Persoalan: Kenapa Harta Pusaka Masih Belum Selesai?

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Isu waris yang terhalang daripada mendapat hak faraid bukanlah perkara baru. Namun apabila waris sah diabaikan, urusan pusaka ditangguh bertahun-tahun dan dokumen hak milik tidak telus, maka timbul persoalan penting iaitu apa hak waris dan bagaimana mahu menuntutnya?

Dalam satu kes yang dikongsikan kepada kami, pemilik berdaftar tanah (mengikut geran) ialah seorang pakcik yang telah meninggal dunia. Namun, tanah tersebut sebenarnya asal milik arwah datuk dan telah dipindahkan atas nama pakcik untuk tujuan pinjaman KWSP bagi membina rumah.

Pemindahan ini dibuat secara lisan dengan janji bahawa geran akan dipulangkan semula kepada keluarga tetapi tiada bukti bertulis. Selepas si mati meninggal dunia, anak lelaki beliau enggan memberi kerjasama untuk memulangkan atau membahagikan semula tanah tersebut, walaupun waris lain berulang kali cuba berbincang.

Siapa Sebenarnya Layak Menerima Pusaka Mengikut Faraid?

Isu utama yang sering timbul ialah siapa yang layak menuntut hak faraid. Berdasarkan hukum faraid:

  • Jika simati mempunyai anak lelaki, maka waris lain seperti adik-beradik atau anak buah tidak layak menerima pusaka.
  • Jika simati tidak mempunyai anak, barulah adik-beradik dan anak buah (jika tiada waris lebih utama) boleh menjadi penerima pusaka.
  • Kelayakan faraid tidak bergantung pada siapa yang paling berjasa atau siapa yang menjaga harta, tetapi berdasarkan nas al-Quran dan prinsip syariah.

Jadi penentuan waris hendaklah disemak kembali dengan ahlinya bagi menentukan waris yang layak menerima pusaka. Bukan semua waris tu layak menerima. Ada waris terdinding dengan kewujudan ahli waris yang lebih utama.

Kenapa Urusan Pusaka Boleh Bertahun-Tahun Tertangguh?

Antara sebab utama urusan pusaka tidak selesai walaupun telah bertahun-tahun berlalu (contohnya sejak 2017) termasuklah:

  • Waris enggan bekerjasama atau mengelak daripada perbincangan.
  • Tiada permohonan rasmi dibuat ke Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.
  • Wujud perpindahan nama tanpa dokumen sokongan atau atas dasar janji mulut.
  • Ada unsur salah guna kuasa, contohnya waris bekerja di pejabat tanah dan dipercayai menukar nama pemilikan tanah tanpa persetujuan waris lain.
  • Kaveat tanah dimasukkan bagi menghalang pindah milik.
  • Pertikaian tentang asal-usul pemilikan tanah (contohnya tanah asal milik datuk, tetapi telah berpindah kepada seorang anak sahaja).

Apa Itu Kaveat & Bagaimana Ia Menjejaskan Urusan?

Kaveat adalah notis undang-undang yang dimasukkan ke dalam geran tanah untuk menghalang sebarang pemindahan hak milik tanpa pengetahuan pihak yang berkepentingan.

Dalam kes ini, borang geran menunjukkan wujudnya kaveat, menandakan mungkin ada pihak yang mempertikai hak milik tanah tersebut.

Kaveat perlu diteliti oleh peguam dan sekiranya perlu, boleh dicabar di Mahkamah Tinggi dengan bukti dan keterangan waris yang sah.

Persoalan & Jawapan Secara Detail

Persoalan Pertama:

“Saya ingin tahu kenapa harta pusaka terlalu lama untuk diselesaikan. Nama geran adalah nama pakcik saya yang telah meninggal dunia. Adakah adik beradik simati atau saya selaku anak buah si mati layak untuk menerima tuntutan faraid?”

Penjelasan:

Dalam hukum faraid, waris yang layak adalah ditentukan berdasarkan hubungan darah dan kedudukan waris.

Jika pakcik meninggal dunia ada anak lelaki, maka adik-beradik dan anak buah (cucu saudara) tidak mewarisi kerana anak lelaki termasuk dalam kategori asobah (waris utama).

Jika simati tiada anak dan isteri, maka adik-beradik akan mewarisi. Anak buah (cucu saudara) hanya mewarisi jika tiada waris yang lebih utama.

Tempoh lama penyelesaian pusaka biasanya berpunca daripada:

  • Tiada dokumen lengkap.
  • Tiada persetujuan waris.
  • Tiada permohonan rasmi dibuat ke Pejabat Pusaka Kecil / Mahkamah Tinggi Sivil.

Persoalan Kedua:

“Nama tersebut masih nama simati. Tetapi anak lelaki si mati kenapa melengahkan urusan ini. Untuk pengetahuan tuan, anak simati juga bekerja di pejabat tanah bahagian pengurusan tanah.”

Penjelasan:

  • Secara hukum dan undang-undang, urusan pusaka perlu dibuat oleh waris, bukan bergantung kepada kedudukan kerja seseorang.
  • Walaupun anak si mati bekerja di pejabat tanah, dia tetap tidak boleh menggunakan kedudukan untuk menghalang hak waris lain.
  • Jika ada unsur penangguhan tanpa alasan yang munasabah, waris lain boleh membuat permohonan terus ke pejabat pusaka atau Mahkamah.

Persoalan Ketiga:

“Saya ingin mendapatkan hak-hak waris iaitu adik-beradik si mati yang lain mengikut tuntutan faraid… kerana sebelum ini beberapa kali bincang, anak simati enggan memberi kerjasama.”

Penjelasan:

Jika adik-beradik adalah waris sah, mereka berhak kepada bahagian faraid.

Jika anak si mati enggan kerjasama, waris boleh lantik peguam untuk failkan permohonan tanpa persetujuan (sekiranya cukup bukti hubungan dan dokumen).

Waris juga boleh memohon Sijil Faraid di Mahkamah Syariah untuk sahkan siapa waris yang sah.

Persoalan Keempat:

“Tanah asal milik arwah atuk saya. Telah dipindah kepada si mati (pakcik) sebab dia mahu buat rumah guna KWSP. Tapi janji akan pulangkan geran. Sekarang geran masih atas nama si mati.”

Penjelasan:

Ini adalah pemindahan nama atas dasar kepercayaan (trust) tanpa dokumen rasmi. Ini dipanggil secara undang-undang sebagai “constructive trust”.

Tanah tersebut masih dianggap tanah pusaka atuk jika tiada bayaran pampasan atau jual beli sebenar berlaku.

Jika waris lain boleh buktikan pemindahan ini bersifat sementara, mereka boleh cabar geran di Mahkamah.

Persoalan ini menyebabkan berlaku percanggahan hak pemilikan dengan undang-undang. Hak pemilikan di sisi syarak dikira sebagai hak datuk dan secara undang-undang ia adalah hak milik pakcik kerana sistem pemilikan yang tertulis di dalam geran adalah pemilik mutlak.

Jadi, persoalan pertama tidak terpakai untuk pembahagian faraid arwah pakcik. Pembahagian faraid hendaklah berdasarkan kematian datuk dan penentukan waris berdasarkan waris datuk.

Persoalan Kelima:

“Saya ada dengar khabar SPRM datang buat siasatan di pejabat tanah Kuala Langat dan Sepang. Tetapi orang yang disiasat sudah pencen.”

Penjelasan:

SPRM berkuasa siasat salah guna kuasa, walaupun seseorang itu telah bersara.

Jika tuan/puan ada bukti atau maklumat kukuh tentang salah guna kedudukan (contohnya penukaran nama geran secara tidak sah), boleh buat laporan rasmi ke SPRM.

Persoalan Keenam:

“Maaf bertanya, jika kami lantik peguam untuk uruskan kes ini, berapa anggaran kos dari A sampai Z? Dalam borang tertulis kes dari tahun 2017 dan ada borang kaveat.”

Penjelasan:

Kos guaman bergantung pada:

  • Nilai harta (biasanya 3%–5%).
  • Jenis kes (sivil, Syariah dan urusan pusaka).
  • Sama ada ada pertikaian/kes litigasi.

Anggaran kasar: RM5,000 hingga RM15,000 (atau lebih jika masuk Mahkamah Tinggi)

Kaveat bermakna ada pihak yang telah masukkan halangan undang-undang supaya tanah tidak boleh dipindah milik.

  • Perlu semak siapa masukkan kaveat dan atas alasan apa.
  • Peguam boleh bantu pohon tarik balik atau cabar kaveat di mahkamah.

Kesimpulan

Harta pusaka yang dibiarkan tanpa tindakan bukan hanya menyebabkan kehilangan hak waris, tetapi boleh membuka ruang kepada perebutan, fitnah dan penganiayaan.

Kes ini mengajarkan tentang pentingnya penentukan waris sebenar supaya harta pusaka diagihkan kepada waris faraid dengan cara yang betul.

Islam mengajar kita untuk menyegerakan urusan pusaka dan menghormati hak waris yang ditentukan oleh Allah SWT.

“Berikanlah hak kepada yang berhak.”

Nasihat saya kepada waris supaya dapatkan khidmat nasihat lebih terperinci apa yang sepatutnya dibuat supaya dapat penjelasan yang lebih baik.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top