Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Saya boleh bantu tuan puan menjawab persoalan tentang pewarisan.
Isi Kandungan
Soalan
Assalamualaikum, saya ada buat simpanan bulan-bulan dalam akaun bank. Niat nak bagi pada ayah saya. Dulu masa dia hidup dia tak bagi saya masuk duit. Jadi saya simpan juga secara diam-diam dalam akaun saya.
Arwah ayah saya ada buat kemoterapi. Guna duit sendiri. Jadi dia suruh saya claim dari kerajaan. Memandangkan ada masalah dengan claim saya bercadang nak guna duit yang saya simpan tu bagi kepada dia. Dia tak tahu niat saya ni sehingga dia meninggal dunia.
Persoalan saya: Adakah wang yang saya niat nak bagi kat arwah ni sudah jadi milik arwah semasa hidupnya dan perlu dibahagikan mengikut harta pusaka kepada waris?
Sekian. Terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam, terima kasih bertanya. Melihat kepada situasi yang diceritakan, niat pemberian tanpa penyerahan tidak dianggap sebagai hibah yang sah; kerana syarat kesahihan hibah adalah penerimaan, dan penerimaan tidak terjadi hanya dengan niat. Penggunaan duit tersebut untuk rawatan arwah ayah tersebut telah dikira sebagai pemberian kerana manfaat daripada duit tersebut telah diterima oleh arwah ayah.
“(Dan) penerimaan terhadap sesuatu yang dapat dipindah, seperti batu penggiling (dengan memindahkannya). Dan penerimaan terhadap haiwan dengan membawanya berjalan. (Dan) penerimaan (terhadap sesuatu yang dapat diambil) seperti dirham, dinar, buku-buku dan lain-lain (dengan mengambilnya) dengan tangan. (Dan) penerimaan (terhadap yang lain), iaitu: yang disebutkan, seperti tanah, bangunan, dan pohon (dengan membuatnya tersedia) oleh penjual kepada pembeli tanpa halangan, meskipun rumah tersebut merupakan milik penjual; kerana penerimaan secara umum dalam syariat, maka ia kembali kepada adat, seperti pengamanan dan pemisahan, dan adat dalam hal ini adalah seperti yang telah disebutkan. (Dan manfaat dari ini) penerimaan terlihat (dalam gadai, pinjaman, dan hibah) untuk yang diterima, sehingga apa saja yang diterima dengan cara yang disebutkan, sah untuk digadaikan, dipinjamkan, dan dihibahkan, seperti halnya dengan kepemilikan lainnya yang bergerak)”.
Matlab Uli al-Nuha (3/153)
“Penerimaan harta dapat terjadi secara fizikal di saat diambil dengan tangan, atau dengan mengukur dan menimbang dalam bekas makanan, atau dengan memindahkan dan mengalihkan kekuasaan kepada penerima, dianggap sah dan berlaku: dengan membuatnya tersedia, dengan memberikan kemampuan untuk mengusai, meskipun penerimaan fizikal tidak terjadi”.
Keputusan Majma’ Fiqh Islami di Jeddah (55/4/6)
Kesimpulan
Kesimpulannya, wang yang diniatkan oleh anak kepada ayah tanpa qabd (penyerahan hak) maka ia tetap menjadi hak milik anak dan tidak menjadi pusaka arwah ayah setelah berlaku kematian. Si anak boleh berbuat apa sahaja dengan harta tersebut tanpa perlu dibahagi ikut faraid. Satu perkara yang penting yang wajib kita faham adalah harta pusaka ialah harta yang menjadi hak milik kepada seseorang sehingga berlaku kematian, maka harta tersebut menjadi pusaka. Harta yang belum menjadi hak milik, maka ia bukan hak kepada arwah dan tidak menjadi pusaka.
Allahu A’lam.