fbpx

Intipati Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Intipati Pindaan Akta

Pertama

Pertukaran penggunaan nama perjawatan daripada Pentadbir Tanah kepada Pegawai Pembahagian Pusaka (Estate Distribution Officer).

Perubahan ini memberi penekanan kepada peranan Pegawai Pembahagian Pusaka sebagai individu yang bertanggungjawab dalam menguruskan pembahagian harta pusaka kecil. Ini juga menunjukkan pengkhususan bidang kerja dalam pentadbiran harta pusaka kecil, menjadikan proses lebih jelas dan terfokus kepada pembahagian harta pusaka.

Kedua

Perluasan bidangkuasa harta pusaka kecil yang meliputi semua jenis harta (harta alih dan tak alih).

Dalam konteks sebelum pindaan, harta tak alih seperti tanah adalah syarat untuk membuat permohonan pembahagian pusaka kecil. Pindaan ini menghapuskan syarat tersebut, bermakna mana-mana harta, sama ada alih (seperti kenderaan, wang tunai) atau tak alih, kini boleh dimohon untuk pembahagian di bawah Akta Harta Pusaka Kecil.

Ketiga

Peningkatan nilaian bidangkuasa daripada RM2 juta kepada RM5 juta.

Had nilai harta yang layak untuk diproses sebagai pusaka kecil kini dinaikkan dari RM2 juta kepada RM5 juta. Ini bermaksud jika jumlah nilai harta si mati kurang daripada RM5 juta, permohonan boleh difailkan terus kepada Pejabat Pembahagian Pusaka tanpa perlu membawa kes ke Mahkamah Tinggi, yang dapat mempercepatkan proses.

Keempat

Kuasa untuk mendengar petisyen oleh Pegawai Pembahagian Pusaka walau di mana jua ia dikemukakan dalam negeri tersebut.

Pegawai Pembahagian Pusaka diberi kuasa untuk mendengar dan mengendalikan petisyen pembahagian pusaka tanpa mengambil kira lokasi harta dalam negeri tersebut. Ini bermakna permohonan boleh difailkan di mana-mana pejabat di dalam negeri, menjadikan proses lebih mudah dan tidak terhad kepada kawasan geografi tertentu.

Kelima

Memasukkan peranan baharu bagi Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pempetisyen @ pemohon.

Majlis Agama Islam Negeri kini diberikan peranan tambahan untuk bertindak sebagai pempetisyen atau pemohon bagi pihak waris. Ini adalah langkah bagi membantu waris, khususnya mereka yang mungkin tidak memahami proses undang-undang atau tidak mempunyai sumber untuk menguruskan pembahagian harta pusaka secara sendiri.

Keenam

Pelantikan Pentadbir Sementara dengan tujuan untuk mendapat maklumat berkenaan harta alih si mati secara kewangan.

Pentadbir Sementara boleh dilantik untuk mendapatkan maklumat mengenai aset-aset alih si mati, seperti wang dalam akaun bank. Surat Kuasa Mentadbir Sementara (Pendente Lite) memberikan kuasa kepada pentadbir ini untuk mengakses maklumat kewangan yang diperlukan bagi tujuan pembahagian harta.

Ketujuh

Penjualan harta si mati mengikut Konsep Majoriti Bahagian (Majority Shares).

Menurut konsep ini, jika bahagian waris yang mewakili lebih daripada 2/3 nilai keseluruhan harta bersetuju untuk menjual harta, penjualan boleh diteruskan walaupun tidak semua waris bersetuju. Ini memudahkan proses penjualan harta dalam situasi di mana persetujuan daripada semua waris sukar diperoleh.

Penutup

Setiap pindaan ini bertujuan untuk mempermudah dan mempercepatkan proses pentadbiran harta pusaka kecil di Malaysia, dengan memberi kuasa yang lebih jelas dan memudahkan urusan waris-waris dalam proses pembahagian harta.

Rujukan

Perkongsian ini terinspirasi daripada perkongsian group dalam bidang pewarisan. Terima kasih kepada penulis asal yang tidak dinyatakan dan hal ini saya selarikan dengan seminar yang saya hadiri berkaitan dengan pindaan akta pusaka kecil ini. Semoga ia bermanfaat.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?