
Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Penjelasan
Isu berkaitan emas sering menjadi polemik dalam masyarakat, terutama apabila emas pusaka dianggap sebagai hak eksklusif waris wanita. Ramai yang beranggapan bahawa emas hanya boleh dipakai oleh wanita, tetapi hakikatnya, emas tetap dikategorikan sebagai harta pusaka dan tertakluk kepada hukum faraid. Apa yang diutarakan oleh Ustaz Lariba adalah tepat.

Dalam Islam, harta ialah segala sesuatu yang menjadi milik seseorang semasa hidup, dan apabila berlaku kematian, ia bertukar menjadi pusaka. Oleh itu, sebarang harta yang ditinggalkan si mati wajib diuruskan mengikut hukum pusaka Islam.
Jangan hanya melihat faraid sebagai sekadar pembahagian 1/2, 1/3 dan seterusnya kepada waris. Sebaliknya, faraid mencakupi seluruh aspek pengurusan harta pusaka, termasuk kos pengurusan jenazah, penyelesaian hutang, dan pengagihan harta mengikut hukum syarak. Ia adalah perintah Allah yang wajib dilaksanakan oleh waris yang masih hidup.
Emas pusaka juga termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagihkan berdasarkan faraid. Walaupun lelaki diharamkan memakai emas, mereka tidak diharamkan untuk memiliki emas. Oleh itu, tindakan sesetengah waris yang menganggap emas sebagai hak mutlak mereka adalah tidak benar.
Isu Pinjam Emas
“Mak bagi saya guna sebelum dia meninggal lagi”.
Seseorang yang diberi keizinan oleh arwah untuk memakai emas semasa hidupnya tidak bermakna ia menjadi hak milik peminjam selepas kematian. Emas tersebut tetap dikira sebagai harta pusaka dan mesti dikembalikan kepada pengurusan pusaka. Waris lain juga mempunyai hak terhadap emas tersebut.
Isu Wasiat Emas
“Nanti mak tiada nanti, adik ambillah emas ini.”
Sering kali, ibu bapa berpesan kepada anak tertentu supaya mengambil emas selepas kematian mereka. Namun, apabila pemberian tersebut diikat dengan kematian, ia dikategorikan sebagai wasiat. Menurut hukum Islam, wasiat kepada waris tidak sah kecuali mendapat persetujuan semua waris lain. Jika ada waris yang tidak bersetuju, wasiat itu terbatal dan emas tersebut perlu diagihkan mengikut faraid.
Untuk mengelakkan pertikaian, ibu bapa digalakkan menggunakan hibah jika ingin menghadiahkan emas kepada anak tertentu.
Isu Hibah Emas
“Mak hibahkan gelang ini kepada adik”
Hibah adalah pemberian secara sukarela dan berlaku semasa pemberi masih hidup. Jika seorang ibu telah menghibahkan emasnya kepada anak sebelum meninggal dunia dan proses pemindahan milik dilakukan, maka emas tersebut menjadi hak milik penerima dan tidak lagi dianggap sebagai harta pusaka. Waris lain tidak berhak menuntutnya.

Dalam kes berikut, si ayah, suami dan anak lelaki mempunyai bahagian daripada emas pusaka. Mereka haram memakainya tetapi mereka tidak haram memiliki. Oleh itu, hak mereka wajib diberikan mengikut bahagian masing-masing.
Cara Pembahagian Emas Pusaka Ikut Faraid
Kembali kepada isu bagaimana nak bahagi emas pusaka ini? Benda yang tidak boleh dipecah-pecahkan macam duit. Oleh itu, saya cadangkan beberapa pilihan untuk tuan puan.
Pertama, tuan puan boleh jual emas tersebut dan bahagikan dalam bentuk tunaikan kepada waris yang berhak. Ini paling mudah.
Kedua, jika ada waris yang berminat memiliki emas tersebut dan ada yang tidak berminat tetapi mahukan tunai. Waris yang berminat keluarkan tunai dan berikan hak faraid emas kepada waris yang mahukan tunai.
Contoh mudah, waris kepada si mati adalah seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Mereka dapat secara asobah dengan nisbah 2:1 dan dalam kes ni anak perempuan 1/3 dan anak lelaki 2/3. Jumlah bernilai emas RM9,000.
Hak anak perempuan hanya RM3,000 sahaja. Maka dengan cara kedua ini, anak perempuan boleh memiliki emas tersebut dengan memberikan hak anak lelaki RM6,000.
Ketiga, jika ada waris melepaskan mereka dan berikan kepada waris lain, maka itu tiada masalah.
Sebagai contoh, si mati memiliki seorang anak perempuan dan seorang cucu lelaki daripada anak lelaki. Anak perempuan dapat 1/2 dan cucu lelaki dapat asobah iaitu 1/2.
Cucu tersebut menyatakan hasrat bahawa ia melepaskan hak dan berikan kepada anak perempuan (makciknya), maka emas tersebut menjadi hak milik anak perempuan sepenuhnya.
Kesimpulan
Emas pusaka bukan hak mutlak waris wanita sahaja tetapi ia adalah harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid. Waris lelaki juga berhak ke atas emas tersebut walaupun mereka tidak boleh memakainya. Oleh itu, mengambil emas tanpa persetujuan atau tanpa mengikut hukum yang sah boleh menyebabkan seseorang itu memakan harta secara batil.
Islam sangat menekankan keadilan dalam pembahagian harta pusaka. Semoga kita semua dapat menguruskan harta pusaka dengan amanah dan berlandaskan hukum Allah agar tidak timbul pertikaian di kalangan waris. Wallahu a‘lam.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.