Hukum Pembunuhan dan Pengaruhnya Terhadap Hak Pewarisan

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Dalam hukum Islam, warisan adalah hak yang diberikan kepada waris setelah kematian seseorang. Namun, terdapat halangan-halangan tertentu yang boleh menggugurkan hak seseorang waris, dan antara yang paling utama ialah pembunuhan.

Perbuatan membunuh seorang yang mewariskan harta (muwarris) boleh menggugurkan hak pembunuh daripada mewarisi harta tersebut, berdasarkan prinsip:

“من استعجل بشيء قبل أوانه عوقب بحرمانه”

Maksudnya: “Sesiapa yang tergesa-gesa mendapatkan sesuatu sebelum waktunya, maka dia dihukum dengan tidak memperolehinya.”

Kesepakatan Ulama

Para ulama mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali bersepakat bahawa pembunuhan yang menyebabkan qisas (hukuman balas bunuh) akan menggugurkan hak pewarisan. Ertinya, pembunuh yang baligh dan berakal tidak boleh mewarisi harta si mati jika pembunuhan itu dilakukan secara langsung dan dengan niat jahat.

Perbezaan Pandangan Ulama Mazhab

Pandangan Mazhab Hanafi

Pembunuhan yang menghalang warisan menurut tiga imam besar Hanafi (Abu Yusuf, Muhammad dan Jumhur Hanafi), pembunuhan yang menghalang warisan adalah pembunuhan sengaja dan zalim, seperti membunuh seseorang yang diketahui sebagai insan yang dimuliakan (ma’sum) dengan alat yang lazim membawa maut.

Pandangan khas Abu Hanifah, beliau mengehadkan pembunuhan yang menyebabkan qisas kepada pembunuhan dengan senjata atau benda tajam/pemecah anggota badan, seperti pisau, batu tajam dan sebagainya.

Pembunuhan separa sengaja (شبه العمد) seperti memukul dengan objek yang biasanya tidak membawa maut, tetap menghalang warisan menurut Hanafi.

Pembunuhan tidak sengaja (الخطأ) seperti kes menembak haiwan lalu terkena manusia juga menyebabkan waris tidak mewarisi.

Namun, jika pembunuhan terjadi melalui sebab tak langsung atau dilakukan oleh kanak-kanak atau orang gila, maka tidak gugur hak waris, kerana mereka tidak dianggap sebagai pembunuh dari sudut syarak.

Pandangan Mazhab Maliki

Dalam pandangan utama, pembunuh sengaja secara langsung atau tidak langsung tetap diharamkan daripada mewarisi, termasuk juga jika pelakunya adalah kanak-kanak atau orang gila.

Namun terdapat pandangan lain dalam mazhab Maliki bahawa kanak-kanak dan orang gila jika membunuh secara sengaja, ia dianggap seperti pembunuhan tidak sengaja dan masih boleh mewarisi harta (tetapi bukan diyat).

Pandangan Mazhab Hanbali

Sama seperti Maliki, Hanbali melarang pewarisan bagi pembunuh yang membunuh secara sengaja, baik langsung atau tidak langsung.

Ini termasuk kes kanak-kanak dan orang gila, meskipun mereka tidak dikenakan qisas.

Mereka juga melarang warisan bagi pembunuhan yang terjadi walaupun dengan syubhat (seperti bapa membaling anak dengan batu).

Pandangan Mazhab Syafi‘i

Mazhab Syafi‘i paling ketat dalam hal ini. Mereka berpendapat bahawa setiap individu yang ada kaitan dengan pembunuhan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan niat atau tidak, secara sah atau tidak sah tetap diharamkan daripada mewarisi.

Ini termasuk pegawai yang melaksanakan hukuman mati, hakim, saksi, doktor yang membuka luka untuk rawatan, orang yang membunuh secara tidak sengaja seperti tidur dan orang gila.

Mereka berdalilkan hadis:

“ليس للقاتل من الميراث شيء”

Maksudnya: “Pembunuh tidak mendapat bahagian dari warisan apa pun.”

Pengecualian: Pembunuhan Dengan Hak

Menurut Hanafi, Maliki dan Hanbali, jika pembunuhan itu berlaku dengan hak, seperti:

  • Qisas (hukuman balas)
  • Hudud (hukuman syarak)
  • Membela diri daripada serangan maka tidak berlaku pengguguran hak waris – kerana pembunuhan itu dilakukan dengan keizinan syarak.

Namun, Syafi‘iyah tetap berpendapat bahawa setiap bentuk pembunuhan tetap menggugurkan hak waris walaupun dilakukan dengan hak.

Kata Penutup

Kesimpulannya, majoriti mazhab menyatakan bahawa pembunuhan secara sengaja dan zalim menggugurkan hak warisan. Tetapi terdapat perbezaan pendapat apabila melibatkan:

  • Pembunuhan tidak sengaja
  • Pembunuhan oleh kanak-kanak dan orang gila
  • Pembunuhan dengan sebab tidak langsung
  • Pembunuhan yang dibenarkan oleh syarak

Perbezaan ini menunjukkan kehalusan dan keadilan sistem Fiqh Islam dalam menilai niat, kaedah dan tanggungjawab seseorang terhadap kematian warisnya.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top