Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad, sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Table of Contents
Persoalan
Saya ditanya oleh rakan berkaitan dengan situasi di mana berlaku kematian kepada ayahnya dan harta tersebut dibahagikan kepada waris. Cuma isu yang berbangkit ialah salah seorang waris berhutang dengan waris lain.
Sebagai contoh, arwah meninggalkan harta RM10,000 dan hanya memiliki 2 orang anak lelaki. Bahagian mereka adalah 1/2 iaitu RM5,000 seorang. Sementara itu, anak lelaki pertama berhutang dengan anak lelaki kedua sebanyak RM5,000.
Apakah hukum sekiranya pemiutang (anak lelaki kedua) terus mengambil haknya daripada bahagian waris penghutang (anak lelaki pertama)? Adakah dibolehkan atau pun tidak?
Jawapan
Untuk menjawab soalan ini, saya ingin bahagikan kepada beberapa bahagian.
Yang pertama ialah pemiutang mengambil bahagian dengan izin dan persetujuan penghutang. Hal ini dibenarkan syarak disebabkan persetujuan bersama dan tidak timbul perselisihan. Bahkan ada satu hadith menyarankan supaya penghutang menyelesaikan hutang jika mampu. Jika menangguhnya, ia merupakan satu kezaliman.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ
Maksudnya: “Menangguh pembayaran hutang bagi orang yang mampu ialah satu kezaliman.” – Sahih al-Bukhari (2287).
Yang kedua ialah pemiutang mengambil bahagian secara paksa atau tanpa izin. Maka hal ini ada perincian sepertimana berikut:
Isu ini dikenali di kalangan ulama sebagai “al-ẓafr” (hak mengambil secara sembunyi), iaitu apabila seseorang dizalimi dengan diambil hartanya, lalu orang yang dizalimi tersebut menemui harta milik penzalim itu.
Dalam kes di atas, penghutang tidak membayar hutang, lalu pemiutang menemui harta milik penghutang daripada harta warisan.
Apakah pemiutang boleh mengambilnya tanpa izin atau pengetahuannya sebagai cara mendapatkan kembali haknya?
Mazhab Maliki dan Syafi’i membenarkan hal ini.
Dalam kitab Minḥ al-Jalīl Sharḥ Mukhtaṣar Khalīl (8/550), disebutkan:
“Jika seseorang mempunyai hak pada orang lain, dan dia tidak mampu mendapatkannya melalui cara sah kerana kekurangan bukti serta adanya penolakan oleh orang tersebut, dan dia boleh mengambil barang milik orang tersebut secara rahsia, maka dia boleh mengambilnya, sama ada orang yang berhutang mengetahui atau tidak.”
Imam Syafi’i rahimahullah berkata:
“Sunnah Rasulullah ﷺ serta ijmak kebanyakan ulama yang saya pelajari menyatakan bahawa sesiapa yang mempunyai hak terhadap orang lain, dan hak tersebut dinafikan daripadanya, maka dia boleh mengambil haknya itu.” (Al-Umm, 6/267–268)
Dalam Mausū‘ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (29/160–163):
Para ulama berselisih pendapat tentang hak “al-ẓafr” dalam tuntutan hak yang tidak dilunaskan. Ada yang membenarkannya dan ada yang melarang. Mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafi’i membenarkan pengambilan hak tanpa tuntutan atau hukum dalam situasi tertentu dan dengan syarat-syarat khusus…
Mazhab Maliki berpendapat bahawa sesiapa yang mempunyai hak terhadap orang lain yang enggan melunaskannya, maka dia boleh mengambil daripada harta penghutang sejumlah haknya. Jika harta itu sejenis dengan haknya, atau bahkan daripada jenis lain, mengikut pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki.
Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa sesiapa yang berhak atas hutang yang dinafikan olehnya dan tidak ada bukti, maka dia boleh mengambil haknya daripada harta penghutang atau orang yang berhutang jika menemukannya, kerana tidak ada cara lain selain ini. Bahkan dia boleh mengambil daripada jenis harta lain jika tidak ada pilihan, atas dasar keperluan.
Dalil mereka berdasarkan umum nas yang membenarkan tindakan balas kepada orang yang menzalimi dengan setara kezaliman tersebut, seperti firman Allah:
“Bulan Haram dengan bulan Haram, dan (terhadap) sesuatu yang patut dihormati, berlaku hukum qisas. Maka barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadapmu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah bersama orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah, 2:194)
Imam Qurṭubi berkata:
“(وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ) merujuk kepada kesetaraan. Golongan yang berpendapat bahawa ayat ini meliputi kezaliman dalam harta atau kecederaan. Mereka mengatakan bahwa seseorang boleh membalas kezaliman tersebut jika tidak ada cara lain dan dengan syarat ia tidak berlebih-lebihan.”
Selain itu, firman Allah dalam Surah An-Naḥl, ayat 126:
“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.”
Kesimpulan
Pendapat yang kuat dalam perkara ini ialah dibenarkan bagi orang yang pemiutang untuk mengambil haknya daripada harta orang penghutang dalam jumlah yang setara dengan haknya, dengan syarat ia tidak melebihi hak tersebut. Sekiranya harta yang didapati tersebut kurang daripada jumlah hutang tersebut, maka pemiutang boleh mengambilnya semua.
Apapun, sebaiknya pemiutang dan penghutang berbincang untuk dapatkan keputusan yang “win-win situation” kepada kedua-dua pihak lebih-lebih lagi jika hutang yang berlaku masih dalam tempoh bayaran bertangguh sehingga tarikh yang dipersetujui bersama untuk mengelakkan mudharat kepada mana-mana pihak.
Penutup
Alhamdulillah, maka berakhirlah perkongsian daripada saya. Semoga bermanfaat kepada semua. Jika tuan puan ada persoalan tentang pewarisan, maka bolehlah komen di bawah sana. Allahu A’lam.