fbpx

Mengapa Bahagian Faraid Lelaki Lebih Banyak Daripada Perempuan?

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan untuk persoalan berkaitan pewarisan.

Soalan

Mengapa bahagian lelaki berganda berbanding perempuan?

Jawapan

Terima kasih kerana bertanya.

Soalan tersebut sememangnya sering ditanya oleh masyarakat kita dek situasi masa kini ramai anak perempuan yang menggalas tanggungjawab berbanding lelaki. Realiti begitulah, sehingga ramai yang mempersoalkan tentang pewarisan lelaki lebih banyak berbanding perempuan.

Sebelum saya menjawab, satu perkara yang wajib kita fahami ialah syariat Allah telah membezakan tanggungjawab lelaki dengan tanggungjawab wanita. Kedua-dua ada kelebihan tersendiri yang melengkapkan satu sama lain. Firman Allah Taala:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” (Surah An Nisa’: 34)

Hikmah-Hikmah

Ayat di atas jelas membezakan lelaki dan perempuan. Antara hikmah kenapa Allah lebihkan bahagian faraid lelaki ialah:

  1. Wanita dicukupkan bekalan dan keperluan mereka dengan nafkah wajib daripada anaknya, ayahnya, adik beradik lelakinya dan selainnya daripada kerabat.
  2. Wanita tidak ditaklifkan untuk menafkahi sesiapa pun. Berbeza lelaki yang mana Allah telah mentaklifkan mereka menafkahi keluarga dan juga kerabat dan selainnya yang diwajibkan ke atas mereka.
  3. Keperluan kewangan lelaki lebih banyak berbanding perempuan untuk mencari rezeki untuk keluarga dan kerabat yang menyebabkan mereka memerlukan harta lebih banyak.
  4. Orang lelaki perlu membayar mahar kepada isteri jika ingin berkahwin. Begitu juga nafkah tempat tinggal, makanan, pakaian untuk isteri dan anak-anak.
  5. Orang lelaki perlu membayar yuran/kos pengajian anak-anak, keperluan ubat-ubatan untuk isteri dan anak-anak.
Realiti

Begitulah hikmah kenapa Allah berikan lelaki lebih banyak berbanding lelaki, bahkan banyak lagi yang tidak disenaraikan. Namun persoalan timbul apabila perempuan yang banyak ambil tanggungjawab kepada keluarga. Secara umumnya untuk menjawab persoalan ini adalah tanggungjawab lelaki tidak pernah gugur dengan ambil alih tanggungjawab oleh wanita.

Semoga Allah menganjari sebaik-baik balasan untuk wanita-wanita luar sana yang berkorban untuk keluarga.

Tidak dinafikan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini telah terbalik. Terdapat sebahagian lelaki yang melepaskan tanggungjawab mereka sehingga digelar sebagai “biawak hidup”. Perkara ini tidak sepatutnya terjadi jika lelaki tersebut memahami tanggungjawabnya.

Kelak Allah akan mempersoalkan lelaki atau perempuan yang mengabaikan tanggungjawab mereka. Sehubungan dengan itu, satu perkara yang kita kena faham bahawa kemampuan seseorang berbeza antara satu sama lain. Allah berfirman:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (Surah At-Talaq: 7)

Ayat ini menjelaskan seseorang menunaikan tanggungjawabnya mengikut kemampuan. Namun begitu, diingatkan jangan menjadikan ia alasan untuk bermalas-malasan bahkan perlu berusaha sebaik mungkin.

Ada lelaki yang menganggap mencari nafkah itu satu beban. Wajib kita ubah cara fikir bahawa mencari rezeki itu satu tiket untuk kita masuk syurga kerana mencari nafkah untuk keluarga dan kerabat adalah satu jihad. Mengapa perlu rasa terbeban?

Kesimpulan

Kesimpulannya, Allah memberikan lelaki lebih berbanding perempuan ada hikmahnya. Harta yang diperolehi oleh seorang lelaki untuk dirinya dan keluarga. Harta yang diperolehi seorang wanita adalah untuk keperluan dirinya sahaja.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?