fbpx

Hukum Mengelak/Berhelah Daripada Melaksanakan Faraid

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Hukum Berhelah Daripada Faraid

Hibah, hadiah, sedekah, wasiat, faraid dan sebagainya mempunyai peranan tersendiri mengikut hasrat pemilik harta dan pilihannya dalam menentukan pertukaran/pembahagian harta yang dimiliki. Hibah, hadiah, sedekah merupakan pemberian masa hidup dan berkuat kuasa masa hidup. Wasiat pula merupakan pemberian masa hidup tetapi berkuat kuasa selepas kematian. Begitulah instrumen lain dalam perancangan/pembahagian harta seseorang.

Namun begitu, terdapat pelbagai tindakan atau helah yang dilakukan dengan berniat untuk mengelak daripada pembahagian harta secara faraid. Sebagai contoh seorang ayah menghibahkan keseluruhan harta kepada anak perempuan dan isterinya supaya harta tersebut tidak dibahagikan secara Faraid kepada ahli waris lain yang ada.

Persoalannya, adakah perbuatan ini diharuskan dalam syarak?

Pada asalnya harus bagi seorang bapa menghibahkan kesemua hartanya kepada anak-anaknya, hibah itu sah jika pemilikan dilakukan semasa si bapa masih hidup dan dalam keadaan sihat. Namun perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan jika ada niat tersembunyi atau helah disebaliknya iaitu bagi menghalang sebahagian waris lain darpada mendapat hak dalam harta pusaka.

Pandangan Ulama’

Imam Badr Al-Din Al-‘Aini menyebut:

وَأما الاحتيال لإبطال حق الْمُسلم فإثم وعدوان

Terjemahan: “Manakala berhelah untuk membatalkan hak Muslim yang lain adalah dosa dan perseteruan” (Al-Aini. Badr Al-Din. ‘Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari. 24/109).

Imam Muhammad bin Hasan iaitu murid kepada imam Abu Hanifah menyebut:

لَيْسَ من أَخْلَاق الْمُؤمنِينَ الْفِرَار من أَحْكَام الله بالحيل الموصلة إِلَى إبِطَال الْحق

Terjemahan: “Bukanlah daripada akhlak mukminin lari daripada hukum Allah dengan melakukan helah untuk membatalkan hak orang lain” (Al-Aini. Badr Al-Din. ‘Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari. 24/109).

Justeru itu, para ulama menegaskan bahawa helah sebegini adalah haram dan ia adalah daripada perbuatan golongan Yahudi (Ibn Qudamah. Mughni. 2/263) sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis:

لا تفعلوا كما فعل اليهود، تستحلوا محارم الله بأدنى الحيل

Terjemahan: “Jangan kamu lakukan seperti apa yang dilakukan oleh golongan Yahudi, mereka menghalalkan perkara yang Allah haramkan dengan serendah-rendah helah” (Ibn Abi Al-‘Izz Al-Hanfiy. Al-Tanbih ‘ala Musykilat al-Hidayah. 5/697).

Imam Syatibiy dalam kitabnya al-Muafaqat menyatakan:

،فَإِنَّ حَقِيقَتَ هَا الْمَشْهُورَةَ تَ قْدِيمُ عَمَلٍ ظَاهِرِ الْجَوَازِ لِإِبْطَالِ حُكْمٍ شَرْعِ ي وَتَحْوِيلِهِ فِي الظَّاهِرِ إِلَى حُكْمٍ آخَرَ
فَمَآلُ الْعَمَلِ ف يهَا خَرْمُ قَ وَاعِدِ الشَّرِيعَةِ فِي الْوَاقِعِ، كَالْوَاهِبِ ماله عند رأس الحول فرارًا من الزَّكَاةِ، فَإِنَّ
أَصْلَ الْهِبَةِ عَلَى الْجَوَازِ، وَلَوْ مَنَعَ الزَّكَاةَ مِنْ غَيْرِ هِبَةٍ لَكَانَ مَمْنُوعًا، فَإِنَّ كُلَّ وَاحِدٍ مِنْ هُمَا ظَاهِرٌ أَمْ رُهُ فِي
الْمَصْلَحَةِ أَوِ الْمَفْسَدَةِ، فَإِذَا جَمَعَ بَ يْ نَ هُمَا عَلَى هَذَا الْقَصْدِ، صَارَ مَآلُ الْهِبَةِ الْمَنْعَ مِنْ أَدَ اءِ الزَّكَاةِ، وَهُوَ
مَفْسَدَةٌ، وَلَكِنَّ هَذَا بِشَرْطِ الْقَصْدِ إِلَى إِبْطَالِ الْأَحْكَامِ الشَّرْعِيَّةِ

Terjemahan: “Sesunggugnya hakikat helah adalah masyhur dalam mengutamakan perbuatan yang pada zahirnya harus dengan tujuan untuk mambatalalkan hukum syar’ie dan menukarkannya pada zahir kepada hukum yang lain. Maka hasil daripada perbuatan tersebut ialah merosakkan kaedah syarak pada realiti seperti seseorang menghibahkan harta ketika hampir cukup haul kerana ingin lari daripada zakat, hukum asal hibah adalah harus…namun natijah hibah tersebut menjadi penghalang atau perosak kepada zakat. Akan tetapi perbuatan ini menjadi rosak dengan syarat menpunyai qasad atau niat untuk membatalkan hukum syarak”. (Al-Syatibiy. Al-Muafaqat. 5/187-188)

Perbuatan mengelak daripada melaksanakan faraid dalam pembahagian harta pusaka dengan melakukan helah tertentu seperti menghibahkan keseluruhan harta semasa hidup kepada waris tertentu merupakan perbuatan yang dibenci oleh Islam. Perbuatan sebegini merupakan perosak kepada hukum Syarak jika ia dilakukan dengan niat untuk lari dari melaksanakan hukum Allah atau menyekat orang yang berhak daripada menerima haknya.

Kesimpulan

Hibah, hadiah, sedekah, wasiat dan sebagainya bukanlah satu helah jika dilakukan dengan cara yang betul dan tidak berniat untuk lari daripada faraid. Niat mengelak/berhelah untuk lari daripada pembahagian faraid itulah yang salah. Oleh itu, seseorang itu hendaklah membetulkan niat asalnya dalam setiap tindakan.

Allahu A’lam.

Rujukan: Pensyariatan faraid menurut kelangka fiqh Islam oleh Dr. Mushaddad bin Hasbullah, Zahari Mahad Musa & Dr Zaharuddin Zakaria.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?