Penjelasan: Isu Tempat Tinggal Isteri Dalam Tempoh Iddah Selepas Kematian Suami

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Sebagaimana nafkah merupakan hak isteri semasa hayat suami, begitu juga hak tempat tinggal adalah kewajipan yang harus disediakan oleh suami semasa hidupnya. Hal ini telah diputuskan berdasarkan firman Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ

Maksudnya: “Tempatkanlah mereka (para isteri) di tempat tinggalmu sesuai dengan kemampuanmu.” (Surah At-Talaq: 6)

Namun, persoalan timbul mengenai hak tempat tinggal isteri setelah kematian suami, khususnya sepanjang tempoh iddah. Para ulama berbeza pandangan bergantung pada status pemilikan rumah yang didiami isteri semasa hayat suami.

Pendapat Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi membezakan antara rumah yang disewa dan rumah yang dimiliki oleh si suami:

Jika rumah disewa: Isteri tidak berhak tinggal di rumah tersebut kerana tidak boleh menggunakan harta waris untuk membayar sewa rumah sepanjang tempoh iddah. Ini kerana hubungan perkahwinan telah terputus dengan kematian suami dan harta tersebut telah menjadi milik para waris. Oleh itu, isteri perlu menanggung sendiri kos sewa rumah daripada hartanya sendiri atau ditolak daripada bahagian faraidnya.

Jika rumah milik suami: Isteri berhak tinggal di rumah tersebut sepanjang tempoh iddah kerana beliau merupakan salah seorang waris yang berhak mendapat bahagian daripada rumah itu. Namun, beliau perlu menjaga batasan aurat dan berkelakuan sopan terhadap waris yang bukan mahramnya jika tinggal bersama.

Pendapat Mazhab Maliki

Mazhab Maliki menyatakan bahawa isteri berhak tinggal di rumah tersebut sepanjang tempoh iddah dengan syarat:

Pertama, suami telah melakukan persetubuhan (dukhul) dengan isteri.

Kedua, rumah tersebut dimiliki oleh suami atau beliau mempunyai hak guna pakai (haq al-intifa’) atau telah membayar sewa sebelum kematiannya.

Pendapat Mazhab Syafie dan Hanbali

Pendapat Imam Syafie dan Hanbali terdapat perbezaan seperti berikut:

Jika isteri hamil: Isteri berhak tinggal di rumah tersebut sehingga melahirkan anaknya.

Jika isteri tidak hamil: Terdapat dua pendapat – ada yang mengatakan beliau tidak berhak tinggal di rumah tersebut dan ada yang membenarkan sehingga tamat tempoh iddah (empat bulan sepuluh hari).

Pandangan Ibnu Abbas

Ibnu Abbas berpendapat bahawa ayat mengenai hak waris isteri yang memperuntukkan sepertiga atau seperempat daripada harta suami telah menasakhkan (menggugurkan hukum) ayat yang memperuntukkan hak tempat tinggal selama setahun:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا وَصِيَّةً لِأَزْوَاجِهِم مَّتَاعًا إِلَى الْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka (para isteri) diberi wasiat untuk diberi nafkah dan tempat tinggal selama setahun tanpa disuruh keluar.” (Surah Al-Baqarah: 240)

Beliau berpendapat bahawa tempoh menunggu setahun telah digantikan dengan tempoh empat bulan sepuluh hari atau sehingga melahirkan anak bagi wanita hamil berdasarkan ayat berikut:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menunggu dirinya selama empat bulan sepuluh hari.” (Surah Al-Baqarah: 234)

Ringkasan Pandangan Ulama

Sekiranya rumah tersebut milik suami atau sewanya telah dibayar sebelum kematian suami, isteri berhak tinggal di situ sepanjang tempoh iddah kerana beliau salah seorang waris.

Jika rumah tersebut disewa dan sewanya belum dibayar, ulama terbahagi kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Waris perlu membayar sewa rumah sepanjang tempoh iddah menggunakan harta si mati. Ini didahulukan daripada pembahagian harta pusaka dan wasiat kerana dianggap sebagai hutang yang perlu diselesaikan.

Pendapat kedua: Isteri perlu membayar sendiri kos sewa rumah daripada hartanya kerana tanggungjawab suami telah terhenti selepas kematiannya dan harta suami telah menjadi milik para waris.

Sekiranya waris ingin membenarkan isteri tinggal di rumah tersebut tanpa sewa, hal ini dibolehkan sebagai ihsan dan bukan kewajipan.

Kesimpulan

Dalam isu hak tempat tinggal isteri yang kematian suami, para ulama bersetuju bahawa isteri boleh terus tinggal di rumah suami sepanjang tempoh iddah jika rumah itu milik suami atau sewanya telah dibayar sebelum kematian.

Namun, jika rumah tersebut disewa dan sewanya belum dibayar, terdapat perbezaan pendapat sama ada waris perlu menanggung kos tersebut atau isteri perlu membayarnya sendiri. Hukum ini bertujuan untuk menjaga kebajikan isteri sambil memelihara hak para waris sesuai dengan prinsip keadilan dalam Islam.

Praktikal di Malaysia mengambil pandangan sewa sepanjang tempoh iddah menggunakan harta si mati yang mana ia didahulukan daripada pembahagian pusaka seiring dengan salah satu pandangan dalam mazhab Syafie.

Allahu A’lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?