
Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan untuk menjadi persoalan tentang pewarisan.
Isi Kandungan
Penjelasan
Kebelakangan ini timbul isu pewarisan yang mana isteri-isteri arwah menyatakan persoalan “Mengapa isteri dapat 1/8 bila arwah ada anak? Sikitnya!
Sebenarnya saya takut mendengar luahan kata-kata sebegini, kerana teringat satu ayat Al-Quran:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا
Maksudnya: “Dan tidak boleh bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara untuk mereka mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan tersebut (mereka tidak layak memilih ketetapan sendiri). Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. – [Surah Al-Aḥzāb: 36]
Firman Allah dalam surah Al Anbiya:
لَا يُسۡـَٔلُ عَمَّا يَفۡعَلُ وَهُمۡ يُسۡـَٔلُونَ
Maksudnya: “Dia (Tuhan) tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah (manusia) yang akan ditanya kelak”. – [Surah Al-Anbiyāʾ: 23]

Jom kita kes di atas, cuba kita perhati bahagian isteri. Isteri dapat 1/8 disebabkan arwah ada anak. Bahagian 1/8 untuk si isteri tu adalah lebih besar daripada bahagian setiap orang anak yang mana mereka dapat secara asobah.
Dalam ilmu faraid, bahagian isteri hanya dipengaruhi oleh anak-anak. Jika arwah tiada anak isteri dapat 1/4 dan kalau ada anak 1/8. Oleh itu, di sini pun dah ada isyarat yang boleh kita fahami kalau kita hendak perhati dan berfikir.
Hikmah Pensyariatan
Perkara yang sering menjadi tanda tanya dalam pembahagian pusaka menurut faraid ialah: “Kenapa isteri hanya mendapat sedikit?”
Persoalan ini bukanlah baru. Namun, apabila kita melihatnya dari sudut hikmah pensyariatan, kita akan menyedari bahawa ketetapan Allah bukan sekadar angka tetapi penuh dengan keadilan, kasih sayang dan rahmat yang mendalam.
Pertama, isteri sudah dewasa, anak-anak masih perlukan tunjuk ajar.
Dalam kebanyakan kes, si isteri sudah pun melalui fasa kematangan hidup—berpengalaman, berdikari dan mampu mengurus kehidupannya. Manakala anak-anak pula, ada yang masih kecil, sedang belajar mengenal dunia dan membina masa depan. Justeru, keperluan mereka terhadap sokongan kewangan adalah lebih besar berbanding seorang dewasa.
Kedua, isteri di fasa “mudbiraat”, anak-anak di fasa “muqbiloon”.
Istilah Arab mudbiraat membawa maksud “yang sedang berundur”, manakala muqbiloon bermaksud “yang sedang mara ke hadapan.” Dalam erti kata lain, si isteri berada dalam fasa menamatkan perjalanan hidup, sementara anak-anak baru bermula. Maka, keperluan material dan sokongan kehidupan semestinya lebih besar bagi mereka yang sedang memulakan perjalanan ini.
Ketiga, anak-anak akan menjaga ibu mereka.
Islam bukan sekadar melihat kepada pembahagian harta, tetapi juga kepada tanggungjawab. Anak-anak, terutamanya anak lelaki, diwajibkan untuk menjaga ibu mereka. Maka, walaupun isteri menerima bahagian yang lebih kecil dalam faraid, dia tetap berhak mendapat perlindungan, kasih sayang dan sokongan daripada anak-anaknya yang telah dewasa.
Keempat, peluang isteri untuk dilindungi kembali melalui perkahwinan.
Jika isteri masih muda, Syariah juga membuka ruang untuk beliau memulakan kehidupan baharu melalui perkahwinan semula. Dalam perkahwinan baharu itu, beliau akan dilindungi oleh suami baharu, sekaligus menjadikan keperluan kewangannya berkurangan berbanding anak-anak yang tiada siapa lagi untuk ditumpangi.
Kesimpulan
Sungguh indah ketetapan Allah. Ia bukan semata-mata tentang siapa dapat lebih atau kurang, tetapi siapa yang lebih memerlukan dan siapa yang memikul lebih banyak tanggungjawab.
“Kami dengar dan kami patuh.” (Surah al-Baqarah: 285)
Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Setiap aturan-Nya pasti ada hikmah, walaupun kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran manusia.