Tanah Usaha Arwah Atuk: Pusaka Atau Hak Milik Baru?

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi kandungan

Pendahuluan

Ada satu persoalan yang sering timbul dalam kalangan waris: bagaimana status tanah yang dahulu diusahakan oleh orang tua kita — adakah ia dikira harta pusaka atau telah menjadi milik baru seseorang yang mengurus permohonan rasmi ke atas tanah tersebut?

Mari kita teliti satu kes yang biasa berlaku di kampung-kampung dan kawasan luar bandar.

Latar Cerita Waris

Menurut cerita waris, suatu ketika dahulu, arwah atuk pernah membuka dan mengusahakan sebidang tanah di kawasan Gerik, Perak. Pada zaman itu (sekitar 1970–1980an) adalah perkara biasa bagi sesiapa yang ‘membuka’ tanah dianggap berhak terhadapnya walaupun tiada surat atau geran rasmi dikeluarkan.

Selepas pemergian atuk, seorang anak lelaki (daripada isteri pertama) pergi ke pejabat tanah dan menguruskan permohonan secara rasmi. Maka, geran pertama telah dikeluarkan atas nama anak tersebut.

Kini pada tahun 2025, seorang anak lelaki lain (anak daripada isteri kedua) tampil dan memaklumkan bahawa ayahnya pernah berpesan kepada ibu mereka bahawa tanah itu — yang dahulu diusahakan atuk — hendak diberikan kepada beliau dan dua adiknya yang lain.

Maka timbullah dua persoalan penting:

Persoalan Pertama

Adakah logik dan sah dari segi undang-undang tanah untuk anak terus keluarkan geran atas nama sendiri, sedangkan yang mengusahakan tanah adalah arwah ayah?

Jawapannya: Ya, secara perundangan, memang boleh berlaku.

Ini kerana dalam kes seperti ini, tanah tersebut belum menjadi milik mutlak arwah kerana tiada geran atau dokumen hak milik rasmi yang dikeluarkan atas nama arwah.

Sebaliknya, anak lelaki tersebut telah mengambil inisiatif dengan:

  • Memohon kepada pejabat tanah.
  • Membuktikan bahawa dialah yang menyambung usaha ke atas tanah tersebut.
  • Menunjukkan tiada bantahan dari jiran sekitar.
  • Mendapat sokongan daripada ketua kampung dan disahkan oleh pegawai-pegawai teknikal (contohnya, Juruukur Daerah).
  • Permohonannya diluluskan oleh Pegawai Daerah dan Exco kerajaan negeri.
  • Dan akhirnya beliau membayar premium tanah seperti yang ditetapkan.

Dalam konteks ini, seksyen 340 Kanun Tanah Negara (KTN) memperuntukkan bahawa individu yang mendapat kelulusan secara rasmi dan lengkap terhadap sesuatu tanah akan dikira sebagai pemilik berdaftar yang sah.

Maka secara teknikal dan undang-undangnya, tanah itu bukan lagi dikira milik arwah, sebaliknya ia diperoleh terus oleh anak tersebut melalui permohonan baru.

Persoalan Kedua

Adakah tanah tersebut dikira sebagai harta pusaka arwah atuk?

Jawapannya: Tidak.

Harta pusaka dalam Islam dan undang-undang Malaysia hanya merujuk kepada harta yang telah sah dimiliki oleh si mati sebelum kematiannya iaitu memiliki dokumen hak milik seperti geran.

Dalam kes ini, oleh kerana atuk tidak pernah memiliki geran atau pengiktirafan rasmi ke atas tanah tersebut, maka tanah itu tidak tergolong dalam harta pusaka. Maka, ia tidak boleh dibahagi melalui faraid kepada waris-warisnya.

Sebaliknya, ia kini adalah milik individu (anak) yang telah berjaya mendapatkan kelulusan dan geran secara sah daripada kerajaan negeri.

Kesimpulan

Perkara seperti ini mungkin mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan waris, lebih-lebih lagi apabila terdapat janji lisan yang kononnya dibuat oleh arwah kepada ahli keluarga lain.

Namun, dalam sistem undang-undang tanah dan Syariah, hanya harta yang telah sah dimiliki semasa hayat sahaja boleh dianggap sebagai harta pusaka.

Apa yang penting ialah:

  • Fahami status pemilikan sebenar tanah tersebut,
  • Semak dokumen rasmi dan kronologi permohonan tanah,
  • Rujuk kepada pejabat tanah atau perunding pusaka jika ada kekeliruan.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?