Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Pewarisan Anak Angkat
Dalam hal pewarisan harta, anak angkat bukan waris kepada ibu/ayah angkat. Maka mereka tidak boleh mewarisi satu sama lain secara faraid. Namun begitu, anak angkat mempunyai hak tertentu yang boleh diberikan melalui wasiat, hibah, atau amanah mengikut ketetapan syariat dan undang-undang yang ditetapkan.
Cara Pemberian
Berikut adalah cara yang dibuat oleh ibu/ayah angkat mengenai perkara ini:
Wasiat 1/3
Mengikut undang-undang yang berlaku di Malaysia, anak angkat dibenarkan menerima harta warisan melalui wasiat sehingga sepertiga (1/3) dari jumlah keseluruhan harta bersih warisan. Ini membolehkan ibu/ayah angkat menentukan sebahagian harta yang boleh diberikan secara spesifik kepada anak angkat mengikut kehendak mereka.
Hibah
Selain wasiat, pewarisan kepada anak angkat juga boleh dilakukan melalui hibah. Hibah merujuk kepada pemberian harta secara langsung kepada anak angkat semasa pewaris masih hidup. Ini membolehkan pewaris memberikan sebahagian dari harta memindahkan harta tersebut secara langsung semasa hidup ataupun ditangguhkan selepas kematian dengan syarat ada dokumentasi atau bukti lain yang boleh mengesahkan harta tersebut telah dihibahkan.
Amanah
Terdapat juga pilihan untuk mewariskan harta kepada anak angkat melalui amanah. Namun begitu, konsep pengamanah tidak berdiri sendiri. Sebagai contoh, ibu angkat mengamanahkan pihak Wasiyyah Shoppe Berhad untuk diberikan kepada anak angkat. Persoalan, amanah tersebut sebagai apa? Jika hibah atau hadiah, maka pemegang amanah perlu menyerahkan kepada penerima amanah seperti yang arahkan oleh pengamanah.
Dalam konteks ini, ibu/ayah angkat menetapkan kepercayaan atau amanah untuk mengatur bagaimana hartanya akan dikelola atau diberikan kepada anak angkat. Melalui amanah, pewaris dapat menetapkan syarat dan batasan penggunaan harta tersebut mengikut kehendak mereka. Pengamanahan harta perlu dibuat semasa hidup dan diserahkan kepada pihak ketiga untuk diserahkan kepada anak angkat.
Penutup
Setiap pilihan pewarisan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. Pewarisan kepada anak angkat melalui wasiat, hibah, atau amanah memberikan kebebasan kepada ibu/ayah angkat untuk menentukan pemberian kepada anak angkat mengikut kehendak mereka. Walaubagaimanapun, perancangan yang teliti dan ketegasan dalam menetapkan hak dan tanggungjawab berkaitan dengan harta warisan juga penting.
Semoga maklumat ini memberikan gambaran yang jelas mengenai pilihan pewarisan anak angkat melalui wasiat, hibah, dan amanah. Untuk dapatkan maklumat lanjut, tuan puan boleh hubungi Abu Nuha.