Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Perkongsian kali ini agak berbeza dengan perkongsian sebelum ini apabila persoalan yang ditanya berkaitan dengan talak dan rujuk. Namun, disebabkan perkahwinan adalah salah satu sebab pewarisan, maka saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskan persoalan yang timbul. Ini kerana jika perceraian berlaku dan telah tamat iddah, maka pasangan tersebut tidak mewarisi satu sama lain.
Isi Kandungan
Persoalan
Adakah talak dan rujuk di luar mahkamah tidak sah?
Adakah talak dan rujuk mesti dilakukan di mahkamah?
Jawapan
Bissmillah, soalan ini satu soalan yang baik dan banyak berlaku di dalam masyarakat kita. Namun, banyak lagi yang keliru berkenaan isu ini.
Sebelum kita pergi jauh, kita fahami terlebih dahulu dalil pensyariatan, definisi talak dan rukunnya.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan suami-suami mereka lebih berhak kembali (ruju’ kepada) isteri-isteri mereka, dalam masa iddah jika mereka hendak berdamai.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)
“Talaq (yang boleh diruju’ kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (ruju’ dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya ) dengan cara yang baik.” (Al-Baqarah ayat 229)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiga perkara yang dibuat bersungguh-sungguh ia akan menjadi bersungguh-sungguh, dan jika dibuat main-main pun akan menjadi bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai dan ruju’.” (Riwayat: Abu Daud & Inu Majah)
Definisi talak ialah membubarkan akad nikah dengan lafaz “talak atau cerai” dan seumpamanya. Talak akan berlaku jika memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Setiap rukun terdapat syarat-syaratnya.
Rukun Talak
Pertama, suami.
Kedua, isteri.
Ketiga, sighah (lafaz). Lafaz sarih (jelas) jatuh talak walaupun tanpa niat. Lafaz kinayah (kiasan) jatuh talak dengan niat.
Keempat, niat.
Kelima, wilayah (kekuasaan).
Manakala definisi rujuk dan rukunnya.
Definisi rujuk ialah mengembalikan isteri yang telah diceraikan dengan talaq raj’ie kepada ikatan perkahwinan dengan suaminya menggunakan lafaz tertentu dalam tempoh iddah.
Rukun Rujuk
Pertama, suami.
Kedua, isteri.
Ketiga, sighah (lafaz). Lafaz sarih (jelas) dikira rujuk walaupun tanpa niat. Lafaz kinayah (kiasan) dikira rujuk dengan niat.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Setelah tuan puan memahami apa yang kongsikan di atas, sekiranya berlakunya talak ataupun rujuk dengan memenuhi rukun dan syarat (perlu diperincikan), maka talak dan rujuk tersebut adalah sah dalam syariat. Namun dari segi undang-undang dijelaskan dalam enakmen negeri-negeri antaranya:
Seksyen 57 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, memperuntukkan bahawa seseorang suami yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah serta tanpa kebenaran Mahkamah, perlu membuat laporan kepada Mahkamah.
Seksyen 57 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Mahkamah akan mengesahkan sama ada lafaz talaq yang dilafazkan tersebut adalah sah dan menjatuhkan talaq.
Pencerahan
Cuma tuan puan perhatikan, enakmen yang tertulis ialah “pengesahan” dan bukan menjatuhkan. Ini bermakna mahkamah berfungsi mengesahkan lafaz talak dan rujuk menepati apa yang digariskan. Maksud “bukan menjatuhkan” adalah talak dan rujuk tersebut telah berlaku walaupun di luar mahkamah. Berbeza “menjatuhkan” di mana talak belum berlaku dan ia berlaku di dalam mahkamah.
Sekiranya rukun dan syarat talak dipenuhi, maka sah lah talak tersebut. Begitu juga rujuk yang mana jika suami melafazkan rujuk dalam tempoh iddah, maka sah lah rujuk tersebut.
Oleh itu, jika seseorang yang telah bercerai dan ingin rujuk kembali tetapi bimbang jika menunggu pengesahan cerai terlalu lama sehingga tamat iddah, maka tiada masalah untuk rujuk kembali di luar mahkamah. Ini kerana jika rujuk dibuat selepas iddah, maka rujuk itu tidak dikira disebabkan tamat tempoh dan perlukan kepada akad nikah yang baru.
Semasa membuat pengesahan cerai di Mahkamah Syariah, sekalikan pengesahan rujuk. Pastikan tuan puan merujuk ahli yang betul dalam masalah ini supaya talak dan rujuk itu sah di sisi syarak.
Isu talak dan rujuk, jika suami dalam keadaan sedar, tiada paksaan, lalu terkeluar lafaz talak yang jelas, semestinya talak tersebut jatuh seumpama, “Aku ceraikan kau, XXXX binti XXXX dengan talak satu”. Begitu juga lafaz rujuk, “Aku rujuk kepadamu, XXXX binti XXXX”, maka lafaz tersebut adalah sah.
Mengapa perlu buat pengesahan di mahkamah?
Jawapan mudah ialah untuk sahkan talak dan rujuk tersebut ini dan merekodkan supaya jika berlaku lagi pada masa hadapan, maka talak yang lepas dan yang baru berlaku dihimpunkan. Ini kerana jika berlaku talak ketiga, maka tiada rujuk selepas daripada itu kerana talak tersebut adalah talak bain.
Kesimpulan
Untuk keluar daripada polimik, sebaiknya rujuk kepada pejabat agama atau Mahkamah Syariah. Ini kerana adalah bidang kuasa mereka menentukan kesahihan nikah kahwin, cerai dan rujuk. Perkara yang tidak boleh dibuat main seperti yang dijelaskan hadith bahawa nikah kahwin, cerai dan rujuk ini dikira walaupun semata-mata bergurau, sekiranya cukup rukun dan syaratnya, maka ia tetap sah di sisi syarak walaupun di luar mahkamah.
Alhamdulillah, selesai sudah pencerahan saya tentang talak dan cerai. Hal ini penting untuk diketahui supaya pewarisan yang berlaku diberikan kepada waris yang benar-benar layak. Jika tidak, berlaku individu yang memakan hak orang lain secara batil.
Allahu A’lam.
Rujukan: Tuan puan boleh baca tentang talak (tekan sini) dan tentang rujuk (tekan sini).