Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak Dalam Islam

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Pendahuluan

Kematian serentak adalah insiden tragis yang melibatkan kehilangan nyawa beberapa ahli keluarga secara bersamaan, sehingga menyukarkan penentuan siapa yang meninggal dunia terlebih dahulu. Keadaan ini menimbulkan persoalan kompleks dalam menentukan hak pewarisan harta pusaka menurut hukum Islam.

Definisi Kematian Serentak

Kematian serentak merujuk kepada kejadian di mana dua atau lebih individu dalam ahli keluarga meninggal dunia pada masa yang sama atau dalam keadaan yang tidak memungkinkan untuk dipastikan siapa yang meninggal dunia dahulu.

Insiden ini sering berlaku dalam kes-kes seperti kemalangan jalan raya, kebakaran, runtuhan bangunan, bencana alam, lemas dan pembunuhan.

Walaupun pegawai perubatan akan merekodkan waktu dan tarikh kematian, terdapat kemungkinan semua mangsa direkodkan mati secara serentak dalam sijil kematian yang kemudiannya menimbulkan isu pembahagian harta pusaka.

Hukum Pewarisan Dalam Islam

Islam telah menetapkan hukum dan peraturan berkaitan hak pewarisan apabila berlaku kematian dalam keluarga. Asas penentuan kadar pembahagian harta pusaka Islam (faraid) adalah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran, al-Sunnah dan ijmak fuqaha.

Pertama, dalil Al-Quran: Terbahagi kepada ayat mujmal (umum) dan mufassal (khusus).

  • Ayat mujmal seperti Surah al-Nisa’, ayat 7, menyatakan hak lelaki dan perempuan dalam pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat.
  • Ayat mufassal seperti Surah al-Nisa’, ayat 11, menjelaskan secara terperinci waris-waris dan kadar bahagian masing-masing, termasuk bahagian anak lelaki menyamai dua anak perempuan, bahagian anak perempuan tunggal (seperdua), serta bahagian ibu bapa (seperenam atau sepertiga) bergantung kepada kehadiran anak si mati.

Kedua, hadis Rasulullah SAW:

Hadis riwayat Ibn Abbas: “Berikanlah harta kepada orang-orang yang berhak, sesudah itu bakinya adalah untuk waris lelaki yang lebih utama”.

Hadis riwayat Usamah bin Zaid: “Tidak mewarisi seorang muslim daripada seorang kafir dan seorang kafir tidak mewarisi daripada seorang muslim”.

Pandangan Mazhab Mengenai Kematian Serentak

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan mazhab mengenai pewarisan dalam kes kematian serentak:

Pertama, Jumhur Fuqaha (Mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafie):

Berpendapat bahawa ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak tidak saling mewarisi harta antara satu sama lain. Ini kerana syarat pewarisan adalah waris (al-warith) mestilah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan hartanya (al-muwarrith) dan dalam kes kematian serentak, syarat ini tidak dipenuhi.

Harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersama-samanya.

Contohnya, jika dua beradik meninggal serentak, masing-masing meninggalkan RM90,000. Mereka meninggalkan seorang ibu, seorang anak perempuan dan seorang bapa saudara.


6

Ibu

1/6

1

AP

1/2

3

BSIBSB

A'sobah

2

Menurut Jumhur Fuqaha, harta akan diwarisi oleh ibu dan anak perempuan tanpa mengira bahagian saudara yang meninggal bersama. Anak perempuan akan menerima 3/6 (RM45,000) dan ibu 1/6 (RM15,000), manakala bakinya 2/6 (RM30,000) kepada bapa saudara sebagai ‘asabah.

Kedua, Mazhab Hanbali:

Berpendapat bahawa anggota keluarga yang mati bersama-sama akan saling mewarisi harta antara satu sama lain dengan syarat harta yang diwariskan adalah harta milik hakiki si mati (talad/qadim).

Harta yang baharu diwarisi (tarif/jadid) daripada orang yang mati serentak hanya boleh diwariskan kepada waris yang masih hidup. Pandangan ini didasarkan pada kaedah fiqh “Keyakinan tidak gugur dengan syak” dan “Asal sesuatu perkara kekal sebagaimana keadaan asalnya”.

Perundangan Semasa – Malaysia & Negara Islam Lain

Banyak negara Islam, seperti Mesir dan Syria, telah mengkanunkan peruntukan mengenai pembahagian harta pusaka bagi kes kematian serentak dengan mengambil pandangan Jumhur Fuqaha, iaitu mereka yang meninggal serentak tidak saling mewarisi.

Di Malaysia, tiada undang-undang bertulis khusus tentang pentadbiran pusaka orang Islam dan Mahkamah Syariah (serta Mahkamah Sivil dalam keadaan tertentu) merujuk kepada hukum syarak dan fatwa negeri.

Undang-undang sivil Malaysia, melalui Seksyen 2, Presumption of Survivorship Act 1950, mengandaikan bahawa dalam kes kematian serentak di mana tidak dapat dipastikan siapa yang hidup lebih lama, yang lebih muda dianggap hidup lebih lama daripada yang lebih tua. Walau bagaimanapun, peruntukan ini tidak selaras dengan prinsip Hukum Syara’.

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 (2008) memutuskan bahawa ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak tidak akan saling mewarisi. Harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.

Waktu kematian hendaklah direkodkan dan disahkan oleh pakar perubatan dalam Sijil Kematian.

Kesimpulan

Kematian serentak sememangnya ada berlaku apabila melibatkan kemalangan, kebakaran dan sebagainya yang sukar untuk ditentukan. Oleh itu, berlaku khilaf antara ulama’ untuk menentukan adakah mereka boleh mewarisi satu sama lain.

Oleh itu, artikel ringkas ini menjelaskan kedudukan pewarisan sekiranya berlaku kematian serentak. Namun diingatkan keputusan ini hendaklah diputuskan oleh ahlinya yang menentukan kematian serentak ataupun tidak.

Sekiranya ada petunjuk/bukti atau penelitian ahlinya yang menyatakan ada perbezaan masa meninggal, maka pengiraan kematian berlapis diambil kira.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top