
Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Latar Belakang Kes
- Si A ialah seorang wanita yang mempunyai anak B dan C dari suami pertama.
- Si A berkahwin kali kedua dan mendapat anak D dan E.
- Suami kedua meninggal dunia dan dia sempat memberi sebahagian tanah kepada A semasa hidup.
- Anak D dan E telah meninggal dunia lebih awal daripada A, namun mereka masing-masing ada anak-anak (cucu kepada A).
- Sekarang A telah meninggal dunia.
- Soalan: Siapa yang berhak ke atas tanah yang dimiliki A selepas kematiannya?
Analisis Mengikut Hukum Faraid
Pertama, harta yang menjadi milik penuh si A.
- Tanah tersebut adalah milik sah A kerana telah diberi oleh suami semasa hayatnya. Jadi, ia menjadi sebahagian daripada pusaka A, bukan milik suami.
- Maka, tanah itu akan dibahagikan kepada waris A selepas kematiannya.
Kedua, siapa waris A yang masih hidup?
Jadi, kita perlu lihat siapa waris A yang masih hidup ketika A meninggal dunia. Dalam kes ini:
Waris | Status |
---|---|
B & C (anak suami pertama) | Masih hidup |
D & E | Sudah meninggal sebelum A |
Anak-anak D & E (cucu) | Masih hidup |
Dalam hukum faraid, cucu lelaki atau perempuan dari anak yang telah meninggal tidak menggantikan tempat ayah/ibu mereka sekiranya ada anak kandung si mati yang masih hidup.
B dan C adalah anak kandung A yang masih hidup.
Anak-anak D dan E adalah cucu dari anak yang telah meninggal.
Persoalan yang belum terjawab, adakah B & C adalah anak lelaki sahaja, anak perempuan sahaja atau kedua-dua?
Ketiga, cucu D & E tidak mewarisi sekiranya wujud anak lelaki kandung atau kedua-dua adalah anak perempuan (B & C) yang mana situasi (D & E) adalah cucu perempuan (berbeza jika wujud cucu lelaki yang mengasobahkan cucu perempuan).
Dalam fakta kes juga tidak menyatakan cucu tersebut daripada anak lelaki atau daripada anak perempuan. Jika cucu daripada anak perempuan, mereka bukan waris. Jika mereka cucu daripada anak lelaki, maka mereka adalah waris. Cuma perlu lihat situasi adakah mereka terdinding dengan kewujudan waris yang lebih utama.
Dalam kes wujudnya anak lelaki kandung A, cucu (anak kepada D & E) tidak mendapat hak faraid kerana:
- Mereka dihalang (mahjub) oleh anak-anak A yang masih hidup iaitu B dan C.
Prinsip hajb (penghalang) dalam faraid:
“Cucu tidak mewarisi selagi ada anak kandung lelaki yang masih hidup.”
Pembahagian
Selepas kematian A, tanah milik A akan dibahagikan kepada anak-anak kandung yang masih hidup sahaja, iaitu:
- B (anak lelaki) → dapat 2 bahagian
- C (anak perempuan) → dapat 1 bahagian
Ini berdasarkan maklumat yang diberikan, sekiranya ada waris lain seperti ibu, ayah dll, maka mereka akan dapat hak.
Cucu-cucu daripada D & E tidak mendapat bahagian faraid, melainkan ada wasiat atau hibah semasa hayat A.
Nasihat Tambahan
- Jika A berniat memberikan bahagian kepada cucu, A boleh lakukan hibah semasa hidup.
- Tanpa dokumen rasmi seperti hibah atau wasiat, pembahagian tetap berdasarkan faraid dan cucu bukan waris jika dihalang oleh anak kandung.
Penutup
Hukum faraid menjaga hak waris yang masih hidup dan berhak. Dalam kes ini, walaupun cucu sangat rapat hubungannya dengan si mati, mereka tidak tergolong sebagai waris secara langsung jika ada anak kandung yang masih hidup.
Jika tuan/puan berada dalam situasi sebegini dan ingin memastikan cucu atau pihak tertentu mendapat bahagian, perancangan awal seperti hibah atau wasiat sangat digalakkan.