Kematian Berlapis: Beban Pembuktian, Kerumitan Faraid & Strategi Pengurusan

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pengenalan

Dalam pengurusan pusaka, antara kes paling rumit yang sering dihadapi ialah kematian berlapis iaitu apabila beberapa ahli keluarga meninggal dunia dalam tempoh yang dekat, sama ada akibat kemalangan, bencana atau penyakit.

Isu ini kelihatan mudah di permukaan, tetapi dari sudut undang-undang dan faraid, ia membuka pelbagai persoalan tentang siapa mati dahulu, siapa mewarisi siapa dan bagaimana pembahagian harus dilakukan secara sah.

Maksud & Contoh Kematian Berlapis

Kematian berlapis berlaku apabila dua atau lebih individu dalam satu rangka keluarga meninggal dunia tanpa sempat urusan pusaka diselesaikan antara mereka.

Contoh situasi:

  • Suami meninggal dunia, beberapa minggu kemudian isteri pula meninggal.
  • Bapa dan anak terlibat dalam kemalangan yang sama, tetapi tidak diketahui siapa meninggal dahulu.
  • Seorang waris meninggal dunia sebelum harta sempat dibahagi, menyebabkan bahagian itu perlu disemak semula kepada warisnya pula.

Menurut Tuan Seh Nilamuddin bin Hassan,

“Dalam kes kematian berlapis, satu kes boleh jadi tiga perbicaraan. Pegawai perlu menilai urutan kematian, struktur faraid dan masa sebenar si mati meninggal dunia sebelum menentukan waris sah.”

Beban Pembuktian

Dalam kes berlapis, isu utama ialah menentukan siapa meninggal dahulu kerana urutan itu menentukan siapa mewarisi siapa.

  • Jika ada sijil kematian yang menunjukkan masa berbeza, urutan kematian dianggap sah.
  • Jika masa kematian tidak jelas (seperti dalam kemalangan), Mahkamah Tinggi boleh diminta menentukan siapa dianggap meninggal dahulu berdasarkan bukti.

Beban pembuktian (burden of proof) terletak pada pihak yang membuat tuntutan dan bukti boleh termasuk:

  • Laporan hospital atau forensik.
  • Keterangan saksi kejadian.
  • Catatan rasmi daripada pihak berkuasa (contoh: polis, bomba, JPJ).

Kerumitan Faraid Dalam Kematian Berlapis

Faraid memerlukan kepastian bahawa seseorang hidup selepas kematian pewaris untuk melayakkan dia menjadi waris.

Contoh ringkas:

  • Jika suami meninggal dahulu, isteri masih hidup, maka isteri berhak kepada ¼ bahagian (jika tiada si mati tiada anak keturunan).
  • Jika isteri meninggal dahulu, suami yang masih hidup mendapat ½ bahagian (jika tiada si mati tiada anak keturunan).
  • Namun jika kematian serentak atau tidak dapat dipastikan siapa dahulu, maka kedua-duanya tidak saling mewarisi dan harta masing-masing dibahagi terus kepada waris mereka sendiri.

Inilah yang sering menimbulkan kekeliruan di Pejabat Pusaka Kecil kerana satu aset boleh terlibat dalam dua set pengiraan faraid berasingan.

Strategi Pengurusan & Penyelesaian

Pertama, pisahkan kes pusaka mengikut individu.

Walaupun berkait, setiap kematian mesti difailkan berasingan (fail A, fail B, fail C). Ini bagi memastikan setiap bahagian waris dikira mengikut masa kematian yang sahih.

Kedua, gunakan nilai semasa untuk konsistensi.

Pegawai disaran menggunakan nilai pasaran terkini untuk mengelakkan percanggahan antara kes berlapis. Jika rumah atau tanah sama terlibat dalam dua fail, nilai yang sama digunakan sebagai asas.

Ketiga, lantik pentadbir yang sama (jika sesuai).

Untuk mengelakkan kekeliruan, boleh dicadangkan supaya satu pentadbir dilantik bagi kedua-dua kes, selagi semua waris bersetuju.

Keempat, sediakan carta faraid bertingkat.

Dalam kes rumit, sediakan visual flowchart yang menunjukkan siapa mewarisi siapa. Ini membantu waris memahami hubungan antara dua lapisan kematian dengan lebih jelas.

Peranan Perunding & Pegawai

Kes kematian berlapis memerlukan gabungan kepakaran faraid, kemahiran komunikasi dan ketelitian teknikal. Pegawai perlu berhati-hati agar tidak mengeluarkan keputusan yang menjejaskan hak waris dalam kes berikutnya.

“Setiap kes berlapis memerlukan kesabaran luar biasa kerana kita bukan sekadar kira bahagian, tapi selaraskan keadilan antara dua generasi.”
Tuan Seh Nilamuddin bin Hassan

Kesimpulan

Kematian berlapis menggambarkan cabaran sebenar dalam pengurusan pusaka Islam di Malaysia. Apabila hukum faraid, undang-undang sivil dan faktor emosi keluarga bertemu dalam satu titik.

Dengan bukti yang sah, strategi komunikasi yang baik dan kefahaman urutan faraid yang tepat, waris dapat disatukan semula dalam semangat keadilan dan kasih sayang.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top