fbpx

Kenali Kaedah 4 TA: Tamastul, Tadakhul, Tawafuq & Tabayun

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan. Tuan puan boleh ke laman utama untuk lihat apa yang saya usahakan.

Perkongsian kali ini saya ingin memperkenalkan kaedah 4 TA yang wajib diketahui dan wajib difahami oleh pengira faraid. Jika gagal memahami, maka masalah pengiraan faraid tidak mampu diselesaikan.

Poster di atas menjelaskan keseluruhan topik berkaitan dengan kaedah 4 TA ini. Namun begitu, saya akan ulang kembali dengan sedikit huraian.

Sebelum itu, apa sebenarnya kaedah ini?

Kaedah TA ini adalah kaedah yang mencari nombor yang sesuai antara nombor yang ada untuk menyamakan antara penyebut, tashihkan bilangan yang tidak dapat dipecahkan dan sebagainya.

Jom kita fahami kaedah 4 TA iaitu tamastul, tadakhul, tawafuq dan tabayun.

Kaedah pertama, tamastul.

Tamastul bermaksud “sama”. Ini bermakna antara nombor yang ada adalah sama. Sebagai contoh, nombor 2 dan 2, 3 dan 3, 4 dan 4, dan sebagainya. Kaedah ini ialah kita memilih salah satu nombor sahaja.

Contoh kes pusaka:

Pengiraan Tamastul

Kes pertama, suami dapat 1/2 disebabkan si mati tiada anak dan saudara perempuan seibu sebapa dapat 1/2 disebabkan dia seorang dan tiada waris yang mengasobahkannya. Penyebut suami nombor 2 dan penyebut saudara perempuan juga 2, maka kita memilih salah satu nombor sahaja untuk dijadikan asal masalah.

Kes kedua, ibu dapat 1/6 disebabkan si mati ada adik beradik ramai, saudara lelaki seibu dapat 1/6 disebabkan dia seorang dan saudara lelaki seibu sebapa dapat asobah. Pecahan yang ada ialah pecahan ibu dan saudara lelaki seibu yang masing-masing dapat 1/6. Apabila nombor 6 bertemu dengan nombor yang sama, maka cukuplah pilih salah satu nombor sahaja untuk dijadikan asal masalah.

Kaedah kedua, tadakhul.

Tadakhul bermakna “masuk”. Ini bermakna nombor kecil boleh masuk ke dalam nombor besar. Untuk semak nombor tersebut sama ada ia tadakhul ataupun tidak ialah (nombor besar ÷ nombor kecil = nombor genab/tidak ada perpuluhan). Kaedah ini ialah pilih nombor besar sahaja.

Contoh kes pusaka:

Pengiraan Tadakhul

Kes pertama, suami dapat 1/4 disebabkan si mati mempunyai anak, anak perempuan dapat 1/2 disebabkan dia seorang dan saudara lelaki seibu sebapa dapat asobah. Dalam kes ini, penyebut suami adalah 4 dan penyebut anak perempuan adalah 2. Apabila nombor kecil (2) boleh masuk ke dalam nombor besar (4), maka kita pilih nombor besar sahaja.

Kes kedua, ibu dapat 1/6 disebabkan si mati mempunyai adik beradik ramai, 2 orang saudara lelaki seibu melayakkan mereka dapat 1/3 disebabkan mereka ramai dan saudara lelaki seibu sebapa dapat asobah. Penyebut ibu adalah nombor besar (6) dan penyebut saudara lelaki seibu pula nombor kecil (3), maka cukuplah kita mengambil nombor 6 sebagai asal masalah.

Kaedah ketiga, tawafuq.

Tawafuq bermaksud “sesuai” “setuju”. Ini bermakna kedua-dua tidak sama dan tidak boleh masuk satu sama lain, tetapi ia bertemu (sesuai/setuju) pada gandaan sepunya terkecil. Kaedah ini ialah dengan mengambil gandaan sepunya terkecil.

Contoh kes pusaka:

Pengiraan Tawafuq

Kes pertama, isteri dapat 1/4 disebabkan arwah tidak mempunyai anak, ibu dapat 1/6 disebabkan si mati mempunyai adik beradik ramai dan 2 saudara lelaki seibu sebapa dapat asobah. Kes ini, pecahan isteri 1/4 dan pecahan ibu 1/6, maka nombor 4 dan nombo 6 bukanlah tamastul dan bukan tadakhul. Jadi, nombor 4 dan nombor 6 ini bertemu dapat gandaan sepunya terkecil.

Sifir 4 : 4, 8, 12, 16, 20. Sifir 6 : 6, 12, 18, 24. Jika kita lihat mereka ada persamaan pada nombor 12, maka ambil nombor tersebut sebagai asal masalah.

Kes kedua, ibu dapat 1/6 disebabkan si mati ada anak, isteri dapat 1/8 disebabkan mempunyai anak juga dan anak lelaki dapat asobah. Penyebut ibu ialah nombor 6 dan penyebut isteri pula nombor 8. Ini menunjukkan nombor tersebut bukan tamastul dan bukan tadakhul. Apabila kita lihat pada gandaan sepunya terkecil, maka mereka bertemu pada nombor 24.

Sifir 6 : 6, 12, 18, 24. Sifir 8 : 8, 16, 24, 32. Kita lihat bahawa mereka bertemu pada nombor 24, maka kita ambil tersebut sebagai asal masalah.

Kaedah keempat, tabayun.

Tabayun bermakna “berbeza”. Ini bermakna kedua-dua nombor berbeza, ia tidak sama, tidak boleh masuk satu sama lain, tidak ada gandaan sepunya kecil. Kaedah ini ialah perlu darab satu sama lain.

Contoh kes pusaka:

Pengiraan Tabayun

Kes pertama, suami dapat 1/2 disebabkan si mati tiada anak, 2 orang saudara perempuan seibu sebapa dapat 2/3 disebabkan mereka ramai dan tiada ahli waris yang mengasobahkan mereka serta saudara lelaki sebapa dapat asobah. Jika kita lihat nombor 2 dan nombor 3, kedua-dua nombor tersebutlah bukan tamastul, bukan tadakhul, bukan tawafuq, maka yang berbaki ialah tawafuq.

Begitu juga kes kedua, ibu dapat 1/3 disebabkan si mati tiada anak dan adik beradik seorang, suami dapat 1/2 disebabkan si mati tiada anak dan saudara lelaki seibu sebapa dapat asobah. Nombor 2 dan nombor 3 adalah tabayun yang mana kedua-dua pecahan perlu darab sesama sendiri untuk dapatkan asal masalah.

Jom kita semak adakah ia tabayun?

Nombor 2 dan nombor 3.

1) Kedua-dua bukan tamastul disebabkan nombor tidak sama.

2) Kedua-dua bukan tadakhul kerana nombor 3 tidak boleh dibahagikan dengan nombor 2. Jika dibahagikan, nombor yang keluar 1.5.

3) Kedua-dua bukan tawafuq kerana tiada gandaan sepunya. Sifir 2 : 2, 4, 6, 8. Sifir 3 : 3, 6, 9, 12. Gandaan nombor sepunya yang terkecil adalah nombor 6 merupakan hasil darab 2 x 3 = 6 dan 3 x 2 = 6. Ini bermakna mereka adalah tabayun.

Allahu A’lam.

Alhamdulillah, berakhirlah penerangan tentang kaedah TA yang wajib difahami oleh pengira faraid. Semoga perkongsian ringkas ini mampu memberi pencerahan kepada semua. Jika ada pertanyaan, tuan puan boleh komen diruangan komen di bawah atau mesej secara persoal.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?