Bolehkah Tanah Pusaka Dijual Jika Hanya Sebahagian Waris Bersetuju?

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Isu yang dibangkitkan ialah dalam satu kes, pentadbir harta telah diberikan kuasa melalui Borang T (kuasa urus niaga dan jual beli daripada Pengarah Pejabat Pusaka Kecil).

Majoriti pemilik tanah (termasuk pentadbir) iaitu sebanyak 69% bersetuju untuk menjual tanah, manakala baki 31% tidak bersetuju.

Maka timbul persoalan, apakah jalan keluar paling cepat untuk melupuskan atau menjual hartanah pusaka tersebut?

Kuasa Pentadbir & Penjualan Hartanah

Pentadbir yang sah dan telah dilantik (melalui perintah pentadbiran dari Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil) mempunyai kuasa untuk menjalankan urusan jual beli walaupun ada waris yang tidak bersetuju, berdasarkan Seksyen 59 dan 60 Akta Probat dan Pentadbiran 1959.

Namun, pelaksanaan ini harus mengikut prosedur dan mendapatkan kelulusan sewajarnya.

“Pentadbir ada kuasa nak jual walaupun waris tidak bersetuju” – Ustaz Hafizleman

“Punca kuasa untuk jual telah ada, boleh rujuk SOP JKPPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian)” – Puan Mahzani Sha’ari

Alternatif Penyelesaian – Pecah Sempadan

Cadangan praktikal oleh Tuan Haji Termizi Abdullah yang mana pentadbir boleh memohon pecah sempadan agar tanah tersebut dibahagikan secara sah kepada dua lot yang berasingan, mengikut pecahan persetujuan:

  • 69% dijual oleh kumpulan waris yang bersetuju.
  • 31% diturunkan milik kepada waris yang tidak mahu menjual.

Ini adalah penyelesaian teknikal dan praktikal untuk mengelakkan konflik dan membolehkan proses jual beli diteruskan secara sah.

Perintah Jualan Dari Mahkamah

Sekiranya proses pecah sempadan tidak praktikal atau tidak diluluskan, perintah jualan boleh dimohon di Mahkamah.

Menurut Tuan Haji Termizi Abdullah:

“Perintah jualan kini boleh dimohon di Pejabat Pembahagian Pusaka atau di Mahkamah Tinggi Sivil. Mana-mana pun boleh.”

Permohonan ini dibuat agar Mahkamah membenarkan tanah dijual demi kepentingan semua waris, terutamanya apabila terdapat keperluan melunaskan hutang, membahagikan nilai secara tunai atau mengelakkan kerugian.

Isu Caveat (Kaveat) & Gangguan Proses

Dalam kes di mana terdapat kaveat berulang oleh waris yang tidak bersetuju, pentadbir boleh:

  • Memohon injunksi kekal di Mahkamah Tinggi Sivil untuk menghalang caveat berulang.
  • Jika kaveat masih diteruskan selepas injunksi, pentadbir boleh memohon komital (perintah penghinaan mahkamah) terhadap individu yang ingkar.

Kesimpulan

Ya, tanah pusaka masih boleh dijual walaupun tidak semua waris bersetuju dengan syarat:

  1. Pentadbir telah mendapat kuasa sah untuk menjual.
  2. Prosedur yang betul diikuti sama ada melalui pecah sempadan atau permohonan perintah jualan di mahkamah.
  3. Gangguan seperti caveat perlu ditangani secara sah melalui mahkamah.

Langkah terbaik adalah berunding secara damai, tetapi jika rundingan gagal, pentadbir masih boleh meneruskan urusan melalui saluran undang-undang yang sah.

Apapun, rujuklah peguam atau pegawai Pejabat Tanah untuk prosedur rasmi dan dokumentasi lengkap dan dapatkan persetujuan bertulis daripada waris yang bersetuju untuk memperkukuh permohonan.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top