Penjelasan: Adakah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Pusaka?

Saya Abu Nuha Nuwairah, perunding pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Persoalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya. Ibu saya merupakan penerima STR, tetapi beliau telah meninggal dunia pada 20 Disember 2024. Namun, pada bulan ini, bayaran STR masih diterima. Menurut LHDN, pembayaran ini berlaku kerana proses kemas kini telah ditutup sebelum ibu saya meninggal dunia. Oleh itu, ibu saya akan menerima bayaran untuk dua kali.

Persoalan saya, adakah wang STR ini perlu difaraidkan kerana ia diterima selepas ibu saya meninggal dunia?

Jawapan

Bissmillah. Dalam situasi ini, duit STR (Sumbangan Tunai Rahmah) yang dimasukkan selepas kematian ibu anda perlu dilihat dari sudut hukum faraid dan juga peraturan semasa berkaitan wang bantuan kerajaan.

Wang STR diberikan kepada individu yang layak berdasarkan keadaan semasa permohonan dan kelulusan. Namun, jika wang itu diterima selepas penerima meninggal dunia, ia boleh dianggap sebagai harta pusaka jika ia memang hak penerima sebelum kematiannya.

Jika pembayaran STR itu memang hak ibu anda sebelum dia meninggal dunia, maka duit itu menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.

Jika pembayaran STR itu diberikan sebagai bantuan untuk waris selepas ibu anda meninggal dunia, maka ia bukan harta pusaka dan boleh digunakan oleh waris.

Setelah meneliti maklumat yang diberikan oleh pihak HLDN seperti di dalam gambar, maka kesimpulannya ia adalah pusaka.

Dalam kes ini, LHDN menyatakan bahawa pembayaran dibuat kerana proses kemaskini telah ditutup sebelum ibu anda meninggal dunia. Ini bermaksud wang itu memang sudah menjadi hak ibu anda sebelum dia meninggal dunia, walaupun bayaran dilakukan selepas kematiannya.

Konsepnya mudah, apabila sesuatu harta itu diusahakan semasa hidup walaupun hasilnya dapat selepas kematian, maka ia dikira pusaka.

Sebagai contoh, Ahmad menanam pokok durian. Semasa hidup Ahmad, hasil belum keluar dan selepas berlaku kematian, barulah durian keluar. Adakah durian tersebut dikira pusaka? Ya, dikira pusaka.

Begitulah konsep yang dalam isu ini. STR ini diusahakan oleh arwah dengan mengisi borang dan sebagainya. Namun, takdir kematian mendahuluinya, hak tersebut menjadi pusaka. Sekiranya arwah masih hidup, sudah pasti dia akan memiliki harta tersebut.

Saya juga bertanya kepada beberapa kenalan yang ahli dalam bidang ini, respon juga sepertimana yang saya beritahu.

Kalau masuk juga, pun jadi pusaka bagi pendapat ana. – Tuan Termizi.

Pusaka. Tidak disebut penerima seterusnya. – Tuan Wan Haslim.

Jadi, duit STR tersebut dianggap sebagai harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.

Kesimpulan

Duit STR yang masuk selepas kematian ibu anda dianggap sebagai harta pusaka kerana ia sudah menjadi hak ibu anda sebelum dia meninggal. Secara hukum faraid, duit itu perlu dibahagikan mengikut bahagian waris yang berhak. Semoga penjelasan ringkas ini membantu.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?