Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Persoalan
Seperti apa yang tuan puan lihat, persoalan yang berkaitan dengan gadaian barang kemas ibu.
Apabila anak lelaki tebus, adakah ia menjadi hak anak lelaki atau masih dikira sebagai harta ibu?
Jika ibu meninggal, adakah barang kemas tersebut perlu difaraidkan?
Jawapan
Alhamdulillah, soalan tersebut sangatlah baik. Kes realiti yang sememangnya berlaku di dalam masyarakat kita dan persoalan sering timbul apabila ia berkaitan dengan pewarisan.
Sebelum kita pergi jauh, jom kita mengetahui definisi, rukun-rukun serta hukum gadaian.
Definisi Gadaian
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘cagar’ bermaksud: “barang yg dijadikan sbg taruhan apabila berhutang, barang yg digadaikan, rungguh(an)…” [2]
Justeru, hukum cagaran atau gadaian perlu merujuk kepada hukum al-rahn. Manakala daripada perspektif syarak, pengertian al-rahnu kami rujuk kepada Kitab Fiqh al-Manhaji:
“Istilah gadaian yang merujuk kepada kontrak gadaian bermaksud, menjadikan sesuatu barang yang bernilai sebagai cagaran kepada hutang dan akan digunakan untuk melangsaikan hutang jika hutang tersebut tidak dapat dibayar.
Dengan ini, cagaran wujud melalui kontrak. Oleh itu, pencagar ialah penggadai, penerima cagaran pula ialah pemiutang, barang yang dicagar ialah barang yang digadai. Barang yang digadai ini merujuk kepada semua perkara yang boleh disukat dan bernilai iaitu barang yang diiktiraf sebagai harta oleh syara’.
Tujuan gadaian adalah sebagai cagaran untuk meyakinkan pemiutang bahawa hutang yang diberikan tidak akan lupus begitu sahaja dan dia yakin akan memperolehinya semula. Oleh itu, barang tersebut dijadikan cagaran kepada hutang. Sekiranya pemiutang mendapati sukar atau mustahil untuk dia mendapatkan semula hutangnya setelah tamat tempoh yang ditetapkan, pemiutang berhak mengambil semula hutangnya melalui barang yang dicagar, iaitu dengan cara menjual dan kemudian mengambil hutangnya melalui bayaran yang diperolehi.” (Fiqh al-Manhaji, 4/495)
Rukun-Rukun Gadaian
Pertama, penggadai (Aqidan) bermaksud si penghutang.
Kedua, pemegang gadaian (Al-Murtahin) yang bermaksud orang yang memegang barang gadaian.
Ketiga, lafaz kontrak (Sighah) bermaksud ucapan yang dilafazkan oleh pihak pemegang gadaian.
Keempat, barang gadaian (Marhun).
Kelima, hutang (Marhun Bihi).
Hukum Gadaian
Dari segi hukum, gadaian diharuskan seperti jual beli. Allah Taala berfirman:
وَاِنْ كُنْتُمْ عَلٰى سَفَرٍ وَّلَمْ تَجِدُوْا كَاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقْبُوْضَةٌ
“Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedangkan kamu
tidak mendapati juru tulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang)”
Isu Yang Timbul
Kembali kepada persoalan kita:
Perkara yang pertama yang kita perlu fahami ialah siapa yang sebenarnya memiliki barang gadaian (marhun). Apabila kita memahami pemilikan asal, maka persoalan seterusnya akan terjawab. Dalam hal ini, barang gadaian adalah hak milik penggadai. Cuma pemegang gadaian menahan harta tersebut sehingga hutang yang diberikan langsai dan barulah harta tersebut dipulangkan.
Kalau anak yang tebus barang gadaian tersebut iaitu membayar balik hutang yang dipinjam oleh penggadai, adakah anak tersebut memiliki secara automatik?
Jawabnya tidak. Pemilikan tidak semudah itu bertukar, hak pemilikan masih menjadi hak ibunya. Perlu dipersoalkan juga si anak tersebut tujuan tebusan tersebut. Jika ia niat membantu ibunya, maka itu sebagai sedekah/tabarru’. Jika ia sebagai pinjaman, maka ia adalah pinjaman. Ibaratnya ibunya pula meminjam dengan si anak. Oleh itu, perlu jelas “tebusan” yang dibuat.
Penjelasan tadi secara umumnya, emas tersebut dikira masih hak ibu sehingga berlaku akad jelas pertukaran hak milik berlaku. Apabila emas tersebut masih menjadi hak ibu walaupun masih dalam gadaian, maka emas tersebut dikira pusaka sehinggalah ia ditebus dengan membayar hutang pemegang gadaian.
Situasi-Situasi
Situasi pertama: Andai jika arwah ibu (penggadai) tidak mempu membayar hutang, maka ketika ini pemegang gadaian boleh menjual emas tersebut dan mengambil haknya dan baki akan diserahkan kepada waris. Ini kerana pemegang gadaian lebih berhak ke atas emas tersebut.
Situasi kedua: Harta peninggalan arwah ibu (penggadai) mampu membayar hutang, maka tebusan dengan membyar hutang kepada pemegang gadaian perlu diselesaikan. Emas (barang gadaian) tersebut perlu difaraidkan.
Situasi ketiga: Ada waris yang ingin tebus emas tersebut, maka waris tersebut membayar hutang arwah mak kepada pemegang gadaian. Maka emas tersebut tidaklah menjadi hak anak secara automatik:
1) Jika ada harta lain, maka harta tersebut boleh bayarkan balik duit hutang tadi dan emas tersebut difaraidkan.
2) Jika tiada, emas tersebut diperlu dicairkan dengan menjualnya dan hasil jualan tersebut perlu tolak terlebih dahulu duit hutang yang dibayar oleh waris tadi dan barulah lebih emas difaraidkan.
3) Jika waris yang sama ingin emas tersebut, maka nilaian emas ditolak terlebih dahulu hutang yang dibayar dan lebihan tersebut difaraidkan dalam bentuk tunai.
Hal ini perlu diambil berat dengan teliti kerana selalunya nilai harta gadaian lebih tinggi daripada hutang yang diberikan oleh pemegang gadaian. Jika si anak menjadikan haknya setelah tebusan dibuat, nilai lebihan tersebut adalah hak waris. Jika tidak berikan hak kepada yang sepatutnya, maka ada pihak yang makan harta secara batil.
Sebagai contoh, nilai harta gadaian emas RM10,000 dan hutang yang diberikan RM8,000. Jika si anak tebus hutang RM8,000 tersebut, maka tentunya ada lebihan RM2,000 yang sepatutnya menjadi hak waris.
Kesimpulan
Harta gadaian adalah hak milik penggadai sehinggalah hutang tersebut dibayar atau barang tersebut terpaksa dijual untuk menampung hutang penggadai dengan syarat tertentu. Apabila harta tersebut kekal hak milik penggadai sehingga meninggal, maka harta tersebut dikira pusaka dan tindakan seterusnya telah saya jelaskan di atas. Untuk bacaan tuan puan, boleh baca (tekan sini) dan boleh la muat turun pdf berikut:
Pajak Gadai
Penutup
Alhamdulillah, selesai sudah perkongsian saya kali ini. Jika tuan puan ada persoalan tentang pewarisan, maka bolehlah hubungi Abu Nuha (+6014-5241281) untuk tujuan tersebut. Semoga bermanfaat.