fbpx

Cara Betul Lepaskan Hak Faraid

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe sejak 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan untuk menjawab persoalan tentang pewarisan.

Soalan

Assalamualaikum, arwah ayah saya telah meninggalkan beberapa harta. Apabila buat perbincangan antara waris, ada beberapa waris yang ingin lepaskan hak faraid.

Boleh jelaskan kepada kami tentang cara pelepasan hak yang betul?

Jawapan

Waalaikumussalam, terima kasih bertanya. Persoalan ini sering ditanya oleh masyarakat kita dan banyak lagi kesilapan yang dilakukan semasa membuat pengiraan faraid dan juga melepaskan hak.

Situasi-Situasi

Saya ingin datangkan beberapa situasi pelepasan hak supaya persoalan ini difahami dengan menyeluruh:

  • Situasi pertama: Waris ingin melepaskan hak secara keseluruhan kepada waris yang ada dan dibahagi secara faraid.
  • Situasi kedua: Waris ingin melepaskan hak secara keseluruhan dan diberikan kepada waris tertentu.
  • Situasi ketiga: Waris ingin melepaskan hak secara keseluruhan salah satu harta pusaka untuk memiliki harta pusaka lain secara keseluruhan.
  • Situasi keempat: Waris ingin melepaskan hak secara keseluruhan dan syarat waris lain bayar pampasan harta tersebut.
  • Situasi kelima: Waris inginkan sebahagian hak pusaka dan melepaskan sebahagian hak kepada waris yang ada dan dibahagi secara faraid.
  • Situasi keenam: Waris inginkan sebahagian hak pusaka dan diberikan sebahagian lagi kepada waris tertentu.
  • Situasi ketujuh: Waris ingin lepaskan hak keseluruhan atau sebahagian dan diberikan kepada bukan waris.

Begitulah antara situasi yang boleh kita jangka di dalam pelepasan hak dan mungkin ada lagi situasi lain. Ia bergantung kepada waris yang menerima hak pusaka melepaskan hak mereka dan diserahkan kepada waris atau bukan waris.

Ini bermakna pelepasan hak ada berbentuk hadiah dan ada juga berbentuk pertukaran. Oleh itu, waris yang ingin melepaskan hak perlu fahami sebetulnya hasratnya dan melaksanakan dengan cara yang betul.

Wujudnya waris di luar sana yang melepaskan hak tetapi tidak mengetahui hak mereka. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya terjadi. Sekarang ini saya datangkan satu kes pusaka:

Langkah-Langkah

Berdasarkan kes pusaka di atas, kita mengandaikan bapa kepada arwah ingin melepaskan hak dan diberikan kepada waris lain. Maka langkah yang betul ialah:

  • Langkah pertama: Senaraikan harta dan membuat penilaian terhadap harta arwah.
  • Langkah kedua: Buat pengiraan faraid asal sepertimana di dalam poster atas.
  • Langkah ketiga: Waris yang ingin melepaskan hak perlu mengetahui bahagian faraid dan juga nilai harta yang diperolehi.
  • Langkah keempat: Waris tersebut boleh melepaskan hak mereka secara sukarela jika ia pelepasan tanpa ganti (hadiah). Jika waris melepaskan dengan pertukaran lain, maka perlu dapat persetujuan bersama waris lain.
  • Langkah kelima: Buat pengiraan faraid semula untuk kira kembali bahagian pelepasan hak diberikan kepada waris lain. Hal ini kembali kepada hasrat waris yang melepaskan hak.
Peringatan

Sekiranya pelepasan hak tanpa mengetahui hak faraid sebenarnya, kemungkinan waris yang mengambil hak tersebut secara batil. Apabila ditanya waris adakah dia mahukan hak faraid ataupun tidak? Ditanya kembali, “Berapa banyak?” Terus dijawab, “Sedikit je” “Tak banyak pun” tanpa diberitahu hak dalam bentuk nilai.

Sekiranya waris yang melepaskan hak baru tahu hak yang dia sepatutnya diterima sedangkan semasa berlakunya pelepasan hak tersebut tidak diketahui hak sebenarnya kerana kejahilan, maka dia boleh menuntut kembali haknya.

Sekiranya waris yang melepaskan hak mereka dan waris tersebut melepaskan secara sukarela setelah mengetahui haknya, maka waris tersebut tidak boleh lagi menuntut kembali.

Kesimpulan

Untuk mengelakkan timbulnya isu, pelepasan hak perlu kepada mengetahui hak faraid terlebih dahulu, barulah waris tersebut melepaskan hak. Bagaimana mungkin seseorang melepaskan hak tetapi tidak tahu hak yang diperolehi? Oleh itu, saya berharap pencerahan ini memberi satu maklumat kepada semua.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

1 thought on “Cara Betul Lepaskan Hak Faraid”

  1. Pingback: Cara Pembahagian Kereta Secara Faraid - Rancang Harta dan Solusi Pusaka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?