Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Seringkali saya ditanya tentang cara pembahagian pusaka bagi kanak-kanak bawah umur, kesempatan ini saya ingin berkongsi tentang hal ini secara terperinci. Pertama sekali, tuan puan kena mengetahui bahawa kanak-kanak bawah umur termasuk dalam kategori golongan “safih” iaitu orang yang tidak mampu menguruskan harta.
Oleh kerana mereka tergolong golongan safih, maka harta mereka akan dipegang oleh penjaga harta. Sepertimana yang diterangkan oleh Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1992:
Seksyen 94. Orang yang berhak kepada penjagaan.
(1) Sungguhpun hak terhadap hadanah atau penjagaan anak mungkin terletakhak pada seseorang lain, bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri, dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada salah seorang daripada yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu-
(a) datuk lelaki di sebelah bapa;
(b) wasi yang dilantik menurut wasiat bapa;
(c) wasi kepada wasi bapa;
(d) wasi datuk lelaki di sebelah bapa;
(e) wasi kepada wasi datuk di sebelah bapa,
dengan syarat bahawa dia adalah seorang Islam, seorang dewasa, adalah siuman, dan boleh dipercayai.
(2) Bapa hendaklah mempunyai, pada setiap masa, kuasa yang terbesar untuk membuat, melalui wasiat, pemindahan sebagaimana yang difikirkan paling sesuai sehubungan dengan penjagaan anak-anaknya yang belum dewasa dan pemeliharaan kepentingan mereka, dengan syarat bahawa dia adalah berkuasa penuh ke atas seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.
(3) Subseksyen (1) tidaklah terpakai jika had-had dan syarat-syarat bagi suratcara yang meletakkan harta pada kanak-kanak dengan nyata tidak membenarkan orang yang tersebut di dalamnya daripada menjalankan apa-apa penjagaan ke atas harta itu, dan dalam hal yang demikian Mahkamah hendaklah melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.
(4) Bagi maksud penjagaan ke atas diri dan harta, seseorang hendaklah disifatkan sebagai kanak-kanak melainkan dia telah genap umur lapan belas tahun.
(5) Walau apapun peruntukan-peruntukan di atas, kebajikan anak hendaklah diutamakan dalam menentukan penjagaan kanak-kanak dan hartanya.
Oleh sebab itu, sekiranya berlaku kematian kepada bapa, maka harta akan diberikan kepada pemegang amanah atau penjaga harta. Harta tersebut perlu diurus dan dijaga dengan betul. Penyalahgunaan harta pusaka salah disisi undang-undang dan juga di sisi agama. Bahkan Islam ancam dengan api neraka bagi mereka yang makan harta anak yatim secara zalim. Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan dimasukkan ke dalam api neraka yang menyala-nyala”. [al-Nisa’:10]
Oleh itu, apabila melibatkan harta pusaka anak yatim, maka penjaga harta atau pemegang amanah perlu tahu tentang hak-hak pusaka anak yatim tersebut.
Pembahagian Harta Yang Tidak Berdaftar
Maksud harta yang tidak berdaftar ialah harta yang tidak terikat dengan mana-mana undang-undang. Sebagai contoh, jam tangan, alatan memancing, alatan bersukan, koleksi-koleksi mainan atau barangan yang rare, topi keledar, kasut berjenama dan sebagainya. Barang-barang tersebut dikira pusaka dan perlu dibahagikan ikut faraid.
Secara logiknya, anak-anak tidak dapat mengambil manfaat harta itu secara langsung. Cara yang sepatutnya ialah mencairkan aset tersebut dengan menjual kepada pihak ketiga ataupun harta tersebut ditebus oleh waris-waris dewasa yang berminat. Hasil daripada pencairan harta tersebut maka bahagian faraid anak-anak tersebut dijaga oleh penjaga harta.
Selalunya harta dalam kategori tidak berdaftar ialah harta alih.
Pembahagian Harta Yang Berdaftar
Maksud harta yang berdaftar ialah harta yang terikat dengan undang-undang yang ditetapkan. Sebagai contoh, hartanah yang didaftarkan di pejabat tanah, kereta dan kenderaan lain didaftarkan di Jabatan Pengakutan Jalan, akaun bank didaftarkan di bank-bank, dan sebagainya. Oleh sebab harta tersebut berdaftar, maka perlu melalui proses pusaka yang telah ditetapkan.
Ada juga institusi yang memudahkan urusan pusaka dengan membuat penamaan kepada waris atau bukan waris sebagai pemegang amanah dan membahagikan harta tersebut mengikut faraid. Namun begitu, kebanyakkan institusi tidak dapat sistem penamaan bahkan perlu melalui proses pusaka.
Proses pusaka yang perlu dilalui oleh tuan puan ialah sama ada di:
1) Amanah Raya Berhad yang mana ia khusus untuk harta alih sahaja yang kurang daripada RM600,000.
2) Pejabat Pusaka Kecil yang mana ia untuk menguruskan harta alih dan tak alih yang tidak melebihi RM2 juta (akan diubah kepada RM5 juta).
3) Mahkamah Tinggi Sivil yang mana ia untuk menguruskan harta alih sahaja yang melebihi RM600,000 atau harta alih dan tak alih yang melebihi RM2 juta (akan diubah kepada RM5 juta).
Oleh itu, proses pusaka akan dijalankan dan nama-nama waris termasuk anak-anak bawah umur akan dimasukkan. Bahagian anak-anak bawah umur dikekalkan sebagaimana yang ditetapkan faraid kerana mereka tidak boleh membuat keputusan sendiri. Sekiranya waris-waris dewasa lain ingin membuat pembahagian selain daripada faraid, bahagian anak-anak bawah umur dikekalkan.
Selalunya kategori harta ini ialah harta alih (kereta, duit dalam bank dll) dan harta tak alih (hartanah).
Siapakah yang menjaga harta berdaftar bagi kanak-kanak?
Jawapan kepada soalan ini bergantung kepada jenis harta tersebut. Antara penjaga harta ialah:
1) Amanah Raya Berhad.
2) Penjaga harta di sisi syarak seperti enakmen di atas termasuk wasi.
Tambahan lagi, apabila kita merujuk kepada Seksyen 13(2) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) menjelaskan bahawa hakim mempunyai kuasa melantik pemegang amanah ke atas harta kanak-kanak di bawah umur dengan memasukkan kaveat bagi melindungi kepentingan harta tidak alih minor sehingga mencapai umur 18 tahun.
Salah faham masyarakat kita apabila berlaku kematian, harta dijaga oleh isteri secara automatik. Realitinya adalah sebaliknya yang mana ada undang-undang yang telah ditetapkan. Oleh itu, pelantikan wasi bagi penjaga harta kanak-kanak yang selain daripada yang diwartakan. Tuan puan boleh baca lanjut berkenaan kepentingan lantikan wasi. (tekan sini)
Isu-Isu Berbangkit
Waris-waris bersetuju untuk jual hartanah dan salah seorang waris adalah kanak-kanak bawah umur. Bagaimana cara untuk jual hartanah tersebut?
Jawabnya, bahagian kanak-kanak tersebut ditebus hak faraidnya terlebih dahulu dengan menyerahkan kepada pihak Amanah Raya Berhad. Sebelum perintah dikeluarkan, pihak waris perlu bawa resit tebusan pembayaran hak faraid kepada pihak Pejabat Pusaka Kecil untuk mengeluarkan nama kanak-kanak bawah umur dalam pembahagian hartanah tersebut. Kemudian, hartanah turun milik kepada salah seorang waris dan membuat transaksi penjualan hartanah dan bahagikan kepada waris-waris yang berhak.
Cara-cara Pembahagian Pusaka Kanak-Kanak Bawah Umur
Pertama, senarai semua aset si mati.
Kedua, kenalpasti jenis harta sama ada berdaftar atau pun tidak, alih ataupun tak alih dan sebagainya.
Ketiga, urus harta tersebut dan buat pengiraan faraid.
Keempat, harta tersebut diserahkan kepada penjaga harta.
Kelima, harta tersebut diserahkan kepada kanak-kanak tersebut apabila cukup umur dan mampu menjaga harta.
Kesimpulan
Harta pusaka bagi kanak-kanak bawah umur ada undang-undang yang telah ditetapkan. Pembahagian harta tersebut mesti mengikut apa yang telah ditetapkan syarak. Pembahagian selain hak yang ditetapkan syarak tidak dibenarkan sehinggalah kanak-kanak tersebut cukup umur dan mampu membuat keputusan sendiri.
Penutup
Alhamdulillah, berakhirnya perkongsian saya kali ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Sekiranya tuan puan mempunyai hasrat perancangan harta, maka boleh lah berbuat demikian dengan hubungi Abu Nuha (+6014-5241218).