Hukum Minta Kembali Pelepasan Hak Pusaka

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasa syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan harta umat Islam.

Isi Kandungan

Persoalan

Assalamualaikum Abu Nuha,

Beberapa tahun lepas kakak saya ada lepaskan hak kepada abang saya dan saya. Sekarang dia minta kembali hak pusaka tersebut.

Apakah hukum minta kembali hak pusaka selepas setuju dengan pembahagian tersebut?

Jawapan

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Terima kasih kerana sudi bertanya mengenai isu yang sangat penting ini. Situasi seperti ini kerap berlaku dalam masyarakat kita ketika hubungan baik, semuanya berjalan lancar. Namun, apabila timbul perselisihan atau konflik, mulalah perkara yang sudah disepakati dahulu diungkit semula.

Untuk menjawab persoalan ini, mari kita lihat dua situasi yang sering berlaku:

Situasi PertamaMelepaskan Hak Dengan Sedar & Sukarela

Kakak telah diberitahu dengan jelas mengenai bahagian faraidnya dan nilai sebenar harta yang sepatutnya diterima. Dalam keadaan baligh, berakal, tanpa paksaan, beliau secara sukarela melepaskan hak tersebut kepada abang atau waris lain sama ada dengan akad hibah, takharuj atau pengakuan bertulis.

Hukum: Dalam situasi ini, haram hukumnya untuk kakak menuntut semula hak tersebut setelah diberi dan disepakati. Ini berdasarkan larangan Nabi SAW terhadap individu yang meminta kembali pemberian yang telah dibuat.

Dalil Hadith:

“العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ”
Maksudnya: “Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.”
— Riwayat al-Bukhari (2621)

“لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ”
Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”
— Riwayat al-Bukhari (2622)

Imam Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i:

“فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة…”
Maksudnya: Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah atau hadiah yang telah diberikan. Ia adalah perbuatan yang buruk dan tidak selaras dengan akhlak seorang Muslim.
— (Jilid 3, ms. 184)

Situasi Kedua – Melepaskan Hak Tanpa Ilmu & Paksaan

Dalam situasi ini, kakak tidak dimaklumkan tentang bahagian faraidnya dengan jelas, atau hanya diberi gambaran seolah-olah nilainya kecil. Sebagai contohnya dengan berkata, “sikit je bahagian kak” sehingga mendorongnya untuk melepaskan hak. Bahkan ada yang dipengaruhi secara halus atau kasar dan lebih parah jika kakak tersebut belum cukup umur, tidak waras atau mengalami gangguan emosi.

Hukum: Dalam keadaan ini, harus untuk kakak menuntut kembali hak pusaka tersebut kerana berlaku unsur penipuan, kejahilan atau paksaan yang menafikan kerelaannya.

Dalil al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil.”
— Surah al-Baqarah: 188

Penutup

Semoga penjelasan ini membantu menjawab persoalan yang diajukan. Dalam Islam, prinsip keadilan dan kerelaan tanpa paksaan adalah asas dalam pembahagian pusaka. Setiap waris berhak mengetahui dan memahami bahagian mereka sebelum membuat sebarang keputusan.

Jika anda sedang menghadapi isu yang sama atau ingin merancang harta pusaka anda dengan cara yang teratur dan patuh syariah, saya sedia membantu.

Allahu A‘lam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

2 thoughts on “Hukum Minta Kembali Pelepasan Hak Pusaka”

  1. Saya nak tanya, bapa mertua dan ibu mertua telah melepaskan hak faraidh mereka dari anak lelaki yang telah meninggal dunia. Cuma secara lisan, bapa mertua ada jelaskan bahagian yang dilepaskan adalah untuk kegunaan pelajaran dan perkahwinan cucunya seramai 3 orang. Baru-baru ini, balu isteri maklumkan akan berkahwin lagi. Anak-anak meminta untuk dihibahkan rumah untuk mengelakkan harta ini jatuh kepada bakal suami dan anak-anaknya. Niat utama hibah adalah begitu. Tapi menurut ibunya, anak-anak telah tamakkan harta walaupun ibu masih hidup. Bermula situasi mengungkit perbelanjaan deposit kereta, perbelanjaan harian rumah terhadap anak-anak termasuk seorg yg masih belajar. Dalam situasi ini, telah jelas bahagian faraidh yang dilepaskan tidak digunakan ke arah tujuan yg di maklumkan sewaktu melepaskan bahagian faraidh tersebut. Bolehkan bapa & ibu mertua menuntut semula untuk tujuan.yang sebenar kerana berlaku tidak amanah di situ?

    1. Secara prinsipnya, hak faraid yang telah ditolak (tanazul) atau dihibahkan oleh datuk dan nenek kepada cucu boleh dituntut semula hanya apabila:

      Penolakan/hibah itu belum dilaksanakan secara sah – tiada dokumen bertulis, tiada pengesahan Mahkamah Syariah/Pusaka Kecil atau belum berlaku pindah milik hartanah.

      Hibah daripada datuk/nenek kepada cucu berada dalam pengecualian yang dibenarkan ditarik balik mengikut fatwa (misalnya Fatwa Selangor 6 Ogos 2019) dengan syarat-syarat tertentu – harta masih milik cucu, belum dijual, tiada balasan (‘iwad) dan penarikan balik dibuat melalui Mahkamah Syariah.

      Wujud elemen ketidakamanahan, salah guna atau pelanggaran syarat yang boleh dibuktikan, contohnya dana pendidikan/perkahwinan tidak digunakan sebagaimana tujuan asal.

      Di luar keadaan di atas, penarikan balik akan sukar, kerana tanazul dianggap sedekah/hibah yang muktamad, manakala pindah milik yang telah sempurna dilindungi oleh Kanun Tanah Negara dan doktrin finality Mahkamah Syariah/Civil.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top