fbpx

Penjelasan: Adakah Tanah Felda Pusaka Ataupun Tidak?

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Persoalan

Assalamualaikum Abu Nuha,

Kami adik-beradik keliru tentang status tanah Felda yang dimiliki oleh ayah kami. Kami rujuk kepada beberapa orang yang mengatakan ia pusaka dan ada yang ia bukan pusaka.

Jadi apakah status sebenar tanah felda tersebut? Bagaimana pula hasil tanah Felda tersebut?

Adakah boleh dibahagi sama rata hasilnya?

Bagitu juga adakah adik beradik lelaki perlu bertanggungjawab ke atas adik beradik perempuan?

Jawapan

Waalaikumussalam, terima kasih yang bertanya saya tentang hal ini.

Apa Itu Pusaka?

Secara umumnya kita perlu memahami apa itu pusaka?

Secara bahasa, harta pusaka merujuk kepada apa yang ditinggalkan oleh seseorang dan kekal selepas kematiannya.

Secara istilah, menurut jumhur ulama, harta pusaka mencakupi segala yang ditinggalkan oleh si mati, termasuk harta benda dan hak-hak kewangan yang sah secara mutlak. Ini merangkumi benda-benda material seperti barang alih dan harta tak alih, hak-hak berkaitan seperti hak lalu lintas air, jalan, dan sebagainya, manfaat seperti hak menggunakan barang sewa atau pinjaman, serta hak-hak peribadi seperti hak syuf’ah (hak penebusan), dan hak pilihan seperti khiyar syarat. Ia juga meliputi perkara yang terhasil dari sesuatu seperti arak yang bertukar menjadi cuka selepas kematiannya, atau perangkap yang dipasang oleh si mati dan menangkap haiwan selepas kematiannya.

Tanah Felda Pusaka Atau Tidak?

Perkara ini dijelaskan dalam satu artikel “Pembahagian Harta Pusaka Felda…..”

Kedudukan yang sama juga bagi waris-waris peneroka FELDA yang meninggal dunia. Walaupun hak waris-waris tersebut untuk mewarisi tanah rancangan tersebut tidak dinafikan oleh hukum syarak, undang-undang Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) atau GSA menegah daripada nama-nama waris didaftarkan di dalam hakmilik tanah kecuali dua nama sahaja.

Dalam pembahagian tanah GSA ini, sekiranya si mati meninggalkan seorang isteri dan 5 orang anak, dua lelaki dan satu perempuan dan mereka menuntut bahagian masing-masing mengikut hukum faraid, pegawai Unit Pembahagian Pusaka selaku Pentadbir Tanah akan melantik sekurang-kurangnya seorang ‘pentadbir’ untuk didaftarkan di dalam geran tanah. Tugas pentadbir ialah menguruskan ladang dan membahagikan hasilnya kepada waris-waris mengikut faraid atau sebagaimana dipersetujui oleh waris-waris.

Wan Abdul Halim Wan Harun, 2012

Secara tidak langsung menjelaskan bahawa tanah Felda merupakan pusaka dan tertakluk kepada pembahagian mengikut faraid.

Kembali kepada soalan, kekeliruan mungkin berpunca kepada perkataan “Pajakan” seakan-akan tanah tersebut tidak sempurna milik. Oleh itu, saya merujuk kepada ahlinya iaitu Tuan Azlan yang bekerja di Pejabat Tanah mengatakan bahawa pemilikan tersebut tanah pemilikan sempurna tetapi bertempoh sepertimana di dalam Akta Kanun Tanah Negara.

Persoalan, “Sekiranya belum capai tempoh 99 tahun adakah harta felda ni belum menjadi harta mutlak? Dan ianya tidak boleh di faraidkan?”

Tanah pajakan (leasehold) sebenarnya dianggap sebagai tanah yang mempunyai hak milik yang sah dan sempurna dari segi undang-undang sepanjang tempoh pajakan tersebut, selagi syarat pajakan dipatuhi. Ini bermaksud bahawa pemilik tanah pajakan mempunyai hak milik penuh terhadap tanah itu untuk tempoh yang ditetapkan, dan mereka boleh menjalankan hak-hak tertentu seperti menjual, menyewakan, atau mewariskan tanah tersebut.

Perkara ini jelas ditulis di dalam geran “hak milik tetap”.

Istilah “tidak sempurna milik” biasanya merujuk kepada situasi di mana hak milik belum sepenuhnya dikuatkuasakan atau terdapat sekatan terhadap pemilikan tersebut. Namun, tanah pajakan masih dianggap sebagai sempurna milik dari segi undang-undang, cuma ia terhad kepada tempoh tertentu (sehingga tamat tempoh pajakan). Apabila tempoh tersebut tamat, pemilik perlu memperbaharui pajakan untuk mengekalkan hak milik.

Begitu juga tentang persoalan yang mengatakan “tanah felda bukan harta persendirian”. Kenyataan ini bercanggah dengan jawapan yang dijelaskan oleh Tuan Azlan bahawa tanah tersebut adalah hak milik tetap peneroka tanah Felda. Namun ia hanya terikat dengan Akta GSA sahaja dan bukan menafikan hak pemilikan tetap.

Oleh itu, perkara ini secara tidak langsung menjawab bahawa tanah felda adalah pusaka dan hasilnya juga adalah pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid.

Adakah Hasil Felda Boleh Sama Rata?

Ada pihak yang menjelaskan bahawa hasil Felda boleh dibahagikan sama rata. Saya tidak menafikan bahawa pembahagian tersebut dibolehkan tetapi ia mempunyai syarat iaitu waris-waris bersetuju dengan pembahagian muafakat. Jika tidak, maka hak faraid asal dikekalkan.

Perkara ini saya ada jelaskan di dalam posting lalu. (Tekan sini)

Adakah Waris Bertanggungjawab Memberi Nafkah?

Secara umumnya, waris perlu bertanggungjawab memberikan nafkah kepada tanggungannya. Namun untuk menjawab soalan, kita perlu lihat keadaan waris tersebut bagaimana? Adakah dia berkemampuan ataupun tidak?

Satu perkara yang kita kena faham tentang nafkah ialah sepertimana dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997).

Ini bermakna walaupun waris tersebut menerima faraid tetapi waris tersebut tiada kemampuan, maka tidak diwajibkan keatasnya bahkan ia berpindah kepada orang lain sehingga ia berpindah kepada baitulmal.

Jadi perlunya melihat kepada keadaan waris tersebut. Waris bertanggungjawab sekadar kemampuannya sahaja. Oleh itu, menjadi kewajipan waris terdekat jika ia benar-benar mampu. Namun, jika waris tersebut sengaja tidak berusaha untuk menunaikan tanggungjawab, maka hal ini waris tersebut akan dipertanggungjawab di hadapan Allah kelak.

Tambahan

Secara ringkasnya borang E dan borang F adalah borang rasmi yang digunakan dalam urusan pentadbiran harta pusaka kecil, khususnya dalam konteks Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Kedua-dua borang ini digunakan untuk tujuan pembahagian harta pusaka, termasuk dalam kes pewarisan tanah rancangan FELDA, apabila pewarisan dan pembahagian harta melibatkan tanah atau ladang.

Borang E – Perintah Pembahagian

Borang E adalah perintah rasmi yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah atau Pegawai Pembahagian Pusaka setelah selesai perbicaraan pembahagian pusaka. Borang ini mengandungi maklumat penting mengenai cara harta pusaka si mati akan diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid, Akta Pembahagian 1958, atau secara muafakat berdasarkan persetujuan semua waris.

Dalam konteks pewarisan tanah FELDA, Borang E akan menyatakan bagaimana tanah atau ladang akan diagihkan kepada waris-waris yang layak. Ia mungkin juga mengandungi butiran pelantikan pentadbir dan penjelasan tentang siapa yang bertanggungjawab menguruskan tanah FELDA tersebut. Sekatan tertentu seperti penamaan tidak lebih daripada dua orang penama di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 akan turut direkodkan di dalam borang ini.

Borang F – Perintah Pentadbiran

Borang F pula adalah perintah yang diberikan kepada Pentadbir yang telah dilantik untuk mentadbir harta pusaka. Perintah ini memberikan Pentadbir kuasa untuk menguruskan harta pusaka termasuk mendapatkan akses kepada aset alih si mati (contohnya akaun bank) dan memungut hasil daripada tanah atau ladang FELDA.

Dalam kes tanah FELDA, Borang F akan memperincikan tanggungjawab Pentadbir yang telah dilantik untuk menguruskan ladang, membahagikan hasilnya kepada waris-waris mengikut bahagian yang ditetapkan sama ada berdasarkan faraid atau persetujuan bersama. Pentadbir yang dilantik melalui Borang F bertanggungjawab penuh untuk memastikan hasil ladang diuruskan dengan baik dan adil kepada semua waris, serta memastikan pembahagian harta dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Kesimpulan

Setelah menganalisis perkara ini, saya cuba mencari fatwa-fatwa negeri tentang hal ini secara khusus, saya tidak menjumpainya kerana perkara ini jelas bahawa segala harta yang menjadi pemilikan penuh masa hidup dan memilikinya sehingga kematian, maka harta tersebut menjadi pusaka.

Namun terdapat sekatan-sekatan yang dikenakan oleh undang-undang yang perlu difahami oleh waris dan pentadbir​ iaitu Sekatan Akta GSA 1960: Tanah FELDA tidak boleh dimiliki lebih daripada dua orang waris dan tidak boleh dipecah bahagi kepada lot-lot kecil​. Ini menjadikan pembahagian harta pusaka lebih rumit, kerana undang-undang ini bertujuan untuk memastikan tanah tersebut kekal produktif dan tidak terpecah kepada unit yang tidak ekonomik.

Bacaan artikel tentang tanah Felda, tuan puan boleh muat turun:

Penutup

Alhamdulillah, dengan ini maka berakhirlah perkongsian tentang penjelasan tanah Felda pusaka ataupun tidak. Semoga perkongsian ringkas ini menjelaskan yang keruh. Sekiranya tuan puan ada sebarang persoalan, maka boleh diajukan di ruangan komen.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?