Sembilan langkah, bermula dengan mengumpulkan waris dan berakhir dengan mendaftarkan perintah di institusi berkaitan. Kesnya difailkan melalui Borang A di negeri tempat harta itu terletak, hartanya dinilai, pemfailan itu dimaklumkan kepada pendaftaran utama Mahkamah Tinggi, kesnya dibicarakan, kemudian keluar Borang E iaitu perintah pembahagian ataupun Borang F iaitu surat kuasa mentadbir. Tiga perkara berubah pada 15 Julai 2024 dan ketiga-tiganya menambah kerja pemohon, iaitu dia yang menyampaikan notis bicara kepada waris lain, dia yang mendaftarkan perintah itu di Pejabat Tanah dan dia juga yang menyerahkan dokumen sokongan bagi pernyataan dalam petisyen. Had pusaka kecil pula naik kepada lima juta ringgit dan tidak lagi perlu mengandungi tanah.
Pendahuluan
Ramai bertanya tentang perjalanan urusan pusaka di Pejabat Pembahagian Pusaka, iaitu apa yang berlaku dari mula sehingga harta sampai kepada waris.
Artikel ini menyusunnya kepada sembilan langkah, berserta seksyen yang menyokong setiap langkah. Tiga perkara berubah pada 15 Julai 2024 dan ketiga-tiganya ditandakan pada langkah yang berkenaan. Senarai penuh perubahan itu pula ada dalam artikel pindaan Akta Harta Pusaka Kecil.
Perjalanan Urusan Pusaka

Kandungan carta itu dihuraikan sepenuhnya dalam teks di bawah, jadi pembaca yang tidak dapat membaca gambar tidak terlepas apa-apa.
Langkah pertama, kumpulkan waris
Kumpulkan waris untuk membincangkan urusan ini dan sebaiknya kiraan faraid sudah dibuat supaya setiap orang tahu bahagiannya dalam bentuk pecahan. Gunakan kalkulator faraid untuk kes sebenar.
Harta yang tidak berdaftar boleh terus dibincangkan pembahagiannya pada peringkat ini, umpamanya itik di belakang rumah, basikal di bawah garaj ataupun baju dalam almari. Harta tidak berdaftar tidak memerlukan pertukaran nama, tetapi ia tetap sebahagian pusaka dan dikira dalam nilainya, kerana sejak 15 Julai 2024 pusaka kecil merangkumi apa-apa harta.4
Sekiranya si mati ada perniagaan, bentuk pendaftarannya menentukan sama ada asetnya menjadi pusaka ataupun tidak dan ada tempoh masa yang mengikat waris. Ia dihuraikan dalam artikel apa jadi pada perniagaan apabila pemilik meninggal dunia.
Sebelum kiraan faraid pula, ada empat perkara yang perlu diselesaikan dahulu. Turutannya dihuraikan berserta dalilnya dalam artikel lima hak yang perlu diselesaikan sebelum faraid.
Langkah kedua, lantik pentadbir
Waris berbincang untuk melantik seorang pentadbir.
Sikap, ilmu, masa serta kewangan pentadbir itu menjadi tunjang kepada seluruh urusan. Pentadbir yang tidak berkelayakan menimbulkan masalah pada hari mendatang.
Perlu difahami bahawa pelantikan muktamad ada di tangan pegawai. Subseksyen 13(4) membenarkannya memberikan surat kuasa mentadbir kepada orang yang difikirkannya sesuai.1 Jadi persetujuan keluarga itu cadangan yang kuat, bukan keputusan akhir.
Langkah ketiga, kumpulkan dokumen
Pentadbir mengumpulkan semua dokumen berkaitan harta arwah serta waris.
Inilah langkah yang paling mencabar, lebih-lebih lagi apabila ada waris yang jauh ataupun tidak memberi kerjasama. Cara menanganinya disusun dalam artikel apa perlu buat jika waris enggan bagi kerjasama.
Dokumen asas yang diperlukan, mengikut senarai semak rasmi JKPTG.2
| Bil | Dokumen | Butiran yang kerap terlepas |
|---|---|---|
| 1 | Borang A yang lengkap diisi | ditandatangani di hadapan Majistret ataupun Pesuruhjaya Sumpah |
| 2 | Bukti kematian | selain sijil kematian, cabutan atau carian sijil kematian diterima, begitu juga perintah anggapan kematian ataupun perintah pengesahan kematian daripada Mahkamah Tinggi |
| 3 | Salinan kad pengenalan pemohon dan waris | muka hadapan dan belakang, manakala bagi waris bawah lapan belas tahun sijil kelahiran memadai |
| 4 | Salinan sijil perkahwinan si mati | jika berkaitan |
| 5 | Hakmilik ataupun geran | salinan, lengkap berserta pelan tapak |
| 6 | Carian rasmi | salinan, dibeli dari Pejabat Tanah Daerah bagi HSM, GM dan PM, ataupun dari PTG Negeri bagi HSD, GRN dan PN |
| 7 | Salinan bil ataupun resit cukai pintu | taksiran |
| 8 | Dokumen harta alih terkini | penyata akaun, sijil saham, insurans, hakmilik kenderaan dan sebagainya |
| 9 | Penyata hutang piutang si mati | jika berkaitan |
Perkara keenam itu menjelaskan mengapa ada keluarga dihantar ke dua pejabat berlainan untuk satu carian. Beza antara kedua-dua jabatan itu dihuraikan dalam artikel apa beza JKPTG dengan PTG.
Satu lagi perkara perlu dicatat. Sekiranya permohonan harta alih si mati pernah difailkan di Amanah Raya Berhad, salinan akuan ataupun arahan ARB itu perlu dikemukakan sekali.2
Dokumen yang mungkin diperlukan, mengikut keadaan kes.
| Bil | Dokumen | Bila ia diminta |
|---|---|---|
| 1 | Borang DDA | ada waris yang tidak dapat hadir bicara |
| 2 | Salinan penyata hutang | si mati meninggalkan hutang |
| 3 | Salinan resit cukai tanah ataupun cukai pintu | ada hartanah |
| 4 | Anggaran nilai harta | nilai belum ditentukan |
| 5 | Sijil faraid dari Mahkamah Syariah | hanya apabila diminta pegawai |
| 6 | Surat akuan | ada nama yang tersalah eja dalam dokumen |
| 7 | Sijil mati ibu ataupun ayah arwah | mereka sudah meninggal dunia |
| 8 | Salinan perjanjian jual beli | hartanah masih dalam pembelian |
| 9 | Lukisan struktur waris faraid | susur galur keluarga yang rumit |
Perkara kelima itu perlu diberi perhatian kerana ia menjimatkan masa serta kos. Sijil faraid dari Mahkamah Syariah tidak diperlukan bagi kes biasa di Pejabat Pembahagian Pusaka, kecuali apabila pegawai memintanya, iaitu apabila ada waris yang tidak berpuas hati, apabila kesnya rumit, ataupun apabila kematiannya berlapis.
Sebabnya ada dalam akta itu sendiri. Subseksyen 12(7) mewajibkan pegawai memutuskan siapa benefisiarinya dan berapa kadar bahagian masing-masing, jadi penentuan itu memang sebahagian daripada tugasnya.1 Prosedur di Mahkamah Syariah pula dihuraikan dalam artikel prosedur permohonan perintah faraid di Mahkamah Syariah, manakala kegunaan sijil itu di tempat lain dihuraikan dalam artikel sijil faraid, apa gunanya dan cara mohon di Mahkamah Syariah.
Langkah keempat, failkan Borang A
Borang A dihantar secara dalam talian. Panduan rasmi JKPTG menyatakan bahawa setiap permohonan baharu hendaklah dibuat melalui Borang A secara dalam talian menerusi laman myland.gov.my.3 Permohonan berikutnya melalui Borang P juga dibuat di laman yang sama.3
Tempatnya ditentukan oleh akta. Subseksyen 8(1) membenarkan petisyen difailkan dengan Pegawai Pembahagian Pusaka di mana-mana negeri tempat harta pusaka itu terletak. Subseksyen 4(2) pula memberi bidang kuasa eksklusif kepada pegawai di negeri tempat petisyen itu difailkan, ataupun di negeri tempat petisyen yang pertama difailkan jika ada lebih daripada satu petisyen dan bidang kuasa itu meliputi seluruh pusaka di mana jua ia terletak.9 Ukuran lama, iaitu tempat sebahagian besar nilai harta terletak, sudah digantikan pada 1 September 2009 walaupun cetakan semula lama Akta 98 masih memaparkannya.9 Sejak 2024, unit ukurannya Negeri dan bukan lagi daerah.4 Pejabat bagi setiap negeri disenaraikan dalam senarai unit pembahagian pusaka mengikut negeri.
Permohonan kini dibuat dalam talian melalui MyLand. Borang A hendaklah ditandatangani di hadapan Majistret ataupun Pesuruhjaya Sumpah dan panduan JKPTG menyenaraikan Borang A yang bertandatangan itu sebagai dokumen pertama yang perlu dimuat naik.8
Proses ini dipanggil pemfailan kes pusaka.
Langkah kelima, penilaian dan pendaftaran
Harta dinilai, kemudian pemfailan petisyen itu dimaklumkan kepada pendaftaran pusat di Mahkamah Tinggi.
Langkah ini ada asasnya dalam akta. Subseksyen 8(3) mewajibkan pegawai memberi notis kepada pejabat pendaftaran utama Mahkamah Tinggi tentang pemfailan petisyen itu, serta memastikan daripada pendaftaran itu sama ada terdapat petisyen lain berkaitan pusaka yang sama sudah difailkan lebih awal.1 Subseksyen 8(5) pula mewajibkan pegawai ataupun pegawai penilaian menilai harta dalam pusaka itu di mana jua ia terletak dan penilaian itu muktamad. Pegawai penilaian ialah pegawai penilaian Kerajaan dan termasuk penilai berdaftar di bawah Akta 242.9 Sejak 15 Julai 2024 penilaian itu meliputi semua harta, bukan harta alih sahaja.1 Apabila terdapat lebih daripada satu penilaian, subseksyen 8(6A) yang dimasukkan pada 2024 mewajibkan pegawai memeriksa setiap satunya lalu memutuskan penilaian yang dipakai dan keputusannya muktamad.9 Ketika membentangkan pindaan itu di Dewan Rakyat pada 2021, Menteri menjelaskan bahawa sebelum itu hanya penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) digunakan dan pindaan itu memberi waris pilihan menggunakan penilai swasta sebelum memfailkan permohonan.10
Di sinilah ditentukan sama ada kes itu kekal di Pejabat Pembahagian Pusaka ataupun diangkat ke Mahkamah Tinggi Sivil. Apabila pegawai memutuskan pusaka itu bukan pusaka kecil, subseksyen 8(7) mewajibkannya memindahkan petisyen itu ke Mahkamah Tinggi.1
Perubahan 2024 pada langkah ini. Had pusaka kecil kini lima juta ringgit, naik daripada dua juta.4 Lebih penting lagi, syarat bahawa pusaka kecil mesti mengandungi harta tak alih sudah digugurkan, jadi pusaka yang hanya berupa wang dalam bank pun kini layak.4
Langkah keenam, terima tarikh bicara
Tarikh bicara dibekalkan. Waris yang tidak dapat hadir perlu mengisi Borang DDA, iaitu borang ketidakhadiran bicara.
Ramai salah faham tentang borang ini sehingga takut mengisinya, lalu kes tergantung. Borang DDA bukan borang melepaskan hak. Keputusan waris ditanya di dalamnya, iaitu sama ada dia mahu muafakat, melepaskan hak, ataupun mengikut faraid. Caranya dihuraikan dalam artikel cara mengisi borang DDA.
Peringatan yang paling penting ialah jangan tinggalkan ruang keputusan itu kosong untuk waris lain isikan. Isi sendiri sepenuhnya. Panduan rasmi JKPTG menyatakan dengan jelas bahawa borang persetujuan yang tidak lengkap akan ditolak.5
Borang itu hendaklah ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Majistret ataupun Pentadbir Tanah Daerah.5 Borang DDA dalam warta pula menyenaraikan pengesah lain juga, iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Pegawai Pembahagian Pusaka, Pegawai Konsular dan Notari Awam.13 Ia boleh diperoleh di mana-mana Unit Pembahagian Pusaka, ataupun dimuat turun daripada halaman pembahagian pusaka kecil JKPTG.
Perubahan 2024 pada langkah ini. Notis bicara kini dihantar kepada pemohon dan pemohon pula yang wajib menyampaikan salinannya kepada semua waris yang dinamakan berserta alamatnya dalam petisyen.4 Subseksyen 9(2) tentang penyiaran notis pula dimansuhkan.4 Jadi usahakan alamat setiap waris seawal mungkin dan simpan bukti penyampaian.
Satu laluan baharu juga wujud pada 2024. Apabila pusaka itu hanya harta alih dan tidak melebihi enam ratus ribu ringgit, pemohon boleh memohon perintah pembahagian terus dan subseksyen 8b(3) menyatakan petisyen itu tidak akan dibicarakan langsung.4
Langkah ketujuh, hadiri bicara
Semua waris hadir bicara di Pejabat Pembahagian Pusaka. Pentadbir dilantik secara rasmi dan perintah dikeluarkan.
Dua dokumen boleh keluar pada peringkat ini. Borang E ialah perintah pembahagian, manakala Borang F ialah surat kuasa mentadbir. Senarai penuh borang pada setiap peringkat ada dalam artikel borang-borang di bawah Akta Harta Pusaka Kecil.
Pegawai merekodkan keterangan semua saksi yang hadir,1 lalu memutuskan siapa benefisiarinya serta kadar bahagian masing-masing.1 Sekiranya semua waris dewasa bersetuju dengan cara pembahagian tertentu, pegawai boleh merekodkan persetujuan itu lalu membahagi mengikutnya, melainkan ia kelihatan tidak adil.1
Empat butiran daripada panduan rasmi JKPTG perlu diketahui sebelum hari itu dan kesembilan-sembilan tanggungjawab pemohon disenaraikan sepenuhnya dalam artikel panduan menghadiri perbicaraan pusaka kecil.5
Pertama, bawa dokumen asal. Bukan salinan sahaja. Tarikh, masa dan tempat dinyatakan dalam Borang D bagi permohonan baharu, ataupun Borang S bagi permohonan berikutnya.
Kedua, waris di bawah lapan belas tahun tidak diwajibkan hadir. Yang diperlukan hanyalah salinan kad pengenalan serta surat beranak mereka.
Ketiga, seorang waris yang hadir sendirian perlu membawa dua orang saksi bebas yang mengenali si mati.
Keempat, pemohon yang gagal hadir selepas tiga kali panggilan akan melihat permohonannya dibatalkan. Perlu dibezakan di sini. Yang dibatalkan ialah permohonan apabila pemohon sendiri tidak hadir. Peraturan yang dipinda pada 2024 pula menetapkan bahawa jika pempetisyen ataupun orang yang dikehendaki hadir tidak hadir tanpa sebab yang munasabah, pegawai boleh menolak petisyen setelah dia berpuas hati notis bicara telah disampaikan kepadanya.11 Bagi waris yang tidak dapat hadir, pegawai boleh mengarahkan surat persetujuannya dikemukakan. Jika surat itu tidak dikemukakan, pegawai boleh menyimpulkan perbicaraan sebagaimana yang difikirkannya patut.12 Keadaan waris yang enggan hadir dihuraikan dalam artikel apa perlu buat jika waris enggan bagi kerjasama.
Bayaran perintah pula dijelaskan selepas perbicaraan selesai, berdasarkan nilaian terkini keseluruhan harta si mati semasa tarikh permohonan.5
Kerana itu kata sepakat sebelum bicara memudahkan segalanya.
Langkah kelapan, laksanakan perintah
Pentadbir membawa surat kuasa mentadbir ke institusi berkaitan untuk mencairkan harta, kemudian memastikan harta itu sampai kepada waris dan bertukar kepada nama mereka.
Perintah itu sendiri tidak keluar pada hari bicara. Panduan rasmi JKPTG menyatakan Perintah Pembahagian ataupun Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan dalam tempoh tiga puluh hari setelah perbicaraan selesai.3
Perintah itu juga tidak berkuat kuasa serta-merta. Subseksyen 16(1) menetapkan ia disimpan di pejabat sepanjang tempoh notis rayuan boleh diberikan dan tempoh itu kini tiga puluh hari dari tarikh perintah dibuat.4
Selepas itu barulah salinan perintah dikemukakan, iaitu ke Pejabat Tanah ataupun PTG bagi harta tak alih dan ke agensi yang bertanggungjawab bagi harta alih seperti bank, ASNB ataupun JPJ.3
Perubahan 2024 pada langkah ini. Kini pemohon yang menguruskan pendaftaran perintah itu setakat ia berkaitan tanah dan bukan lagi Pentadbir Tanah.4 Cara perintah itu didaftarkan di Pejabat Tanah dihuraikan dalam artikel perbezaan turun milik dengan pindah milik.
Pada peringkat inilah kesilapan pembahagian paling kerap berlaku, jadi rujuk orang yang mahir apabila pecahannya rumit.
Langkah kesembilan, permohonan berikutnya
Permohonan berikutnya difailkan melalui Borang P dan panduan rasmi JKPTG menyenaraikan enam keadaan yang membolehkannya.3
| Bil | Keadaan |
|---|---|
| 1 | Ada harta yang tertinggal ataupun tidak diisytiharkan dalam permohonan awal |
| 2 | Perlu melantik pemegang amanah yang baharu |
| 3 | Perlu melantik pentadbir yang baharu |
| 4 | Membatalkan perintah pemberian surat kuasa mentadbir lalu memohon pembahagian terus kepada waris |
| 5 | Membatalkan lantikan pemegang amanah lalu memohon turun milik kepada waris |
| 6 | Menarik balik kaveat pendaftar yang dimasukkan oleh Pegawai Pembahagian Pusaka |
Keadaan keempat dan kelima itu berguna kepada keluarga yang dahulunya mendapat surat kuasa mentadbir sedangkan yang sebenarnya diperlukan hanyalah turun milik terus. Cara mengisi borang itu bagi setiap keadaan dihuraikan dalam artikel Borang P pusaka kecil, untuk apa dan cara mengisinya.
Perlu dibetulkan satu salah sangka di sini. Permohonan itu bukan ke mahkamah. Subseksyen 17(1) menetapkan bahawa apabila perlu melantik pemegang amanah baharu ataupun pentadbir baharu, ataupun membuat apa-apa perintah lain ataupun selanjutnya, ataupun menarik balik kaveat, pihak yang berkepentingan membuat permohonan kepada pegawai dalam borang yang ditetapkan.1
Borang P dikemukakan di Unit Pembahagian Pusaka tempat permohonan asal diselesaikan, bersama satu salinan perintah terdahulu.6 Dokumen selebihnya bergantung kepada tujuannya, iaitu salinan hakmilik berserta salinan carian rasmi bagi harta tak alih yang ketinggalan, satu salinan dokumen harta itu bagi harta alih yang ketinggalan, ataupun satu salinan hakmilik yang sudah didaftarkan nama pentadbir bagi pembatalan surat kuasa mentadbir.6
Satu keringanan ditambah pada 2024. Apabila yang perlu dibetulkan hanyalah kesilapan tulisan pada perintah, seksyen 16a yang baharu membenarkan pegawai membetulkannya terus tanpa ulang bicara.4 Jadi nama yang tersalah eja tidak semestinya memerlukan permohonan penuh.
Kesimpulan
Urusan pusaka di Pejabat Pembahagian Pusaka bukan urusan yang rumit, tetapi ia urusan yang menuntut kesabaran serta dokumen yang lengkap.
Sembilan langkah di atas jarang berjalan tanpa tersekat di mana-mana dan tempat yang paling kerap tersekat ialah langkah ketiga, iaitu mengumpulkan dokumen dan maklumat waris. Mulakan dari situ.
Satu perkara lagi perlu diingat sejak 15 Julai 2024. Tiga perkara berpindah ke bahu pemohon, iaitu menyampaikan notis bicara, mendaftarkan perintah di Pejabat Tanah dan menyerahkan dokumen sokongan yang membuktikan pernyataan dalam petisyen.7 Sesiapa yang menguruskan pusaka hari ini perlu merancang untuk tiga kerja tambahan itu.
Pandangan dari sudut masa pula, iaitu apa yang berlaku di setiap peringkat dan apa yang terhasil daripadanya, ada dalam perjalanan urusan pusaka di pejabat pusaka kecil.
Rujukan
aktaAkta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98), seksyen 4, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 17 dan 29↩
lainJKPTG, Senarai Semak Permohonan Petisyen Di Bawah Seksyen 8 (Borang A)↩
lainJKPTG, Panduan Membuat Permohonan Pembahagian Harta Pusaka↩
aktaAkta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 (Akta A1643), seksyen 5, 10, 11, 18, 19 dan 23↩
lainJKPTG, Panduan Menghadiri Perbicaraan Di Bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955↩
aktaAkta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98), subseksyen 8(2), sebagaimana dipinda oleh perenggan 8(b) Akta A1643, serta seksyen 11 dan 18 Akta A1643↩
lainJKPTG, Panduan Membuat Permohonan Pembahagian Harta Pusaka (bacaan 9 Oktober 2026)↩
aktaAkta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98), takrif valuation officer dalam seksyen 2, subseksyen 4(2), 8(1), 8(5) dan 8(6A), teks dikemas kini setakat 15 Julai 2024, dibaca bersama perenggan 5(a) Akta A1331 serta perenggan 3(i) dan 8(e) Akta A1643↩
lainPenyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat, Parlimen Keempat Belas, Penggal Keempat, Mesyuarat Kedua, Bil. 19, 26 Oktober 2021, hlm. 103, ucapan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, semasa membentangkan rang undang-undang meminda Akta 98 untuk bacaan kali yang kedua↩
lainPeraturan-Peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2024 [P.U. (A) 194/2024], peraturan 4, 6, 6A, 12A, 18(3) dan 27(3), Borang D serta Jadual Kedua↩
aktaAkta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 (Akta A1643), perenggan 14(f), subseksyen 12(11) dan 12(12) Akta 98↩
lainPeraturan-Peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2024 [P.U. (A) 194/2024]↩
Soal Jawab
Ada soalan tentang topik ini? Hantar di sini dan kami jawab dengan rujukan. Soalan yang berguna untuk ramai orang dipaparkan selepas dijawab, tanpa nama.
Log masuk atau daftar percuma untuk menyimpan artikel dan mengikuti jawapan.