Penjelasan: Tiada Istilah ‘Turun Milik’ Dalam Hibah

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Dalam urusan pewarisan harta di Malaysia, kekeliruan sering timbul apabila istilah seperti turun milik dan pindah milik digunakan secara umum untuk merujuk kepada pelbagai bentuk pemindahan hak milik, termasuk hibah.

Namun, penting untuk dijelaskan bahawa istilah ‘turun milik’ secara khusus merujuk kepada pemindahan harta pusaka kepada waris yang sah melalui proses pentadbiran pusaka, bukan untuk pemindahan harta melalui hibah.

Perbezaan Antara Hibah & Turun Milik Pusaka

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela oleh pemberi hibah kepada penerima hibah semasa hayat, dan sekiranya telah lengkap segala rukun dan syaratnya, ia sepatutnya tidak lagi tertakluk kepada pengagihan pusaka melalui faraid.

Namun begitu, jika pemberi hibah telah meninggal dunia dan hartanah masih belum dipindah nama semasa hayatnya, maka pihak-pihak perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk menyempurnakan pemindahan kepada penerima hibah.

Dalam petikan Pekeliling Pejabat Pengarah Tanah & Galian Johor (bil 12/2019), klausa 3.8 yang dirujuk menyatakan:

“… pihak-pihak perlu memohon ke Mahkamah Tinggi Sivil atau Unit Pusaka Kecil… bagi mendapatkan perintah pembahagian harta hibah tersebut kepada penerima hibah mengikut perintah pengesahan hibah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.”

Ini adalah perintah pembahagian, bukan turun milik dalam erti kata pusaka.

Perbezaan Istilah: Turun Milik vs. Pindah Milik

Dalam jadual di bawah menjelaskan perbezaan turun milik dan pindah milik:

AspekTurun MilikPindah Milik
DefinisiPemindahan hak milik harta pusaka kepada waris selepas kematian si mati.Pemindahan hak milik harta kepada orang lain (bukan semestinya waris) semasa hidup atau selepas kematian melalui proses undang-undang tertentu.
Digunakan DalamKonteks pusaka – Unit Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil, Pejabat Tanah.Konteks jual beli, hibah, wakaf, wasiat yang telah disahkan atau hibah yang belum didaftarkan.
Perlu Pengesahan Waris?Ya – mengikut hukum faraid dan pengesahan waris.Tidak semestinya – bergantung kepada jenis pindah milik (contohnya hibah tidak perlu ikut faraid).
ContohAnak menerima rumah ayah selepas kematian melalui proses pusaka.Seorang ayah hibahkan rumah kepada anak semasa hidup dan didaftarkan di pejabat tanah.

Kenapa Hibah Tidak Dipanggil Turun Milik?

  1. Turun milik adalah istilah teknikal Pejabat Tanah dalam konteks pusaka khusus kepada waris faraid selepas si mati.
  2. Hibah pula adalah pemberian semasa hidup yang tidak melalui kaedah pengagihan faraid, dan apabila disahkan oleh Mahkamah Syariah, ia tidak dianggap sebagai pusaka.
  3. Maka, proses selepas kematian pemberi hibah bukanlah pewarisan, tetapi pelaksanaan keputusan Mahkamah Syariah bagi mengiktiraf pemilikan penerima hibah dan ini dilakukan melalui perintah pembahagian, bukan turun milik.

Kesimpulan

Sebagai rumusan, penggunaan istilah “turun milik” untuk hibah adalah tidak tepat. Istilah ini perlu dikekalkan dalam konteks pemindahan pusaka kepada waris yang berhak. Bagi hibah, istilah yang lebih sesuai ialah pindah milik berdasarkan dokumen hibah atau perintah pengesahan Mahkamah Syariah.

Penggunaan istilah yang tepat bukan sekadar soal teknikal, tetapi penting bagi memastikan kefahaman awam dan pelaksanaan undang-undang yang selaras di antara Pejabat Tanah, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top