Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh dan sekarang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Kolej Universiti Islam Perlis dalam pengajian Islam. Kajian saya berkaitan dengan hibah. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Pendahuluan
Perkongsian saya kali ini adalah berkaitan dengan drama “Lelaki itu” yang sedang hangat dipertontonkan di TV3 sebanyak 30 episod. Di dalam drama ini sebenarnya banyak isu boleh dibincangkan.
Pertama, isu kekeluargaan dan didikan agama.
Kedua, isu sosial dan kebebasan hidup.
Ketiga, isu pernikahan yang tidak ikut prosider yang betul, isu terkahwin adik beradik sendiri dan gugurkan anak.
Keempat, isu kesihatan khususnya berkaitan dengan tekanan jiwa.
Kelima, isu faraid dan pembahagiannya.
Keenam, ketujuh….
Oleh itu, perkongsian saya kali ini hanyalah untuk membincangkan isu faraid secara terperinci.
Sinopsis
Syed Mirza yang memegang watak “lelaki itu” ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya sehingga aset yang dimiliki sehingga RM12 billion. Sebalik kekayaan yang dimiliki Syed Mirza, ada sudut kekurangan yang mana dia tidak mampu untuk memberikan didikan agama kepada ahli keluarga. Kita boleh tengok bab-bab yang anak dan isteri pertamanya, Qaidah yang hanyut dengan dunia, berkelab malam, minum arak, berikhtilat lelaki perempuan dan sebagainya.
Begitu juga Syed Mirza merasakan kekosangan hidup apabila isterinya Qaidah selalu sibuk dengan kerja, hobi dan kawan-kawan tanpa menunaikan tugas sebagai isteri. Kata-kata Syed Mirza, “Ada tapi tiada” sudah menunjukkan hidupnya kesepian. Setelah kematian Syed Mirza, maka muncullah kejutan di mana Syed Mirza ada mengahwini secara senyap isteri kedua dan isteri ketiga.
Maka, bermulalah konflik di dalam pembahagian pusaka di mana Imani muncul sebagai isteri menuntut hak faraid yang awalnya hanyalah sebagai pekerja di syarikat Syed Mirza. Qaidah merasakan harta itu adalah kepunyaannya dan tidak mahu diberikan kepada waris lain. Hubungan Imani dan Qaidah awalnya seperti adik beradik, akhirnya cetusan gunung berapi meletup antara mereka.
Setelah itu, muncul lagi bab-bab yang memecahkan rahsia bahawa Syed Mirza pernah mengahwini seorang wanita bernama Sarina dan ditinggalkan sehingga kematiannya. Khai, anak lelaki Sarina telah terkahwin dengan adiknya sendiri iaitu Bastrisya. Saat ini, bab-bab di mana Bastrisya dikurung oleh ibunya Qaidah. Tekanan jiwa Batrisya akhirnya diakhiri dengan kematian dirogol oleh mat rempit.
Episod akhir yang memberikan mesej yang baik di mana Qaidah cuba mempelajari agama dan bersetuju untuk bahagikan harta ikut faraid. Khai dan Imani melepaskan hak mereka dan diberikan kepada masjid dan juga badan kebajikan. Ini menunjukkan mereka bukan memperjuangkan harta tetapi maruah mereka sebagai waris kepada Syed Mirza.
Pengiraan Faraid
Sekiranya tuan puan lihat episod akhir, keputusan hakim hanya setakat kubur pertama sahaja di mana pengiraan untuk Arwah Syed Mirza, sedangkan berlaku kematian waris yang mana perlu kepada pengiraan kematian berlapis iaitu munasahkat. Sepatutnya keputusan hakim perlu dikira sehingga kubur kedua, dan bahagian waris seperti berikut: Qaidah (6/96), Sarina (4/96), Imani (4/96), Khai (25/96), Marsa (25/96), Bainah (16/96) dan Bahiya (16/96). Ini bermakna bahagian Batrisya akan pergi ke waris-warisnya seperti di dalam poster.
Cuba kita lihat bahagian isteri yang mana mereka berkongsi 1/8 antara 3 orang, tidak kira siapa yang lama berkahwin atau tidak, pembahagian 1/8 dibahagi sama rata. Itulah ketentuan Allah kepada para isteri. Sedikit? Saya telah terangkan pada perkongsian lalu, jom baca di sini. Allah berfirman:
فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم
Bermaksud: “Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan…” – Surah An-Nisa’, Ayat 12.
Bahagian anak pula pembahagian secara asobah dengan nisbah 2:1 yang mana anak lelaki lebih 2 kali ganda daripada anak perempuan. Disebut di dalam Al-Quran, Allah berfirman:
يُوصِيكُمُ اللهُ فِي أَوْلٰدِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ
Bermaksud: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan….” – Surah An-Nisa’, Ayat 11.
Peringatan penting, apabila hendak tentukan waris di mana kita perlu lihat hubungan si mati dengan waris bukannya hubungan sesama waris untuk menentukan bahagian. Contoh, hubungan Syed Mirza dengan Khai adalah anak lelaki, jadi kita perlu letak bahagian sebagai anak lelaki bukan adik-beradik sebapa jika disandarkan kepada Bahiya dan Bainah.
Persoalan
1) Apakah syarat kepada pewarisan?
Jawabnya: (1) Matinya pemilik harta. (2) Hidupnya waris ketika kematian pemilik harta. (3) Wujudnya harta. Oleh itu, persoalan ini menjawab mengapa bahagian Batrisya diwarisi oleh waris-waris. Hal ini kerana Batrisya layak mewarisi harta ayahnya. Namun, belum sempat dibahagikan, maka harta tersebut perlu diwarisi oleh warisnya pula dengan pengiraan munasakhat.
2) Apakah sebab kepada pewarisan?
Jawabnya: (1) Perkahwinan. (2) Keturunan. (3) Wala’. Oleh itu, persoalan ini menjawab mengapa Imani dan Sarina juga boleh mewarisi harta Syed Mirza walaupun pernikahan mereka secara senyap. Khai juga dapat mewarisi ayahnya setelah mengetahui asal keturunannya iaitu Syed Mirza sebagai ayah.
Kesilapan
Pertama, saya ada naikkan isu kesilapan skrip pada episod 12 minit ke 30:24 yang menyebut, “Kalau ada harta yang diwasiat, tak perlu difaraidkan”. Hal ini adalah silap di mana wasiat tidak boleh mengantikan faraid. Begitu juga hibah tidak boleh gantikan faraid (tekan sini). Wasiat ada hukum hakam tersendiri yang mana ia terpakai kepada bukan waris dan tidak melebihi 1/3 harta.
Jika wasiat kepada waris, bagaimana? Panjang lebar saya terangkan diperkongsian lalu. Jemput baca di sini.
Yang kedua, penambahbaikkan pada episod akhir di mana hakim hanya membuat pengiraan selapis sahaja. Sepatutnya pengiraan kematian berlapis dipamerkan supaya memberi kesedaran kepada masyarakat tentang wujudnya pengiraan kematian berlapis.
Kebarangkalian wujud orang yang membuat kesimpulan bahawa bahagian Batrisya tiada. Padahal bahagiannya tetap ada tetapi dibahagikan kepada waris-warisnya pula.
Pengajaran
Pertama, perbuatan Syed Mirza berkahwin secara sembunyi menyebabkan konflik dan isu yang serius iaitu perebutan harta dan perkahwinan sesama adik beradik.
Kedua, perkahwinan yang tidak ikut prosedur yang betul akan menyebabkan masalah yang isteri dan anak-anak. Ini boleh dilihat Imani terpaksa mengesahkan perkahwinan dengan Syed Mirza. Begitu juga Khai dibinkan Abdullah disebabkan Sarina tidak dapat pengesahan perkahwinan semasa lahirkan Khai.
Ketiga, suami atau isteri perlu segerakan pengesahan perkahwinan jika berkahwin di luar negara atau nikah kampung supaya hak-hak isteri dapat dilindungi.
Keempat, pengabaian Syed Mirza terhadap Sarina dan Khai perlu dielakkan. Nafkah zahir dan batin kepada kedua-duanya adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan.
Kelima, menuntut hak bukanlah bermakna “gila harta”. Yang “gila harta” sebenar ialah mereka yang mengambil hak yang bukan haknya.
Keenam, keinsafan Qaidah pada episod akhir patut dipuji di mana dia merendahkan egonya dan menyerahkan hak faraid kepada yang sepatutnya.
Ketujuh, perbuatan Khai dan Imani menunjukkan hati murni mereka bahawa bukan harta yang mereka inginkan, tetapi maruah mereka sebagai waris.
Kelapan, Syed Mirza sepatutnya membuat perancangan harta semasa hidupnya untuk mengelakkan isu perebutan harta sepertimana yang kita lihat.
Penutup
Alhamdulillah, berakhirlah komentar saya berkenaan drama “Lelaki itu”. Semoga kita yang masih bernyawa ini dapat mengelak kesilapan yang dibuat oleh Syed Mirza. Kalau nak kahwin dua, tiga, maka buatlah secara proper dan berikan hak yang sepatutnya. Apapun, semoga perkongisan kali ini bermanfaat. Jika ada sebarang persoalan tentang pewarisan, tuan puan boleh hubungi Abu Nuha (+6014-5241281).