fbpx

Persedian Dokumen Wajib Di Dalam Fail Pewarisan

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Berikut adalah cadangan dokumen yang tuan perlu sediakan untuk hadapi hari kematian untuk memudahkan pihak waris menguruskan harta pusaka.

Dokumen Yang Perlu Disediakan Masa Hidup

Surat Wasiat

Surat Wasiat adalah dokumen rasmi yang menyatakan kehendak dan arahan si mati tentang bagaimana harta pusaka perlu dibahagikan selepas kematiannya. Ia perlu mengandungi nama penuh dan butiran pengenalan si mati, nama dan butiran pewaris, pembahagian harta kepada bukan waris yang tidak melebihi 1/3 harta, serta tandatangan si mati dan saksi-saksi. Sebaiknya surat ini didokumentasikan untuk mengelakkan pertikaian.

Arahan pengurusan jenazah secara khusus juga boleh dimaklumkan di dalam surat seperti melantik individu khusus untuk uruskan jenazah, lokasi pengebumian yang diingini, serta arahan khusus lain (contoh: solat jenazah).

Nota: Ada juga yang membuat wasiat untuk waris, adakah ia dibolehkan? (Tekan sini)

Dokumentasi Hibah

Dokumen Hibah merekodkan pemberian harta secara hibah semasa hayat si mati. Dokumen ini perlu mengandungi nama penuh pemberi hibah dan penerima hibah, butiran harta yang dihibahkan, tarikh hibah dilakukan, serta tandatangan pemberi hibah dan penerima hibah.

Bagi pemberian masa hidup yang telah memenuhi rukun dan syarat, maka harta tersebut telah bertukar milik walaupun tidak berlaku pemindahan nama. Ini kerana permindahan nama adalah bersifat pengurusan sahaja dan tidak menghalang pertukaran hak milik dari segi syarak.

Oleh itu, pemberian seperti ini memerlukan dokumentasi hibah untuk memastikan pemindahan nama dapat dilakukan selepas pemberi meninggal dunia. Perlukan bantuan? Abu Nuha boleh bantu.

Dokumen Pelantikan Wasi

Dokumen Perlantikan Wasi melantik seseorang untuk menguruskan harta pusaka selepas kematian. Ia perlu mengandungi nama penuh dan butiran pengenalan wasi, tanggungjawab dan kuasa wasi, serta tandatangan si mati dan saksi-saksi.

Nota: Kepentingan melantik wasi. (Tekan sini)

Deklarasi Harta Sepencarian

Dokumen ini merujuk kepada dokumen persetujuan antara pasangan semasa hidup untuk memastikan hak pemilikan jelas. Sebagai contoh pasangan bersetuju untuk jadikan pemilikan rumah 50-50, jadi sekiranya berlaku kematian, maka hak pemilikan 50% sahaja difaraidkan dan 50% lagi masih hak milik pasangan.

Dokumen ini memudahkan hakim membuat keputusan bagi tuntutan harta sepencarian. Jika dokumen ini tiada, hakim akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang ada dengan melihat kepada sumbangan langsung dan tidak langsung. Barangkali hak yang diterima dengan tuntutan harta sepencarian tidak seperti yang diharapkan.

Senarai Harta & Hutang

Dokumen harta dan liabiliti adalah senarai penuh semua harta yang dimiliki serta hutang yang perlu diselesaikan. Dokumen ini perlu mengandungi senarai hartanah, akaun bank, saham, dan lain-lain aset, nilai setiap harta, serta senarai hutang dan liabiliti termasuk pemiutang dan jumlah hutang.

Ada berlaku kes di mana waris tidak mengetahui harta arwah, maka berlakulah kerugian dan harta beku yang tidak dapat diwarisi oleh waris. Begitu juga hutang yang tidak diketahui waris, sama ada hutang tersebut tidak tertunai atau hutang yang timbul dituntut tanpa bukti.

Di dalam situasi di atas? Tiada siapa tahu senarai harta dan hutang kecuali pemilik harta tersebut.

Sijil Takaful

Sijil takaful ini perlu mengandungi nama polisi dan syarikat insurans, nilai polisi insurans, serta nama benefisiari dan barangkali ada juga yang dilantik sebagai wasi. Oleh itu, sebaiknya pemilik manfaat menjelaskan sedikit tentang sijil takaful ini berkenaan hasrat tertentu seperti pembayaran hutang dll.

Akaun Bank, Pelaburan Dll.

Akaun Bank dan kewangan mengandungi maklumat akaun bank, pelaburan, dan akaun simpanan. Dokumen ini perlu mengandungi nombor akaun bank, nama bank dan cawangan, serta penyata kewangan terkini. Begitu juga maklumat lain seperti di bawah:

Bank di Malaysia
  1. Maybank (Malayan Banking Berhad)
  2. CIMB Bank
  3. Public Bank
  4. RHB Bank
  5. Hong Leong Bank
  6. Bank Islam Malaysia Berhad
  7. Bank Rakyat
  8. Ambank (AmBank Group)
  9. Affin Bank
  10. Alliance Bank
Pelaburan Emas
  1. Akaun Pelaburan Emas – Ditawarkan oleh bank seperti Maybank, Public Bank, dan CIMB.
  2. Pembelian Syiling Emas – Boleh dibeli melalui agen-agen rasmi seperti Public Gold.
  3. Gold ETFs (Exchange-Traded Funds) – Boleh didapati di Bursa Malaysia.
  4. Jongkong Emas – Boleh dibeli melalui syarikat-syarikat yang diiktiraf seperti Kijang Emas yang ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Pelaburan Lain
  1. Saham dan Bon – Pelaburan dalam pasaran saham melalui Bursa Malaysia.
  2. Unit Amanah (Unit Trusts) – Ditawarkan oleh pelbagai institusi kewangan seperti Public Mutual, CIMB Principal, dan Affin Hwang.
  3. Hartanaht – Pelaburan dalam sektor hartanah seperti pembelian rumah atau bangunan komersial.
  4. ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) – Pelbagai jenis dana amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
  5. Pelaburan Forex (Foreign Exchange) – Melibatkan dagangan mata wang asing, namun pelaburan ini berisiko tinggi dan perlu pemahaman mendalam.
  6. Cryptocurrency – Pelaburan dalam mata wang digital seperti Bitcoin, Ethereum, dan lain-lain

Oleh itu, pemilik harta perlu senaraikan semua akaun yang ada juga maklumat-maklumat yang berkaitan supaya waris dapat uruskan dengan baik selepas kematian.

Dokumen Perniagaan

Dokumen Perniagaan (jika ada) mengandungi maklumat mengenai syarikat yang dimiliki. Ia perlu merangkumi penyata kewangan syarikat, dokumen pendaftaran syarikat, serta senarai aset dan liabiliti syarikat.

Hak Milik Hartanah

Dokumen ini perlu mengandungi geran tanah, dokumen pembelian hartanah, serta bukti pembayaran cukai tanah. Pastikan geran asli disediakan dan jika ada kesulitan menyediakan geran asli, sekurang-kurang ada salinan yang boleh dijadikan rujukan.

Maklumat Peribadi

Dokumen peribadi merangkumi dokumen peribadi yang penting seperti kad pengenalan, pasport, sijil kelahiran, dan sijil nikah. Saya senaraikan semua yang berkaitan dengan maklumat peribadi walaupun ada maklumat tiada kaitan dengan pengurusan pusaka, tetapi mungkin boleh memudahkan waris-waris jika memerlukan maklumat tersebut.

Dokumen
  1. Kad pengenalan (IC).
  2. Pasport.
  3. Surat beranak (sijil kelahiran).
  4. Lesen memandu.
  5. Kad kesihatan.
  6. Sijil perkahwinan.
  7. Sijil cerai.
  8. Sijil akademik.
  9. Surat tawaran kerja.
  10. Penyata bank.
  11. Penyata cukai (LHDN).
  12. Buku bank / buku simpanan.
  13. Kad ATM / kad kredit.
  14. Bukti alamat tempat tinggal (contoh: bil utiliti, bil telefon, bil air).
  15. Sijil takaful.
  16. Perjanjian sewa atau pinjaman.
Maklumat
  1. Nama penuh.
  2. Tarikh lahir.
  3. Alamat tetap.
  4. Nombor telefon.
  5. Alamat emel.
  6. Nombor kad pengenalan.
  7. Nombor pasport.
  8. Nombor akaun bank.
  9. Username dan password media sosial.
  10. Status perkahwinan.
  11. Nama pasangan.
  12. Nama anak-anak.
  13. Pekerjaan.
  14. Nama majikan.
  15. Pendapatan bulanan.
  16. Alamat tempat kerja.
Maklumat Kontak Penting

Maklumat kontak penting mengandungi maklumat kontak individu dan institusi penting seperti nama dan nombor telefon peguam, akauntan, bank, dan lain-lain. Begitu juga jika ada buat perancangan harta dengan Wasiyyah Shoppe Berhad, senaraikan maklumat perunding dll.

Senarai Waris & Maklumat

Senarai pewaris dan maklumat mereka mengandungi maklumat mengenai pewaris seperti nama penuh pewaris, hubungan dengan si mati, nombor telefon dan alamat pewaris. Sekiranya boleh dapatkan salinan IC, maka itulah yang terbaik untuk memastikan proses pengurusan pusaka cepat setelah berlaku kematian.

Dokumen Yang Perlu Disediakan Selepas Mati

Sijil Kematian

Sijil Kematian adalah dokumen rasmi yang mengesahkan kematian seseorang. Dokumen ini perlu mengandungi nama penuh si mati, tarikh dan tempat kematian, punca kematian, serta tandatangan dan cap rasmi pihak berkuasa yang mengeluarkan sijil.

Surat Kuasa Mentadbir

Surat Kuasa Mentadbir adalah dokumen rasmi yang memberi kuasa kepada wasi atau pentadbir untuk menguruskan harta pusaka. Ia perlu mengandungi nama penuh dan butiran pengenalan pentadbir, senarai harta pusaka yang perlu diuruskan, kuasa dan tanggungjawab pentadbir, serta tandatangan pihak berkuasa yang mengeluarkan surat.

Permohonan surat kuasa mentadbir boleh didapati antara tiga tempat iaitu: Amanah Raya Berhad, Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.

Kesimpulan

Senarai yang saya berikan adalah bertujuan untuk memastikan harta tuan puan menjadi rahmat kepada semua waris dan dapat mengelakkan ia menjadi satu fitnah buat mereka. Pengurusan yang baik dan pengagihan yang betul dapat menyenangkan semua waris. Semoga perkongsian saya ini dapat memberikan idea dan juga panduan untuk tuan puan menyediakan fail pewarisan yang lengkap.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?