
Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Pengenalan
Ramai yang tertanya-tanya — wajibkah harta pusaka dibahagikan mengikut faraid? Atau cukupkah sekadar waris bersetuju sesama sendiri? Persoalan ini sering timbul terutamanya apabila berlaku kematian dalam keluarga.
Dalam keadaan emosi yang bercampur-baur, ramai yang keliru dengan kedudukan sebenar hukum faraid, dan sejauh mana wasiat serta hibah boleh digunakan sebagai alternatif.
Ada satu video oleh seorang peguam syarie yang cuba memberikan penerangan tentang perkara ini. Namun, ada beberapa kenyataan dalam video tersebut yang perlu diperbetulkan agar masyarakat tidak tersalah faham dan menolak hukum faraid secara tidak sedar.
Skrip Video
“Wajibkah nak ikut faraid ni? Atau boleh tak nak ikut? Adakah cara-cara lain kita nak uruskan pusaka? Baik, ini penjelasannya. Tuan-tuan-puan-puan semua, dalam Islam ini, faraid ini merupakan salah satu instrument ataupun mekanisme ataupun itulah alat untuk kita uruskan pusaka. Apa lagi instrument lain yang kita ada Islam bagi? Kita ada wasiat, kita ada hibah.”
“Tuan-tuan-puan-puan semua, dalam hierarki pengurusan pusaka, daripada urus jenazah, bayar hutang, harta sepencarian, wasiat hibah, kemudiannya urus faraid tu, nak urus faraid ni yang terakhir, adakah kita terus nak jam kepada faraid? Jawapannya tidak, tuan-tuan-puan semua.”
“Sekiranya, waris-waris ada persetujuan nak dibahagikan harta-harta tersebut mengikut porsyen ataupun mengikut persetujuan masing-masing, boleh jawapannya. Faraid ni bila mana penting ataupun perlu adalah bila mana waris-waris ni tak ada persetujuan.”
“Semua bergaduh. Tak nak, tak nak, aku tak nak ni, tak nak ikut ni, aku nak lebih, aku nak kurang, apa sebagainya. Kalau sampai tahap itu, maka kat situ lah pentingnya untuk ikut kembali hukum faraid.”
“Tetapi, sekiranya dah selesai semua urusan pusaka yang lain, tinggal yang last ni, ada bayaran lagi harta ni. Ada lagi 3 biji rumah, 2 biji kereta. So, waris-waris kata macam ni lah. Abang senang, awak tak senang sangat. Okey, gini. Rumah ni awak ambil, rumah ni awak ambil, rumah ni awak ambil, kereta ni awak ambil awak.”
“So, kita semua setuju. Kalau semua setuju begitu, makanya tak perlu lagi nak ikut faraid.”
Ulasan Dan Analisis Skrip Video
Dalam video tersebut, peguam itu memulakan dengan pertanyaan: “Wajibkah nak ikut faraid ni? Atau boleh tak nak ikut?” Beliau seterusnya menerangkan bahawa faraid adalah salah satu “instrumen” dalam pengurusan pusaka, sebaris dengan hibah dan wasiat.
Kemudian beliau menyatakan bahawa pengurusan pusaka bermula dengan urusan jenazah, pembayaran hutang, wasiat, hibah dan akhirnya faraid. Beliau menegaskan bahawa faraid hanya menjadi penting apabila berlaku pertelingkahan antara waris.
Sekiranya waris-waris bersetuju membahagikan harta secara muafakat, maka katanya, “tak perlu lagi nak ikut faraid.”
Di sinilah timbulnya masalah paling besar dalam skrip tersebut. Kenyataan “kalau semua setuju begitu, makanya tak perlu lagi nak ikut faraid” adalah satu kesalahan kritikal.
Ia boleh membawa kepada salah faham bahawa faraid hanyalah pilihan terakhir, sedangkan pada hakikatnya faraid adalah ketetapan syarak yang wajib dipatuhi kecuali jika berlaku perdamaian yang sah selepas semua waris mengetahui bahagian masing-masing.
Kedudukan Faraid Dalam Islam
Faraid ialah kaedah pengagihan harta pusaka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam al-Quran, dan ia disokong oleh hadis serta ijmak ulama. Ia bukan satu pilihan, tetapi suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan apabila seseorang Muslim meninggal dunia dan meninggalkan harta. Namun, pembagian faraid kepada waris hanya terpakai setelah semua tuntutan lain terhadap harta tersebut diselesaikan.
Mengikut urutan yang betul menurut hukum syarak, harta pusaka seseorang hanya boleh dibahagikan selepas selesai urusan jenazah seperti kos pengebumian, pembayaran hutang si mati, pelaksanaan wasiat (tertakluk kepada had maksimum satu pertiga dan tidak kepada waris), serta tuntutan harta sepencarian jika ada. Hanya selepas semua perkara ini diselesaikan, barulah baki harta diagihkan menurut hukum faraid.
Bolehkah Waris Berbincang & Bahagi Secara Muafakat?
Jawapannya, ya. Tetapi dengan syarat yang sangat penting iaitu waris perlu terlebih dahulu mengetahui dengan jelas bahagian masing-masing yang telah ditetapkan dalam faraid. Mereka juga mesti baligh, berakal, tidak dipaksa, dan membuat keputusan secara rela hati.
Perbincangan atau muafakat antara waris dalam pengagihan harta disebut sebagai sulh dengan menggunakan kaedah takharuj (lepas hak iaitu satu bab dalam ilmu faraid). Ini bermakna waris yang boleh banyak akan melepaskan hak dan diberikan kepada waris yang dapat sedikit.
Kaedah ini dibenarkan dalam fiqh Islam kerana ia menggalakkan penyelesaian secara damai.
Namun begitu, sulh tidak boleh menggantikan faraid dari awal. Ia hanya boleh berlaku selepas semua waris memahami dan mengiktiraf hak masing-masing. Jika ada walau seorang waris yang tidak bersetuju, maka faraid mesti dilaksanakan mengikut peratusan yang telah ditetapkan oleh Allah.
Perlu difahami bahawa faraid bukanlah pilihan terakhir sekiranya berlaku pergaduhan. Ia adalah hukum asal yang perlu dirujuk walaupun apa keadaan sekalipun sama ada waris yang bergaduh ataupun tidak.
Allah Taala berfirman tentang pembahagian faraid adalah satu ketetapan:
فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّهِ
Maksudnya: “…Ketetapan daripada Allah…” – (Surah An-Nisa’, ayat 11).
Peranan Wasiat & Hibah Dalam Perancangan Harta
Dalam usaha merancang harta semasa hidup, pemilik harta digalakkan menggunakan dua instrumen penting yang dibenarkan dalam Islam iaitu wasiat dan hibah.
Wasiat merupakan pemberian yang dibuat oleh seseorang untuk berkuat kuasa selepas kematiannya. Ia hanya sah kepada bukan waris dan terhad kepada maksimum satu pertiga daripada jumlah harta.
Waris tidak boleh menerima wasiat melainkan dengan persetujuan semua waris lain, berdasarkan hadis Nabi SAW: “Tidak sah wasiat kepada waris.”
Sementara itu, hibah ialah pemberian yang dilaksanakan semasa hidup. Hibah berperanan jika seseorang ingin memberi kelebihan kepada waris tertentu atas sebab-sebab tertentu. Misalnya kepada anak yang menjaga si ibu bapa atau kepada anak angkat yang tidak berhak menerima faraid.
Contohnya, dalam skrip video tadi, peguam menyebut: “Kita ada seorang anak kandung, seorang anak angkat. Kita dah tahu anak angkat ni takkan semua warisi faraid kita. Tapi dia yang jaga kita. Jadi, kita buatlah hibah siap-siap. Kita bagi satu biji rumah kepada anak angkat kita ni.”
Ini adalah satu contoh yang baik bagaimana hibah boleh dimanfaatkan untuk merancang harta dengan adil dan berhemah.
Penutup
Kesimpulannya, faraid adalah satu hukum yang tetap dan tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya. Muafakat antara waris dibenarkan, tetapi bukan sebagai pengganti hukum. Ia hanya boleh berlaku selepas semua waris mengetahui hak masing-masing dan bersetuju untuk membuat pembahagian secara sulh.
Bagi pemilik harta yang masih hidup, perancangan awal amat penting. Gunakanlah hibah dan wasiat sebagai langkah pencegahan pertelingkahan waris. Dengan perancangan yang baik, bukan sahaja kita menjaga hak setiap waris, bahkan kita meninggalkan legasi yang diberkati.
Faraid bukan penyebab perbalahan, sebaliknya ia adalah pelindung keadilan waris. Yang menjadi punca perbalahan adalah apabila kita gagal merancang, gagal memahami dan gagal menyampaikan amanah harta dengan cara yang betul.
Rancanglah harta kita hari ini, supaya selepas pemergian kita kelak. Yang tinggal hanyalah kenangan yang indah, bukan luka dan sengketa.
(Update) Pihak peguam tersebut telah membuat respon balas dan saya juga telah membuat penjelasan terhadap respon beliau. Sila baca di sini.