fbpx

Cara Pengurusan Pusaka Di Pejabat Pusaka Kecil

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak 2022. Saya juga lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan harta.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang cara pengurusan di pejabat pusaka kecil. Seringkali ditanya tentang proses pusaka terkini, saya ringkaskan kepada tuan puan di dalam poster:

Perjalanan Urusan Pusaka

Rancang Harta & Solusi Pusaka
Langkah Pertama

Tuan puan kumpulkan waris terlebih dahulu untuk membincangkan tentang urusan pusaka. Pada langkah ini sebaiknya telah dikira pengiraan faraid dan diketahui bahagian setiap waris dalam bentuk pecahan.

Langkah pertama ini sangat penting. Harta arwah yang boleh dibincangkan terus pembahagiannya, maka boleh berbuat demikian pada peringkat ini. Sebagai contoh harta yang tidak berdaftar. Itik belakang rumah, basikal bawah garaj, baju dalam almari dan sebagainya.

Langkah Kedua

Langkah ini pula adalah kesinambungan daripada langkah pertama yang harta yang berdaftar perlu melalui urusan pusaka. Waris perlu berbincang untuk melantik seorang pentadbir bagi urusan ini.

Sikap, ilmu, masa dan kewangan pentadbir adalah tunjang bagi urusan ini. Jika tidak pentadbir tidak berkelayakkan, maka akan timbul masalah pada hari mendatang. Selesai langkah ini, jom langkah seterusnya.

Langkah Ketiga

Langkah ini pentadbir hendaklah mengumpul semua dokumen yang berkaitan dengan harta arwah, dokumen waris dan sebagainya. Langkah ketiga adalah antara yang mencabar. Lebih-lebih lagi jika ada waris yang jauh atau ada waris yang tidak memberikan kerjasama yang baik.

Langkah ini pentadbir perlu pastikan dokumen lengkap:

1. Isi lengkap Borang A.

2. Salinan surat mati.

3. Salinan kad pengenalan si mati dan waris.

4. Salinan sijil perkahwinan.

5. Salinan geran, hak milik harta dan sebagainya.

6. Carian rasmi hartanah.

Tuan puan boleh rujuk poster untuk dokumen tambahan.

Langkah Keempat

Setelah memenuhi segala dokumen yang diperlukan, permohonan Borang A dihantar kepada pihak Pejabat Pusaka Kecil. Ada tempat yang menggunakan sistem online dan ada yang masih menggunakan sistem offline. Jadi tuan puan rujuk kembali pihak Pejabat Pusaka Kecil di mana tempat tuan puan tinggal.

Proses ini dipanggil pengfailan kes pusaka.

Langkah Kelima

Harta tuan puan akan melalui proses penilaian (JPPH) dan pendaftaran pusat (bahagian daftar surat kuasa mati). Langkah ini menentukan harta tuan puan boleh dibicarakan di Pusaka Kecil atau akan diangkat ke Mahkamah Tinggi Sivil.

Jika nilai harta bawah RM 5juta, maka proses akan diteruskan di Pejabat Pusaka Kecil. Jikalau lebih RM5 juta, maka kes akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil.

Langkah Keenam

Tuan puan akan dibekalkan tarikh bicara untuk pengeluaran surat kuasa. Waris yang perlu hadir pada hari kejadian. Sekiranya ada waris yang tidak dapat hadir, maka perlu mengisi borang ketidakhadiran bicara iaitu borang DDA.

Ramai orang silap faham dengan borang ini sehinggakan takut untuk mengisi borang tatkala tidak mampu hadir bicara. Hal ini menyebabkan kes tidak dapat diteruskan. Borang DDA adalah borang ketidakhadiran bicara. Keputusan tuan puan akan ditanyakan di dalam borang tersebut untuk muafakat, melepaskan hak ataupun mengikut faraid.

Ingat! jangan tinggal kosong untuk waris lain isi keputusan tuan puan. Isi sahaja borang DDA sepenuhnya dan letakkan keputusan tuan puan.

Langkah Ketujuh

Langkah ini semua waris hadir pembicaraan di Pejabat Pusaka Kecil. Surat kuasa mentadbir dan pentadbir dilantik secara rasmi. Perintah pembahagian juga diberikan pada peringkat ini.

Oleh itu, perlunya kata sepakat antara waris sebelum bicara untuk memudahkan pengurusan pusaka.

Langkah Kelapan

Pentadbir akan bawa surat kuasa mentadbir ke tempat institusi berkaitan untuk cairkan harta-harta arwah. Langkah ini pentadbir akan pastikan harta tersebut sampai kepada waris-waris dan ditukar kepada nama mereka.

Kebijaksaan waris dalam pembahagian ini perlu kepada ilmu faraid supaya tidak berlaku kesilapan. Perlu rujuk pakar jika tidak mahir.

Langkah Kesembilan

Jika ada harta yang tertinggal atau ingin menukar pentadbir, maka perlu lalui proses bicara semula. Maka perintah baru akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Kesimpulan

Pengurusan pusaka perlu kepada langkah yang betul supaya urusan pusaka dapat diselesaikan dengan cara yang betul. Pentadbir perlukan ilmu dalam mengurus harta pusaka. Kesilapan dalam pembahagian pusaka boleh menyebabkan waris makan harta secara batil. Oleh itu, semoga perkongsian kali ini memudahakan dan memberi pencerahan kepada pembaca.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

1 thought on “Cara Pengurusan Pusaka Di Pejabat Pusaka Kecil”

  1. Siti Amirah Al-Hassan

    Banyak juga langkah yang perlu dibuat. Langkah pertama pun sukar nak lepas.

    Terima kasih Solusi Pusaka atas perkongsian ilmu yang bermanfaat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?