Kepelbagaian Kaedah Takharuj Dalam Ilmu Faraid

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pengenalan

Dalam ilmu Faraid, Takharuj bermaksud keadaan di mana seorang atau beberapa waris dengan rela hati menolak hak Faraidnya sama ada keseluruhannya atau sebahagian sahaja, selepas mereka mengetahui dengan jelas bahagian hak masing-masing.

Takharuj ini dibenarkan dalam syarak, tetapi ia mesti dibuat secara sukarela, tanpa paksaan dan dengan pengetahuan penuh tentang jumlah hak asal. Ia boleh dilakukan dengan beberapa kaedah, bergantung pada siapa yang menerima bahagian yang dilepaskan itu.

Artikel ini akan fokus kepada Takharuj secara keseluruhan bahagian dan membentangkan 4 situasi sebagai contoh bagi membezakan kaedah pengiraan bahagian selepas Takharuj.

Perbandingan ini membantu kita melihat bagaimana bahagian waris berubah mengikut kaedah yang dipilih (rujuk lampiran pengiraan).

Jadual Kepelbagaian Takharuj

HubunganKadarAsal MasalahTashihSituasi 1Situasi 2Situasi 3Situasi 4
Ibu1/6420
Isteri1/831515154515
Anak PerempuanAsobah Bil-Ghairi17171737 (17 + 20)71 (51 + 20)21 (17 + 4)
Anak Lelaki 1Asobah 17343434122 (102 + 20)42 (34 + 8)
Anak Lelaki 2Asobah 17343434122 (102 + 20)42 (34 + 8)
JUMLAH24120100 (120 – 20)120360 (120 × 3)120

Keterangan Situasi:

  1. Situasi 1 – Ibu tarik diri dari hak faraidnya.
  2. Situasi 2 – Ibu tolak hak khusus kepada Anak Perempuan sahaja.
  3. Situasi 3 – Ibu tolak hak khusus kepada Anak-Anak secara sama-rata.
  4. Situasi 4 – Ibu tolak hak khusus kepada Anak-Anak secara Ta’sib.

Situasi 1 – Tolak Hak Tanpa Penerima Khusus

Dalam kaedah ini, waris yang menarik diri tidak menamakan siapa penerima haknya.

Contohnya, ibu menolak hak faraidnya (20/120 bahagian) dan tidak mengkhususkan kepada mana-mana waris. Hak tersebut dimansuhkan, menyebabkan jumlah keseluruhan bahagian berkurang daripada 120 kepada 100 bahagian.

Kesannya walaupun angka pecahan bahagian setiap waris asal tidak berubah, peratusannya akan bertambah kerana jumlah keseluruhan bahagian menurun.

  • Bahagian Isteri sebelum: 15/120 (12.5%)
  • Bahagian Isteri selepas: 15/100 (15.0%)
  • Peningkatan: +2.5%

Situasi 2 – Tolak Hak Khusus Waris Tertentu

Dalam kaedah ini, waris yang menarik diri mengkhususkan penerima kepada seorang waris tertentu.

Contohnya, ibu menolak hak faraidnya (20/120) kepada Anak Perempuan tunggal sahaja.

Kesannya, bahagian Anak Perempuan bertambah, jumlah keseluruhan kekal 120 bahagian.

  • Anak Perempuan sebelum: 17/120 (14.17%)
  • Anak Perempuan selepas: 37/120 (30.83%)

Waris lain tidak terjejas.

Situasi 3 – Tolak Hak Kepada Waris Secara Samarata

Dalam kaedah ini, bahagian yang dilepaskan dibahagi sama-rata kepada satu kumpulan waris, tanpa kira jantina.

Contohnya, ibu menolak hak Faraidnya (20/120) kepada semua anak (1 Anak Perempuan & 2 Anak Lelaki) secara sama-rata. Isteri tidak menerima bahagian tersebut.

Disebabkan 20 tidak boleh dibahagi 3 secara tepat, semua bahagian diganda 3:

  • Bahagian Ibu menjadi 60/360, dibahagi sama-rata kepada 3 anak, maka setiap anak dapat 20/360 tambahan.

Kesan kepada bahagian akhir:

  • Anak Perempuan: dari 51/360 (14.17%) kepada 71/360 (19.72%)
  • Setiap Anak Lelaki: dari 102/360 (28.33%) kepada 122/360 (33.89%)
  • Isteri kekal 45/360 (12.5%)

Situasi 4 – Tolak Hak Kepada Waris Mengikut Nisbah Faraid

Dalam kaedah ini, bahagian yang dilepaskan dibahagi kepada kumpulan waris mengikut nisbah faraid asal iaitu lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian.

Contohnya, Ibu menolak hak Faraidnya (20/120) kepada semua anak secara Ta’sib iaitu 1 Anak Perempuan & 2 Anak Lelaki. Isteri tidak menerima bahagian tersebut.

20 bahagian dibahagi kepada 5 unit (1 + 2 + 2):

  • Anak Perempuan: +4/120
  • Setiap Anak Lelaki: +8/120

Kesan kepada bahagian akhir:

  • Anak Perempuan: dari 17/120 (14.17%) kepada 21/120 (17.50%)
  • Setiap Anak Lelaki: dari 34/120 (28.33%) kepada 42/120 (35.00%)
  • Isteri kekal 15/120 (12.5%)

Kesimpulan

Takharuj adalah pilihan yang dibenarkan syarak, tetapi mesti dibuat secara sukarela, jelas, dan selepas semua waris mengetahui hak asal masing-masing.

Perlu diingat bahawa:

  • Setiap kaedah Takharuj memberikan kesan berbeza kepada bahagian waris.
  • Tidak wajar pembahagian dibuat “secara sama-rata” atas alasan muafakat tanpa melalui kiraan faraid terlebih dahulu.
  • Dakwaan bahawa faraid boleh diketepikan jika waris sepakat untuk membahagi sama-rata adalah salah dan bercanggah dengan syarak.

Nota: Kredit kepada Ustaz Mohamad Tarmizi Ismail atas perkongisannya di facebook. Saya mengambil insiatif menulisnya semula dalam bentuk yang mudah difahami. Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top