  2. Apakah kesannya kepada arwah ayah yang meninggalkan harta tersebut?
Jawapan

Jawapan kepada soalan ini pula, pertama adalah harta yang telah dibahagi sama rata boleh digunakan. Namun kaedah pembahagian yang asal iaitu bahagian faraid perlu diketahui terlebih dahulu barulah membuat pembahagian sama rata.

Namun situasi ini telah lama berlaku dan waris-waris tiada pertikaian, maka kita ambil pendekatan tiada masalah. Namun sekiranya ada kemampuan untuk menjelaskan situasi sebenar kepada waris-waris dan meminta persetujuan setelah membuat kiraan semula, maka itu lebih baik.

Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memaafkan bagi umatku (kesalahan yang dilakukan) kerana tersilap, terlupa, dan apa yang dipaksa ke atas mereka.” (Riwayat Ibn Majah, Hadith no. 2043)

Kedua, adakah ada kesan kepada arwah? Jawabnya, Allah berfirman dalam Surah Al-An’am, ayat 164:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: “Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.”

Penutup

Alhamdulillah, maka berakhir soal jawab pewarisan yang ditanya kepada saya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?