Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan harta umat Islam.
Isi Kandungan
Penjelasan
Persoalan tentang, logikkah badal haji RM2,000?
Akal yang waras akan mengatakan tidak logik sama sekali. Namun, ramai orang kita terpedaya dengan tawaran murah tersebut. Tawaran badal haji tersebut dengan sijil penyertaan, sejadah, kurma, air zam-zam dan sebagainya. Disertai pula dengan testimoni daripada pelanggan kononnya yang menyakinkan orang ramai tentang pelaksanaan badal haji tersebut.
Saya bawakan isu ini kerana ia berkait dengan hutang dengan Allah.
Kos Haji
Tuan puan,
Ibadah haji bukanlah satu ibadah yang boleh dilaksanakan semudah ABC. Bahkan banyak pengorbanan yang perlu dilakukan sehingga terlaksananya suatu ibadah. Kos haji bukanlah sedikit bahkan ribu raban yang perlu dihabiskan.
Gambaran kos haji ialah:
Pertama kos sebelum haji. Bagi jemaah haji menginap di A’ziziyyah, Al-Ma’la dan seumpamanya yang sedikit berjauhan dengan masjid Al-Haram, kos sekurang-kurang RM10,000 semusim haji bagi sebuah bilik (bahkan tinggi lagi). Jika boleh berpakat ramai, jimatlah sedikit kosnya. Namun begitu, kos ini tidak kurang daripada RM1,000-2,000 seorang. Kos akan senantiasa naik dari tahun ke tahun. Ini maklumat lepas dalam perkiraan saya.
Kalau kata pelaksana adalah orang Makkah, mereka mungkin jimat bahagian penginapan, namun mereka tidak boleh lari daripada kos-kos lain.
Bagaimana kos makan, kos pengakutan, kos ubat-ubatan dan sebagainya?
Kedua kos semasa haji. Pergerakan dari Makkah ke Arafah sejauh 20 kilometer lebih yang memerlukan kenderaan khusus ke sana sama ada bas, kereta api ataupun kereta VIP. Semuanya adalah kos. Adapun ada yang ingin berjalan kaki dari Makkah ke Arafah dengan tawaran upah yang sangat sedikit adakah berbaloi?
Tidak campur lagi situasi yang mana ada pemeriksaan permit pelaksanaan haji. Jikalau tertangkap, denda sehingga RM10,000 dan mungkin lebih. Adakah berbaloi?
Jika pelaksana haji dapatkan permit, kosnya tidaklah murah bahkan ribuan juga untuk dapatkannya.
Bagaimana kos-kos sampingan sepanjang haji tersebut? Pergerakan daripada Arafah ke Muzdalifah, dari Muzdalifah ke Mina. Pelaksana haji perlu bermalam di Mina sekurang-kurangnya 2 malam. Semuanya adalah satu pengorbanan yang luar biasa bagi jemaah haji.
Ketiga pula kos selepas haji. Untuk penerusan ibadah selepas haji, pelaksana perlu kepada kos-kos sampingan sehinggalah pulang ke rumah masing-masing. Soalan saya, adakah logik pelaksana buatkan haji untuk arwah dengan kos sedemikian rupa? Makan modal orang kata. Kos haji bukanlah sedikit.
Nasihat
Tuan puan,
Kita berada di tahun 2024 di mana kesedaran berkaitan badal haji perlu disebar-sebarkan supaya duit badal haji ini tidak menjadi tali hayat kepada scammer-scammer di luar sana. Tidak salah untuk laksanakan badal haji, namun pastikan pelaksana tersebut adalah seorang yang amanah. Lebih baik tidak dapat dilaksanakan berbanding tersilap bagi kepada orang yang salah.
Tabung haji pun menetapkan kos haji sehingga RM30,000, bagaimana pula tuan puan boleh percaya kepada pelaksana haji yang mendakwa mereka dapat tunaikan dengan RM2,000 sahaja?
RM2,000 ditolak kos pengurusan, kos saguhati dan kos pertukaran duit kepada riyal, akhirnya tinggal ratusan ringgit sahaja. Logikkah ada orang sanggup terima dengan upah sedemikian?
Jangan tertipu lagi tuan puan.
Allahu A’lam.