fbpx

Hukum Muafakat Dalam Pembahagian Pusaka

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan pewarisan.

Pendahuluan

Allah SWT telah menjelaskan secara terperinci tentang hak ahli waris terhadap harta pusaka seperti mana yang terkandung di dalam surah Al-Nisa’ ayat 11,12 dan 176 sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini. Hukum faraid ini merupakan ketetapan Allah dalam pembahagian harta pusaka umat Islam atau disebut sebagai “tauzi’ Rabbaniy”. Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ اللَّهَ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَق حَقَّهُ فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ

Terjemahan: “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya, maka tidak ada wasiat untuk ahli waris” (Tirmizi. Sunan Tirmizi. 3/505 – Hadis Hasan Sohih).

Hukum

Para ulama bersepakat bahawa pemilikan tarikah (harta pusaka) akan berpindah kepada waris selepas kematian pewaris. Persoalannya, apakah hukum pembahagian harta pusaka dibuat secara persetujuan bersama antara ahli waris?

Para ulama menyatakan bahawa harus membahagikan harta pusaka secara taradhi atau saling bersetuju antara ahli waris. Contohnya mereka bersetuju untuk memberikan bahagian yang lebih kepada ibu simati.

Syarat-Syarat

Namun, terdapat syarat-syarat dalam pembahagian seperti ini, syarat-syaratnya adalah seperti berikut (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. 7/160):

Pertama, semua ahli waris yang berhak baligh, berakal dan boleh menguruskan harta dengan baik pada pandangan syarak.

Kedua, persetujuan bersama yang dicapai adalah yang sebenar bukan kerana paksaan atau kerana malu, tidak berkait dengan kepentingan seseorang seperti persetujuan orang sakit atau penghutang yang muflis dan seumpamanya.

Ketiga, wajib bagi ahli waris berkeyakinan bahawa hukum Allah adalah lebih adil dan lebih baik.

Pencerahan

Tidak ada yang lebih baik dan adil daripada hukum Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Tin ayat 8 yang bermaksud: (Bukankah Allah (yang demikian kekuasaannya) seadil-adil Hakim?).

Imam Ibn Kathir menyebut: “Allah SWT mengingkari sesiapa yang keluar daripada hukumNya yang meliputi segala kebaikan, yang mencegah segala keburukan….Allah SWT maha mengetahui segala sesuatu dan maha Adil pada segala-galanya” (Ibn Kathir. Tafsir Ibn Kathir. 3/131).

Syeikh Tantawi pula menyebut: “Tidak ada seorang pun yang hukumannya lebih baik daripada hukuman Allah atau sama dengan hukum Allah. Ini adalah akidah golongan yang yakin dengan agamanya, tunduk kepada tanggungjawab Syariah, beriman dengan keesaan Allah dan patuh mengikuti sunnah Rasul dan Nabi” (Tantawi. Muhammad Sayid. Al-Tafsir Al-Wasit. 1/1292).

Kesimpulan

Pembahagian secara muafakat diharuskan namun perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Jika syarat tersebut tidak dipenuhi, maka pembahagian kembali kepada ketetapan faraid.

Allahu A’lam.

Rujukan: Pensyariatan faraid menurut kelangka fiqh Islam oleh Dr. Mushaddad bin Hasbullah, Zahari Mahad Musa & Dr Zaharuddin Zakaria.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?