Isi Kandungan
Pendahuluan
Pengurusan harta pusaka bukan sekadar soal undang-undang tapi ia adalah soal tanggungjawab terhadap waris dan kesinambungan kehidupan mereka. Malangnya, masih ramai yang mengambil mudah soal pengurusan pusaka, lalu menyebabkan kelewatan dalam tindakan.
Kelewatan ini bukan sahaja menyusahkan waris, malah boleh menyebabkan kerugian yang besar dari segi emosi, kewangan dan legaliti.
Berikut adalah kesan-kesan buruk akibat kelewatan menguruskan pusaka:
Pertama – Hartanah Terbengkalai
Tanpa pentadbiran pusaka, hartanah yang ditinggalkan tidak boleh dijual, dipindah milik, atau dibangunkan. Akhirnya, rumah dan tanah menjadi usang, terbiar dan tidak produktif. Kadangkala, ia juga menjadi tempat berlakunya pencerobohan atau kerosakan.
Kedua – Urus Niaga Dibekukan
Segala transaksi seperti jual beli, pajakan, permohonan pelan pembangunan atau urusan dengan institusi kewangan akan dibekukan. Ini kerana nama pemilik yang telah meninggal dunia masih tertera dalam dokumen rasmi, menjadikan semua urusan secara automatik tidak sah.
Ketiga – Wang Pampasan Pengambilan Tanah Tidak Dapat Dituntut
Jika kerajaan mengambil balik tanah untuk tujuan pembangunan dan menawarkan pampasan, waris tidak boleh menuntut pampasan tersebut tanpa dokumen pusaka yang sah. Akibatnya, wang yang sepatutnya menjadi hak waris tidak dapat ditebus atau diuruskan.
Keempat – Nama Tidak Didaftarkan Pada Dokumen Hakmilik
Tanpa permohonan pusaka, nama waris tidak boleh didaftarkan dalam geran tanah. Ini menjadikan harta masih atas nama si mati walaupun telah bertahun-tahun berlalu menyebabkan waris sukar membuat sebarang keputusan atau tindakan ke atas tanah tersebut.
Kelima – Status Pemilik Tidak Rasmi
Apabila harta tidak dipindah milik, tiada seorang pun yang boleh mengaku sebagai pemilik rasmi di sisi undang-undang. Waris tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menguruskan atau membangunkan aset tersebut.
Keenam – Bilangan Waris Akan Berlapis-lapis
Semakin lama dibiarkan, semakin ramai waris generasi kedua, ketiga dan seterusnya yang akan muncul. Ini akan menyukarkan proses pembahagian kerana perlu mendapat persetujuan semua waris yang mungkin tinggal berjauhan atau tidak dikenali.
Ketujuh – Cukai Tanah Tidak Dijelaskan
Apabila harta tidak diuruskan, urusan pembayaran cukai tahunan seperti cukai tanah atau cukai pintu juga terabai. Ini boleh menyebabkan tunggakan dan denda, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.
Kelapan – Hilang Dokumen Penting
Apabila sesuatu pusaka tidak diurus segera, risiko kehilangan dokumen penting seperti geran asal, resit cukai, surat kuasa wakil dan sebagainya adalah sangat tinggi. Ini akan menyukarkan lagi proses tuntutan dan menambah kos serta masa.
Kesimpulan
Kelewatan mengurus pusaka bukan sahaja menyebabkan harta terbeku dan tidak dapat dimanfaatkan, tetapi juga boleh menimbulkan konflik keluarga dan tekanan emosi.
Oleh itu, bertindaklah segera selepas berlaku kematian sama ada dengan memohon Surat Kuasa, menguruskan pembahagian faraid, atau merancang dokumen hibah dan wasiat lebih awal.
Ingat, lebih lama ditangguh, lebih rumit akibatnya. Rancanglah kerana sayang.