Apa Jadi Pada Perniagaan Apabila Pemilik Meninggal Dunia?

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Ramai usahawan tidak menyedari bahawa bentuk pendaftaran perniagaan mereka sama ada Enterprise (Perniagaan Tunggal) atau Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) sebenarnya memberi kesan besar terhadap cara pengurusan harta selepas kematian.

Perbezaan ini menentukan sama ada aset perniagaan boleh dituntut terus oleh waris, atau hanya melalui saham dan nilai pegangan dalam syarikat.

Perniagaan Enterprise (Tunggal)

Perniagaan jenis enterprise berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ia dimiliki sepenuhnya oleh seorang individu, contohnya FH Katering Enterprise (Milik Firdaus bin Ahmad).

Dalam konteks undang-undang, pemilik dan perniagaan dianggap sebagai satu entiti yang sama. Ini bermakna segala aset, hutang dan tanggungan perniagaan adalah tanggungjawab pemilik secara peribadi.

Apabila pemilik perniagaan meninggal dunia, semua aset yang digunakan dalam perniagaan termasuk kenderaan, lot kedai, peralatan, akaun bank dan stok perniagaan dianggap sebagai harta pusaka si mati.

Kesemua aset ini boleh disenaraikan dalam permohonan pusaka melalui sistem MyLAND dan diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid atau wasiat yang ditinggalkan.

Sebagai contoh, jika Firdaus meninggal dunia, isterinya dan dua orang anak lelaki berhak menuntut harta seperti van katering, lot kedai, serta baki dalam akaun semasa perniagaannya. Namun, setelah kematian pemilik, perniagaan secara automatik akan terhenti kecuali waris membuat pendaftaran semula atas nama mereka sendiri.

Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.)

Berbeza dengan enterprise, syarikat Sendirian Berhad didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016. Ia mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada pemiliknya.

Pemilik syarikat dikenali sebagai pemegang saham (shareholders) manakala urusan pentadbiran dijalankan oleh Lembaga Pengarah (Board of Directors).

Dalam struktur ini, semua aset seperti pejabat, kenderaan, akaun syarikat dan lesen adalah milik syarikat itu sendiri, bukan milik individu.

Apabila salah seorang pemegang saham meninggal dunia, aset syarikat tidak termasuk dalam harta pusaka beliau. Sebaliknya, saham yang dimiliki oleh si mati dalam syarikat tersebutlah yang menjadi sebahagian daripada harta pusaka.

Sebagai contoh, jika Firdaus memegang 50% saham dalam FH Katering Sdn. Bhd., warisnya tidak boleh menuntut van syarikat atau lot kedai atas nama syarikat. Apa yang boleh dituntut hanyalah nilai saham 50% milik Firdaus dalam syarikat tersebut.

Nilai ini kemudiannya akan dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid atau wasiat yang sah.

Bagi memastikan proses tuntutan berjalan lancar, waris perlu mendapatkan dokumen sokongan seperti sijil saham, daftar pemegang saham (Section 78 Register of Members) dan sijil pendaftaran syarikat (Section 14).

Sekiranya berlaku pertikaian atau kesukaran mendapatkan dokumen, waris mungkin perlu memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk pengesahan hak milik saham tersebut.

Perbandingan: Enterprise vs Sdn. Bhd.

AspekEnterprise (Tunggal)Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.)
Akta & PendaftaranAkta Pendaftaran Perniagaan 1956 (ROBA)Akta Syarikat 2016
Entiti Undang-UndangTidak berasingan – pemilik & perniagaan samaBerasingan – syarikat ialah entiti tersendiri
Pemilik / Pemegang SahamSeorang individu1–50 pemegang saham
Aset PerniagaanMilik pemilik secara peribadiMilik syarikat
Kesan KematianPerniagaan tamat serta-mertaSyarikat masih wujud
Harta Boleh DituntutSemua aset atas nama pemilikSaham si mati sahaja
Sistem MyLANDSemua aset boleh disenaraikanHanya nilai saham disenaraikan

Kesimpulan

Sama ada anda memiliki perniagaan kecil atau syarikat yang sedang berkembang, perancangan harta perniagaan amat penting. Tanpa perancangan yang betul, waris mungkin berdepan kesukaran untuk menuntut aset, mengurus hutang perniagaan, atau meneruskan legasi perniagaan yang telah dibina.

Langkah terbaik ialah menyediakan dokumen wasiat atau hibah saham, serta melantik pemegang amanah (trustee) bagi menguruskan kepentingan waris selepas kematian. Perancangan sebegini bukan sahaja memastikan kelangsungan perniagaan, tetapi juga menjaga kebajikan keluarga dan mengelakkan pertikaian dalam kalangan waris.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top