Cara Pembahagian Kereta Secara Faraid

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah dari Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh yang dikenali sebagai ImamU. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan dalam menjawab persoalan tentang pewarisan.

Isi Kandungan

Persoalan

Seringkali orang bertanya tentang bagaimana nak bahagikan kereta ikut faraid? Apakah cara yang terbaik?

Jawapan

Seperti yang diketahui ramai bahawa pemilikan kereta dalam undang-undang hanya boleh dimiliki oleh seorang individu sahaja seperti dijelaskan dalam Akta 333 Pengakutan Jalan 1987.

Namun begitu, dalam Islam bolehkah kereta tersebut dimiliki ramai? Ya boleh. Pemilikan tersebut boleh jadi pemilikan bersama dalam jual beli dan boleh juga menjadi pemilikan dengan faraid. Jom kita fokus kepada pemilikan melalui faraid.

Apabila berlaku kematian kepada seseorang individu, maka harta yang dimiliki bertukar status pusaka. Pusaka tersebut boleh jadi hak milik orang lain dengan pembayaran balik hutang arwah, menyelesaikan hutang dengan Allah dan sebagainya. Baki daripada harta tersebut akan jadi hak milik waris-waris.

Kes pusaka yang saya bawakan sebuah kereta yang bernilai RM1 juta, ini bermakna semua waris akan dapat bahagian mereka seperti dalam poster. Persoalan, bagaimana nak bahagi kereta tersebut?

Hal ini disebut dalam kitab-kitab fiqh tentang pembahagian harta yang tidak boleh ditentukan bahagian atau yang tidak dipecah-pecahkan. Adakah bahagian anak adalah 4 biji tayar? Adakah bahagian bapa adalah bahagian bonet belakang? Perkara ini mustahil untuk dibahagi.

Cara Pembahagian

Oleh itu, ada 2 cara untuk bahagikan kereta ini:

Pertama, jual kereta tersebut dan dapatkan tunai. Setelah dapatkan tunai, pembahagian dibahagikan ikut faraid. Contoh, bahagian bapa setelah pengiraan 8/48, jadi jumlah tunai hasil jualan kereta tersebut dibahagikan ikut bahagian tadi. Hasilnya bahagian bapa dapat 8/48 x RM1 juta = RM166,666,67.

Kedua, salah seorang waris menjadi pemilik kepada kereta tersebut dan dia memberikan bahagian waris lain dalam bentuk tunai. Contoh, anak lelaki berminat memiliki kereta tersebut, jadi bahagian anak lelaki 10/48 (RM208,333.33) tetap menjadi haknya dan baki bahagian lain diberikan kepada waris-waris lain, bapa 8/48 (RM166,666.67), ibu 8/48 (RM166,666.67) dan seterusnya dalam bentuk tunai.

Persoalan

Timbul persoalan, bagaimana pula jika kereta tersebut masih dalam hutang (loan)?

Jika kereta masih dalam hutang, maka tindakan yang sebaiknya menggunakan aset lain untuk langsaikan hutang tersebut kerana itu adalah hutang arwah, kemudian kereta difaraidkan. Jika hutang tersebut dilindungi oleh takaful, maka tiada isu timbul.

Namun, jika ada waris yang nak sambung bayar. Maka perlu buat pengiraan balik faraid dengan mengambil kira nilai kereta, jumlah hutang yang masih berbaki dan juga manfaat yang bakal diterima oleh waris yang sanggup sambung bayar.

Sebagai contoh, nilaian semasa kereta RM50,000 dan baki hutang loan ketika meninggal RM30,000. Sekiranya ada waris ingin sambung bayar, maka waris tersebut perlu membayar kepada semua ahli waris (termasuk dirinya) RM20,000 dengan mengikut bahagian faraid masing-masing dan RM30,000 itu waris tersebut menanggung hutang.

Kesimpulan

Adakah cara yang terbaik?

Cara yang terbaik dalam pembahagian ini adalah perbincangan antara waris. Jika ada waris melepaskan dan berikan kepada waris lain, itu juga faraid. Yang penting setiap waris perlu tahu hak faraid masing-masing.

Jemput baca cara betul lepaskan hak. (tekan sini).

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

13 thoughts on “Cara Pembahagian Kereta Secara Faraid”

  1. Assalamualaikum sy nak tnye.. jika masalah kereta dan motor si mati tidak mau diberi kepada anak laki2 apakah jalan terbaik utk settle hal tersebut? Dan bagaimana cara nye.. jika tidak ad persetujuan slh seorg dari si waris adakah wajib juga utk pertukaran nama kepada pewaris berkenaan? Tetapi nama kereta tak sempat untuk pertukaran nama dari nama si mati tadi..

    1. Waalaikumussalam, ‘si mati’ tidak mahu diberikan kepada anak-anak lelaki? Boleh tahu siapa yang tidak mahu?

      Kalau si mati sendiri berdasarkan pesanan masa hidup, pesanan tersebut tidak boleh dipakai. Kena abaikan disebabkan kita ada hukum faraid.

      Kalau ada ahli waris yang tidak bersetuju, boleh tukar nama kepadanya seorang dan waris lain beri hak dalam bentuk tunai. Ada banyak cara lagi untuk cara pembahagian ini. Itu salah satu.

      Saya tak faham, “Tetapi nama kereta tak sempat untuk pertukaran nama dari nama si mati tadi.” Adakah arwah ingin hibahkan kereta tu semasa hidup?

      Banyak yang tidak jelas menyebabkan saya tak dapat berikan jawapan yang tepat. Mohon jelaskan situasi sebenar.

  2. Assalamulaikum. Saya nak tanya berkenaan kereta. Kami adik beradik ingin belikan kereta kepada ibu. Nama atas geran kereta adalah nama si ibu. Tetapi loan yang dibuat adalah di atas nama kakak.

    Kami ada 2 pilihan dari segi bayar bulanan kereta untuk si ibu (pemilik kereta).
    1) Adik-beradik berkongsi bayaran bulanan kereta.
    2) Hanya kakak sahaja yang bayar bulanan kereta.

    Setelah berbincang, hanya kakak seorang sahaja yang akan membayar bulanan kereta tersebut walaupun hak empunya kereta adalah milik si ibu. Adakah kereta tersebut semestinya difaraidkan juga atau bagaimana?

    1. Waalaikumussalam.
      Soalan yang sangat baik dan situasi ini memang kerap berlaku dalam keluarga.

      Mari saya terangkan secara step-by-step supaya Tuan/Puan dan adik-beradik lain jelas:

      Pertama, status pemilikan kereta (geran hak milik). Dalam kes ini, kereta didaftarkan atas nama ibu. Dari sudut undang-undang pemilikan (ownership), pemilik kereta adalah ibu. Walaupun pinjaman dibuat atas nama kakak, tetapi nama pemilik geran tetap menjadi penentu pemilik harta.

      Kedua, status pembayaran bulanan. Kakak membayar ansuran bulanan, ini dari sudut “pembiayaan” (loan repayment). Namun, membayar ansuran tidak menjadikan kakak pemilik dari sudut undang-undang pemilikan harta, kerana nama pemilik tetap ibu.

      Ketiga, kedudukan harta selepas kematian ibu. Selepas ibu meninggal dunia, kereta tersebut dikira sebagai harta pusaka ibu. Oleh sebab itu, ia tetap tertakluk kepada hukum faraid dan perlu diagihkan kepada waris-waris ibu yang layak (anak-anak, suami – jika masih hidup atau waris lain mengikut turutan faraid).

      Hak kakak sebagai pembayar ansuran tidak secara automatik memberi hak mutlak ke atas kereta tersebut, melainkan dibuat secara hibah, wasiat (dengan persetujuan waris) atau persetujuan semua waris selepas kematian.

      Bagaimana kalau kakak rasa Dia ada hak sebab bayar bulanan?

      Jika kakak menganggap pembayaran ansuran itu sebagai hutang pemberian kepada ibu, ia perlu dibuktikan. Jika tidak pernah ada akad hutang, maka kebiasaannya dianggap sebagai pemberian atau sumbangan anak kepada ibu.

      Dalam Islam, memberi nafkah atau membantu ibu bapa bukan dianggap sebagai hutang melainkan jelas akadnya.

      Kesimpulan ringkas: Kereta tetap harta ibu. Bila ibu meninggal, ia jadi pusaka faraid melainkan ada hibah atau perjanjian lain. Pembayaran kakak tidak automatik menjadikan kereta itu milik kakak.

      Untuk faraid, kita mesti buat pengiraan terlebih dahulu dengan melihat nilai kereta, hutang tinggal dll.

      Allahu A’lam.

  3. Assalammualaikum. Arwah ibu ada satu kereta yg kami perlu faraid. Antara AmanahRaya & Pusaka Kecil, yang mana lebih cepat prosesnya?

    1. Waalaikumussalam,

      Sekarang ini Pejabat Pusaka Kecil dah ada fast track bagi harta alih sahaja dan setahu saya PPK lebih cepat.

      Untuk jawapan soalan ni, lebih baik PPK.

      Allahu A’lam.

      Ini pendapat saya shj. Setiap PPK berbeza mengikut atur cara pegawai yang menguruskan.

      1. Assalamualaikum. Waris arwah yg tinggal hanya seorang isteri, tiada anak, seorang adik lelaki, seorang adik perempuan. Arwah ada membeli kereta secara cash lepas berkahwin. Selepas meninggal, perancangan awal utk memberi adik lelaki gunakan kereta itu. Hanya tukar nama dan uruskan proses yg berkaitan. Tetapi adik lelaki bertindak pulangkan kereta pada isteri arwah sebab dah tak nak guna.
        Soalan. Jika dijual, hasilnya perlu di bahagi secara faraid atau tidak kepada waris?
        Jika tidak dijual mcm mana pula?

          1. Ok baik, sekiranya telah berlaku pemberian semasa hidup, maka ia dah jadi hak milik kepada adik arwah. Sekiranya dia ingin jual kereta tersebut, hasil jualan akan jadi hak miliknya.

            Namun begitu, pastikan betul rukun dan syarat hibah tersebut supaya jelas ia telah menjadi pemilikan adik arwah.

            Seterusnya, jika kereta itu masih nama arwah, maka ia perlu melalui proses pusaka supaya kereta tersebut dapat ditukar nama kepada waris atau pembeli.

            Sekiranya juga pemberian tersebut tidak memenuhi rukun dan syarat hibah, maka harta tersebut akan jadi pusaka. Bila pusaka, maka pembahagian perlu melalui pembahagian faraid.

            Allahu A’lam.

  4. Assalamualaikum. Macam kes saya arwah ada kereta berusia 22 tahun, 1/3 akan ke baitulmal, maksudnya saya kena bayar cash pada baitulmal ke?

    1. Waalaikumussalam,

      Pertama sekali, saya tak boleh nak jawab direct soalan ini sebelum saya tahu fakta kes.

      Secara general berkaitan dengan baitulmal ni, kena tanya pihak majlis agama juga.

      Cuma, dalam pendekatan ilmu faraid, kita ada beberapa option. Saya tak jelaskan di sini.

      Allahu A’lam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top