Respon Balas: Isu “Jika Waris Setuju, Tak Perlu Ikut Faraid”

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Baru-baru ini, tular satu video berkaitan pengurusan harta pusaka dalam Islam yang dibuat oleh seorang peguam syarie. Video tersebut telah mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada mereka yang terlibat dalam bidang perancangan harta Islam seperti perunding faraid, perancang kewangan Islam dan pendakwah.

Dalam kenyataan susulan di media sosial, peguam tersebut meluahkan rasa kurang senang terhadap pihak-pihak yang menegur kandungannya secara terbuka. Beliau menyebut bahawa ada golongan yang “memaksa orang ikut cara faham mereka” dan apabila berlaku perbezaan pendapat, terus membalas dengan konten yang mencipta persepsi negatif.

Beliau juga menyatakan bahawa sepatutnya konten dibalas dengan konten ilmuz dan bukan mencipta persepsi terhadap peribadi. Bahkan katanya, mungkin ada yang kekeringan idea hingga memilih jalan mudah iaitu buat konten yang mengata orang.

Sebagai seorang perunding perwarisan Islam yang turut aktif dalam mendidik masyarakat, saya menyambut baik saranan beliau agar konten dibalas dengan konten ilmu. Saranan ini adalah tepat.

Namun untuk benar-benar berlaku adil, perlu juga kita jelaskan bahawa peneguran terhadap kandungan yang tidak tepat bukanlah satu serangan peribadi, tetapi satu tanggungjawab ilmiah dan syarie, apatah lagi apabila melibatkan hukum faraid yang bersifat qat’ie dan disepakati para ulama.

Apabila Konten Memberi Kesan Syariah Yang Besar

Dalam video tersebut, antara kenyataan yang menjadi perhatian ramai ialah:

“Kalau semua setuju begitu, maka tak perlu lagi nak ikut faraid.”

Kenyataan ini, meskipun mungkin berniat baik, telah memberi gambaran bahawa hukum faraid boleh diketepikan jika waris bersetuju membahagi harta secara muafakat. Kenyataan ini tidak tepat dari sudut syarak.

Faraid adalah ketetapan Allah SWT yang wajib dilaksanakan, sebagaimana firman-Nya:

“Itulah batas-batas hukum Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga… Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya serta melampaui batas-batas-Nya, nescaya dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya…” (Surah al-Nisa’ ayat 13–14)

Perkara yang telah ditetapkan secara jelas dalam al-Quran dan ijmak tidak boleh dijadikan bahan rundingan secara terbuka, seolah-olah ianya boleh diketepikan jika majoriti waris bersetuju. Bahkan, keputusan waris untuk membuat sulh (perdamaian) hanya sah setelah mereka mengetahui dan mengakui hak masing-masing menurut faraid.

Bukan Isu Perbezaan Pendapat, Tetapi Isu Ketepatan Hukum

Dalam kenyataan beliau, peguam menyebut bahawa beliau terbuka kepada perbezaan pendapat. Namun, isu ini bukan semata-mata soal perbezaan pandangan mazhab, tetapi soal penyampaian hukum kepada masyarakat awam.

Apabila masyarakat awam mendengar bahawa “tak perlu ikut faraid jika waris setuju”, ia membuka ruang yang luas untuk salah guna, manipulasi dan akhirnya kezaliman terhadap waris yang lemah seperti anak yatim, ibu tua atau wanita yang kurang faham hak mereka.

Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai orang berilmu untuk membetulkan kefahaman ini, bukan kerana kita “mahu orang ikut cara kita”, tetapi kerana kita ingin masyarakat patuh kepada cara Islam yang sebenar.

Tradisi Ilmu Sentiasa Menerima Teguran

Dalam dunia ilmu, kritikan terhadap pandangan adalah perkara biasa dan sihat. Para ulama sepanjang zaman menegur antara satu sama lain, bahkan menulis kitab khusus untuk membetulkan kekeliruan yang berlaku dalam fatwa, tulisan atau ijtihad sebelumnya bukan untuk menjatuhkan individu, tetapi untuk menjaga agama.

Begitu juga di zaman ini, apabila satu kenyataan awam (terutama yang tular) berpotensi mengelirukan masyarakat dan menyentuh hukum syarie secara langsung, maka adalah menjadi fardu kifayah bagi mereka yang ahli dalam bidang ini untuk memberi penjelasan.

Apabila penjelasan itu dibuat dengan adab dan tidak menyentuh peribadi, maka ia bukan mencipta persepsi tetapi menjalankan amanah ilmu.

Jika benar mahu educate, maka kembalilah kepada disiplin ilmu.

Saya menyambut baik kenyataan beliau untuk terus menghasilkan konten mendidik. Malah, saya sendiri berharap lebih ramai peguam, perunding, agamawan dan profesional Muslim tampil berkongsi ilmu dengan masyarakat.

Namun, kita tidak boleh lari daripada satu hakikat bahawa jika mahu mendidik, maka kandungan kita mesti tepat, bukan sekadar berniat baik. Niat yang baik tidak menghalalkan penyampaian yang salah. Niat yang ikhlas tidak boleh menutupi keperluan kepada dalil dan ketepatan hukum.

Maka apabila ditegur, kembalilah kepada disiplin ilmu. Nilai semula kenyataan dan betulkan jika perlu. Itulah budaya ulama yang sejati sentiasa rujuk semula kepada al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

Penutup

Akhirnya, kita semua berkongsi niat yang sama iaitu mahu masyarakat celik tentang pusaka dan harta dalam Islam. Namun jalan untuk sampai ke matlamat itu mestilah dibina atas dasar ilmu yang sahih, niat yang ikhlas, dan penyampaian yang beradab.

Jika ada teguran yang membina, terimalah ia sebagai rahmat. Jika ada kelemahan dalam konten kita, perbaikilah kerana kita semua pendakwah, bukan pencipta persepsi.

“Sesungguhnya orang yang menyampaikan kebenaran itu bukan untuk menundukkan orang lain, tetapi untuk membebaskan manusia daripada kekeliruan.”

Wallahu a‘lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?