
Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Pendahuluan
Dalam kehidupan, ramai yang berniat melakukan kebajikan, namun sering kali kekeliruan timbul apabila tidak memahami konsep sebenar infaq, hibah, dan wasiat. Islam telah menggariskan hukum yang sempurna untuk memastikan harta diagihkan dengan adil dan berkat. Namun, terlalu banyak memikirkan harta tanpa memahami prinsipnya boleh membawa kepada kerisauan yang tidak perlu.

Artikel ini bertujuan untuk jelaskan lagi kepada tuan puan maksud infaq, hibah dan wasiat seperti yang dikongsi oleh Dr Yasmin.
Penjelasan
Infaq dan Hibah: Memberi Dengan Ikhlas Tanpa Mengharap Balasan
Dalam Islam, infaq dan hibah ialah amalan memberi harta kepada orang lain semasa hidup. Perbezaannya terletak pada niat dan pelaksanaannya:
Infaq: Memberi harta secara sukarela tanpa mengharapkan balasan, sama ada kepada individu atau untuk tujuan kebajikan.
Hibah: Pemberian harta kepada seseorang tertentu secara sukarela atas dasar kasih sayang semasa hidup.
Kesan pemberian hibah ialah hak milik berpindah serta-merta kepada penerima. Setelah diberikan, pemberi tidak lagi berhak ke atas harta tersebut kecuali ada kes-kes tertentu.
Sekiranya seseorang berniat untuk membantu orang lain tetapi masih mahu menikmati manfaat daripada harta tersebut sepanjang hidupnya, maka hibah bukanlah pilihan yang sesuai. Dalam situasi ini, konsep wasiat lebih tepat.
Namun begitu, wasiat terpakai kepada bukan waris. Bagaimana pula jika pemberian tersebut kepada waris? Maka di sini terdapat keluasan di mana wujudnya hibah bersyarat yang mana selagi syaratnya tidak bercanggah dengan syarak, maka ia dibolehkan.
Wasiat: Merancang Harta Untuk Selepas Kematian
Wasiat membolehkan seseorang menentukan agihan harta sehingga satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kepada bukan waris atau individu tertentu. Namun, penting untuk diingat bahawa hak waris utama telah ditetapkan melalui faraid. Wasiat tidak boleh melanggar hak waris-waris ini melainkan dengan persetujuan mereka.
Situasi Praktikal
Jika bimbang seseorang tidak mendapat hak sewajarnya selepas kematian, lebih baik memberi hibah atau memindahkan hak milik semasa hidup. Sebagai contoh situasi individu yang mempunyai anak angkat. Dari segi faraid, anak angkat tidak berhak, maka pemberian melalui hibah adalah praktikal.
Sekiranya tidak yakin penerima hibah akan memelihara hubungan baik, maka pertimbangkan untuk tidak memberi hibah kepada individu tersebut. Islam tidak memaksa seseorang untuk menyerahkan harta kepada orang yang mereka tidak percayai.
Kenapa Takut Beri Hibah?
Ketakutan bahawa penerima hibah mungkin menganiaya pemberi menunjukkan wujudnya isu kepercayaan. Hibah sepatutnya diberikan dengan ikhlas dan sukarela.
Jika rasa was-was timbul, simpanlah harta tersebut sehingga yakin atau pertimbangkan bentuk pemberian lain seperti waqaf atau tabung amanah (trust fund).
“Takut kita dok fikir mati dulu sibuk pada siapa yang akan ditinggalkan, nanti qadar Allah rupanya yang ditinggalkan tu mati dulu. Dalam kehidupan, ajal maut di tangan Allah. Terlalu risau tentang masa depan harta hanya akan membebankan fikiran. Apa yang penting ialah merancang harta dengan niat ikhlas dan mematuhi hukum syarak.
Hukum Islam: Panduan Hidup yang Sempurna
Hukum Islam telah mengatur setiap aspek kehidupan, termasuk perancangan harta. Pembahagian faraid memastikan keadilan untuk semua waris. Hibah dan wasiat pula memberi ruang untuk memenuhi keperluan individu yang mungkin memerlukan lebih perhatian.
- Faraid menjamin hak waris.
- Hibah memudahkan pemberian semasa hidup kepada sesiapa sahaja tanpa perlu menunggu proses pewarisan.
- Wasiat membolehkan seseorang membantu bukan waris selepas kematian dengan tujuan kebajikan.
Kesimpulan
Tidak perlu memeningkan fikiran dengan terlalu banyak memikirkan harta. Laksanakan perancangan harta dengan memahami konsep sebenar infaq, hibah, dan wasiat.
Jika mahu memberi, berilah dengan hati yang tenang dan penuh keikhlasan.
Jika masih ragu-ragu, simpanlah harta tersebut sehingga benar-benar yakin. Yang paling penting, jangan biarkan urusan harta mengganggu ketenangan hidup dan ibadah kita.
Hukum Islam sudah cukup sempurna. Fahami, amalkan, dan serahkan selebihnya kepada Allah.