
Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Pendahuluan
Dalam masyarakat kita, isu tanah pusaka sering kali menjadi sumber konflik dan kekeliruan. Ramai waris tidak tahu cara yang betul untuk membahagikan tanah selepas kematian pemilik asal, sehingga ada harta yang terbiar bertahun-tahun tanpa diurus, atau lebih parah menjadi punca perbalahan keluarga.
Hakikatnya, pembahagian tanah pusaka perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang sivil dan Syariah.
Artikel ini akan menghuraikan secara terperinci proses pembahagian tanah pusaka di Malaysia, khususnya bagi umat Islam, supaya waris dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan tertib dan adil.
Memahami Status Tanah & Pemilikan
Langkah pertama dalam urusan pembahagian pusaka ialah memahami jenis pemilikan dan status tanah tersebut.
Sesebuah tanah yang didaftarkan atas nama si mati mungkin mempunyai geran individu, geran kongsi (bernama dua orang atau lebih) atau mungkin belum mempunyai geran rasmi tetapi hanya surat perjanjian (sering disebut sebagai “lot lidi”).
Setiap kategori ini memerlukan pendekatan yang berbeza. Jika tanah sudah mempunyai geran rasmi atas nama si mati, proses pentadbiran harta akan lebih mudah.
Namun, jika tanah hanya didokumenkan secara tidak rasmi (contohnya tanah kampung yang diwarisi tanpa geran), maka waris perlu terlebih dahulu menyemak dan mengesahkan status pemilikan melalui Pejabat Tanah.
Kenalpasti Waris & Bahagian Faraid
Seterusnya, semua waris yang berhak mestilah dikenalpasti. Ini termasuk isteri atau suami, ibu bapa, anak-anak dan dalam sesetengah keadaan, adik-beradik atau waris jauh.
Penentuan siapa yang layak mewarisi dan berapa bahagian yang mereka dapat ditentukan berdasarkan hukum Faraid iaitu satu sistem pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan diperincikan oleh para ulama.
Contohnya, jika si mati meninggalkan seorang ibu, seorang isteri dan dua anak (seorang lelaki dan seorang perempuan). Bahagian faraid ibu 1/6, isteri 1/8, manakala bakinya akan dibahagi kepada anak-anak dengan nisbah 2:1 iaitu anak lelaki menerima dua bahagian, manakala anak perempuan menerima satu bahagian.
24 | 3 | 72 | ||
Isteri | 1/8 | 3 | 9 | |
Ibu | 1/6 | 4 | 12 | |
AL | Asobah | 17 | 2 | 34 |
AP | 1 | 17 |
Adalah penting untuk membuat pengiraan faraid yang betul dan dalam kebanyakan kes, waris dinasihatkan mendapatkan khidmat pakar Faraid untuk membuat pengiraan dan pengesahan jumlah bahagian.
Permohonan Pentadbiran Pusaka
Setelah waris dikenal pasti, proses seterusnya ialah memohon pentadbiran pusaka secara rasmi. Di Malaysia, terdapat tiga saluran utama untuk memproses harta pusaka:
- Amanah Raya Berhad – bagi harta alih sahaja yang tidak lebih RM600 ribu.
- Pejabat Pusaka Kecil di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) — bagi harta pusaka yang bernilai RM5 juta ke bawah dan mengandungi hartanah (tanah/rumah).
- Mahkamah Tinggi Sivil — bagi kes yang lebih kompleks seperti harta melebihi RM5 juta atau jika ada pertikaian waris dll.
Manakala Mahkamah Syariah khusus untuk pengesahan bahagian faraid, pengesahan hibah, wasiat atau tuntutan berkaitan waris bawah umur dan pertikaian Syariah bagi membantu pihak pengurusan pusaka di PPK atau MTS mengeluarkan perintah melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Permohonan ini biasanya memerlukan dokumen seperti sijil kematian, salinan geran, kad pengenalan semua waris, surat nikah atau sijil lahir dan borang permohonan rasmi.
Selepas permohonan dibuat, satu sesi Bicara Pusaka akan dijadualkan. Dalam sesi ini, semua waris akan hadir untuk memberikan persetujuan dan mengesahkan pembahagian yang dicadangkan.
Kaedah Pembahagian Tanah Pusaka
Terdapat beberapa cara tanah pusaka boleh dibahagikan, bergantung kepada kesesuaian tanah, jumlah waris dan keputusan bicara:
Pertama, Pecah Bahagian & Pecah Sempadan.
Kaedah ini membolehkan setiap waris menerima bahagian tanah masing-masing secara berasingan dengan geran individu. Namun begitu, ia hanya sesuai jika saiz tanah mencukupi dan menepati syarat minimum pecah sempadan mengikut negeri.
Contohnya di sesetengah negeri, pecahan minimum bagi tanah pertanian ialah 1 ekar, maka pecah sempadan tidak dibenarkan jika bahagian waris lebih kecil dari itu.
Kedua, Menjual Tanah & Membahagi Hasilnya.
Jika pecah sempadan tidak praktikal atau waris tidak bersetuju untuk berkongsi hak milik, mereka boleh bersetuju untuk menjual tanah tersebut. Hasil jualan akan dibahagikan mengikut kiraan faraid. Kaedah ini lebih mudah dari segi pengurusan, tetapi memerlukan kesepakatan semua waris.
Ketiga, Serah Hak Kepada Waris Lain.
Kadangkala, ada waris yang memilih untuk tidak menuntut bahagian mereka dan menyerahkan hak milik kepada waris lain secara sukarela. Ini boleh dilakukan melalui dokumen rasmi serah hak semasa bicara atau mengisi borang DDA jika tidak dapat hadir bicara.
Keempat, Tebus Bahagian (Pampasan Tunai).
Dalam kes tertentu, seorang waris mungkin ingin memiliki keseluruhan tanah dan bersedia membayar pampasan kepada waris lain berdasarkan nilai bahagian masing-masing. Ini boleh dilakukan setelah mendapat persetujuan semua pihak dan menilai tanah melalui penilai bertauliah.
Prosedur Akhir: Tukar Nama Geran Tanah
Setelah kaedah pembahagian diputuskan secara rasmi dan semua waris bersetuju, langkah akhir adalah menukar nama pemilik dalam geran tanah. Ini dilakukan di Pejabat Tanah dengan menggunakan dokumen yang dikeluarkan oleh Unit Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi iaitu Perintah Pembahagian.
Jika terdapat lebih dari seorang waris yang dinamakan sebagai pemilik baru, geran akan menunjukkan status “pemilikan bersama”, melainkan mereka telah membuat pecah sempadan.
Sekiranya tanah tersebut ingin dijual, maka waris boleh memilih untuk selesaikan urusan pusaka dan kemudian jual kepada pembeli atau waris mendapatkan perintah jual bagi tujuan tersebut dan masukkan dalam pembicaraan pusaka.
Kesimpulan
Tanah pusaka bukan sekadar aset bernilai, ia adalah amanah yang diwariskan kepada generasi seterusnya. Pembahagian yang adil dan sah di sisi syarak serta undang-undang sivil memastikan keharmonian keluarga terus terpelihara.
Ramai yang terlepas pandang kepentingan melaksanakan proses ini dengan betul, menyebabkan tanah menjadi beku dan waris berdepan kesukaran bertahun-tahun.
Harta Tanah Bukan Sekadar Nilai, Tapi Amanah
Sebagai umat Islam, kita bukan hanya dituntut untuk mencari rezeki yang halal, tetapi juga menguruskan peninggalan kita dengan penuh integriti. Sekiranya anda menghadapi kesukaran dalam memahami prosedur atau ingin mendapatkan nasihat perwarisan, jangan ragu untuk bertanya kepada Abu Nuha.
Allahu A’lam.