fbpx

Penjelasan: Perancangan Harta Bagi Anak Tak Sah Taraf

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Persoalan

Beberapa hari ini viral tentang anak kepada seorang artis tempatan apabila membuat pengakuan bahawa dia adalah anak tak sah taraf dan lebih mengejutkan bahawa ibu dan ayah biologinya tidak pernah berkahwin walaupun awalnya membuat cerita palsu berkenaan perkahwinan antara kedua-duanya.

Dalam kes begini,

Bagaimana penasaban antara anak dan ayah biologinya?

Bagaimana dengan tanggungjawab nafkah?

Bagaimana pewarisan harta jika berlaku kematian?

Apakah perancangan harta sesuai untuk anak tak sah taraf?

Penjelasan

Berkaitan dengan penasaban antara anak dan ayah biologinya dijelaskan di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No. 6, 2002, yang menyebut “Tak sah taraf berhubung dengan seorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah”.

Namun persoalan yang timbul, bolehkah penasaban berlaku walaupun berlaku persetubuhan luar nikah dan dilahirkan dalam tempoh perkahwinan? Maksudnya, berlaku persetubuhan di luar nikah dan cepat-cepat akad nikah.

Pendapat pertama: Anak tak sah taraf tidak boleh menasabkan kepada ayah biologi.

Pendapat muktamad mazhab al-Syafie, air mani yang terhasil daripada persetubuhan yang tidak syarie tidak mempunyai nilai syarak. Di dalam Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut: “Makhluqah (perempuan) yang lahir daripada zinanya seorang lelaki, sama ada kerana zina yang disengajakan, atau bukan (seperti paksaan), sama ada diyakini ia datang daripada spermanya atau bukan, maka hukum mereka berdua adalah halal (bukan mahram) kerana dianggap ajnabi (orang asing) kerana tiada kehormatan pada sperma zina.” Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/287).

Pendapat ini jumhur ulama’.

Pendapat kedua: Anak tak sah taraf boleh dinasabkan kepada ayah biologi.

Pendapat ini adalah pendapat U’rwah Ibn Zubair, Al-Hasan Al-Basri, Ibnu Sirin dan lain-lain dengan hujjah tersendiri. Pendapat ini juga dijelaskan di dalam fatwa negeri Perlis yang berkaitan dengan penasaban melalui mahkamah:

Setelah saya membaca beberapa maklumat berkaitan dengan hal ini, pendapat kedua memberi jalan keluar kepada anak yang tak sah taraf. Kesilapan ibu ayahnya pada peringkat awal bukanlah kesilapan anak tak sah taraf tersebut yang akhirnya dia dikeji dan dipandang seorang oleh masyarakat.

Pendapat ini bukanlah satu galakan perzinaan dan memudahkan ke arah itu. Bahkan ditegaskan bahawa perzinaan adalah satu perkara yang keji dan wajib dijauhi.

Namun begitu, bagaimana persetubuhan berlaku di luar nikah dan ibu dan ayah biologinya tidak pernah berkahwin? Maka, ini jelas bahawa anak tersebut adalah anak tak sah taraf sepertimana artis yang mengatakan ibu ayahnya tidak berkahwin.

Seterusnya, bagaimana tentang nafkah, pewarisan dan sebagainya?

Hal ini terjawab dengan penasaban di atas. Sekiranya berlaku penasaban anak kepada ayahnya, maka tanggungjawab nafkah, pewalian dan pewarisan harta berlaku.

Perancangan Harta Bagi Anak Tak Sah Taraf

Melihat kepada situasi di atas, jika anak tak sah taraf membuat penasaban melalui mahkamah, maka dia berhak mewarisi satu sama lain melalui faraid. Namun, jika tidak berlaku penasaban melalui mahkamah, maka kedua-dua tidak boleh mewarisi satu sama lain melalui faraid.

Namun begitu, ada beberapa perancangan harta untuk mereka:

Pertama, Wasiat.

Si ayah biologi boleh mewasiatkan harta tidak lebih 1/3. Apabila anak tak sah taraf, maka hubungan ayah biologi ibarat orang asing yang tiada kaitan satu sama lain. Oleh itu, wasiat 1/3 kepada bukan waris dibenarkan syarak.

Kedua, Hibah.

Si ayah biologi boleh menghibahkan hartanya atau anak menghibahkan harta kepada ayah biologinya. Ini kerana hibah dibenarkan kepada siapa sahaja termasuk waris ataupun tidak dan ia tidak had dalam pemberian. Hibah perlu memenuhi rukun dan syaratnya iaitu pemberi, penerima, harta, ijab qabul dan qabd (penyerahan hak).

Kesimpulan

Anak tak sah taraf masih boleh memiliki harta ayah biologinya dengan instrumen lain selain faraid yang mana memberi jalan keluar kepada si anak. Jikalau berlaku penasaban melalui mahkamah, maka pewarisan melalui faraid berlaku sepertimana dijelaskan di atas.

Allahu A’lam.

Penutup

Alhamdulillah, maka berakhirlah perkongsian saya kali ini. Jika tuan puan berhasrat untuk membuat perancangan harta, tuan puan boleh hubungi Abu Nuha (+6014-5241281).

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?