fbpx

Apakah Rukun, Syarat Dan Sebab Pewarisan?

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud Riyadh.

Perkongsian kali ini berkaitan dengan rukun-rukun dan syarat-syarat pewarisan.

Definisi Rukun

Definisi Rukun:

Bahasa: جانب الشيء الأقوى (Bahagian sesuatu yang paling kuat).

Istilah: جزء الشيء الذي يتوقف وجوده عليه

Maksudnya: Bahagian sesuatu yang kewujudannya bergantung padanya), seperti الركوع والسجود (rukuk dan sujud) dalam solat bagi yang mampu melakukannya.

Huraian: Tanpa rukuk dan sujud, maka perbuatan tersebut tidak dipanggil solat. Begitu juga dalam pewarisan, jika tiada rukun-rukun di bawah, maka tiadalah pewarisan harta.

3 Rukun Pewarisan

Pertama, si mati (المورِّثُ): Orang yang telah meninggal dunia secara hakiki, atau dianggap meninggal secara hukum seperti orang yang hilang (المفقود), atau secara anggapan seperti janin (الجنين).

Kedua, waris (الوارث): Orang yang berhak mewarisi ketika kematian pewaris, sama ada masih hidup secara hakiki atau dianggap hidup secara hukum seperti orang yang hilang (المفقود) dan janin (الحمل).

Ketiga, hak waris (الحق الموروث): Harta pusaka (التركة).

Definisi Syarat

Definisi Syarat:

Bahasa: العلامة (Tanda).

Istilah: ما يلزم من عدمه العدم، ولا يلزم من وجوده وجود ولا عدم لذاته

Maksudnya: Sesuatu yang ketidakwujudannya menyebabkan sesuatu itu tidak wujud, tetapi kehadirannya tidak semestinya menyebabkan kewujudan atau ketiadaan itu dengan sendirinya.

4 Syarat Pewarisan

Pertama, kematian pemilik harta.

Pemilik harta perlu disahkan telah meninggal dunia atau dianggap mati secara hukum seperti orang yang hilang (المفقود) atau secara anggapan seperti janin yang gugur akibat perbuatan terhadap ibunya.

Dalil: Firman Allah dalam surah an-Nisa:

{إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ} [النساء: 176]

Maksudnya: “Jika seseorang mati tanpa meninggalkan anak, tetapi mempunyai saudara perempuan, maka saudara perempuan itu mendapat separuh dari apa yang ditinggalkannya.” – [Surah An-Nisa’: 176]

Kedua, hidupnya waris.

Waris mesti hidup ketika kematian pewaris atau dianggap hidup secara hukum seperti orang yang hilang (المفقود) dan janin (الحمل).

Nota: Kematian si mati menyebabkan berlakunya pewarisan, tetapi kematian si mati tidak semestinya menyebabkan wujudnya pewarisan harta kerana si mati mungkin tidak meninggalkan harta atau terdapat halangan kepada pewarisan.

Ketiga, hubungan si mati dan ahli waris diketahui dengan jelas.

Nota: Sebarang penipuan atau kesilapan dalam menentukan hubungan waris menyebabkan ada waris ternafi haknya dan akan ada waris yang makan harta secara batil. Sebagai contoh, anak angkat yang dinasabkan kepada ayah angkat, hukumnya haram anak angkat tersebut mewarisi melalui faraid.

Keempat, tiada perkara yang boleh menegah mendapat pusaka.

Nota: Pastikan tiada penghalangan waris mewarisi harta pusaka iaitu pembunuhan, berlainan agama ataupun hamba.

Definisi Sebab

Definisi Sebab:

Bahasa: ما يتوصل به إلى غيره (Sesuatu yang membawa kepada sesuatu yang lain).

Istilah: ما يلزم من وجوده الوجود ومن عدمه العدم

Maksudnya, sesuatu yang kewujudannya menyebabkan kewujudan sesuatu yang lain dan ketiadaannya menyebabkan ketiadaan sesuatu yang lain dengan sendirinya.

3 Sebab Pewarisan

Pertama, perkahwinan (النكاح):

Bahasa: الجمع بين الشيئين (Menyatukan dua perkara).

Istilah: عقد الزوجية الصحيح

Maksudnya: Akad perkahwinan yang sah, di mana suami isteri saling mewarisi walaupun tidak pernah berjumpa.

Dalil: Firman Allah dalam surah an-Nisa:

{وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَدٌ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} [النساء: 12]

Maksudnya: “Dan bagi kamu (suami) setengah dari apa yang ditinggalkan oleh isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, tetapi jika mereka mempunyai anak, kamu mendapat satu perempat dari apa yang mereka tinggalkan selepas menunaikan wasiat atau hutang)”. – [Surah An-Nisa’: 12]

Perceraian: Pembatalan pewarisan kerana perceraian mutlak (الطلاق البائن), sama ada sebelum atau selepas tamat iddah kerana hubungan perkahwinan telah terputus. Tetapi, perceraian talak raj’i (الطلاق الرجعي) sebelum tamat iddah tidak membatalkan sebab warisan kerana talak raj’i masih dianggap isteri.

Kedua, keturunan (النسب):

Definisi : القرابة

Maksudnya: Hubungan antara dua orang yang mempunyai ikatan kelahiran.

Jenis Nasab:

  1. Usul (الأصول): Keturunan dari ibu bapa, datuk, dan nenek.
  2. Furu’ (الفروع): Keturunan dari anak-anak dan cucu-cucu.
  3. Hawasyi (الحواشي): Keturunan dari saudara-saudara, anak-anak saudara, bapa saudara, dan anak-anak mereka.

Ketiga, wala’ (الولاء):

Bahasa: Dalam bahasa, bermaksud النصرة (pertolongan).

Istilah: عصوبة سببها نعمة المعتق على عتيقه بالعتق

Maksudnya: Pewarisan yang memberi faedah kepada yang memerdekakan hamba.

Dalil: Sabda Nabi SAW – “إنما الولاء لمن أعتق” (Wala’ adalah milik orang yang memerdekakan).

Penutup

Alhamdulillah, berakhirnya perkongsian tentang rukun, syarat dan sebab pewarisan yang saya rujuk daripada Kitab Faraid oleh Syeikh Abdul Karim. Bacaan asal boleh rujuk di sini. Segala persoalan berkaitan dengan pewarisan, tuan puan boleh bertanya kepada Abu Nuha (+6014-5241281).

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?