Prosedur Permohonan Perintah Faraid Di Mahkamah Syariah

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Faraid ialah kaedah pembahagian harta pusaka orang Islam yang telah meninggal dunia, berdasarkan hukum syarak. Ia menetapkan bahagian yang sepatutnya diterima oleh setiap waris yang sah.

Untuk pengurusan harta pusaka, adakalanya memerlukan perintah faraid untuk kepastian waris dan bahagian mereka. Oleh itu, artikel ini menjelaskan sedikit maklumat berkaitan hal ini.

Maklumat ini telah dirujuk ahlinya. Apapun, untuk kepastian lanjut, maka tuan puan disyorkan untuk merujuk Mahkamah Syariah untuk maklumat terkini jika ada perubahan.

Jenis Harta Pusaka

Harta pusaka terbahagi kepada dua kategori utama:

Pertama, Harta Tak Alih.

  • Tanah
  • Rumah

Kedua, Harta Alih.

  • Kenderaan
  • Barang kemas
  • Saham
  • Wang simpanan
  • KWSP
  • Lain-lain aset mudah alih

Langkah-Langkah Permohonan Perintah Faraid

Permohonan perakuan faraid dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah di negeri masing-masing. Berikut adalah langkah-langkahnya:

Langkah 1: Dapatkan Borang Permohonan

Waris yang ingin membuat permohonan perlu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan borang permohonan perakuan faraid. Pegawai di kaunter akan memberikan senarai semak dokumen yang perlu disediakan.

Langkah 2: Isi Borang & Sediakan Dokumen

Pemohon (mestilah salah seorang waris yang berhak) perlu:

Pertama, mengisi borang permohonan dengan lengkap.

Kedua, sertakan dokumen berikut:

  • Sijil Kematian Asal dan Salinan.
  • Salinan IC pemohon & waris-waris.
  • Salinan kad pengenalan semua waris (atau dokumen pengenalan diri).
  • Borang A (dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah).
  • Laporan nilaian harta (juga dari Pejabat Tanah Daerah).
  • Salinan dokumen berkaitan harta alih dan tak alih.
  • Jika harta di bawah Amanah Raya Berhad, surat rasmi dari Amanah Raya menyatakan jumlah nilai aset si mati.

Ketiga, bayaran pendaftaran dikenakan bergantung kepada nilai harta pusaka.

Langkah 3: Serahkan Borang & Dokumen ke Mahkamah

Setelah semua dokumen lengkap, serahkan permohonan di kaunter Mahkamah Syariah.

Langkah 4: Terima Tarikh Siasatan

Pihak mahkamah akan memberikan tarikh perbicaraan/siasatan ahli waris. Pemohon perlu hadir bersama dua orang saksi lelaki.

Langkah 5: Siasatan & Keputusan Mahkamah

Pada hari siasatan, semua waris yang hadir akan ditanya tentang status waris dan aset si mati.

Jika tiada pertikaian dan semua dokumen lengkap, keputusan akan diberi terus pada hari yang sama.

Jika terdapat keraguan atau ketidaklengkapan maklumat, mahkamah akan menangguhkan kes dan memberi tarikh lain untuk siasatan lanjutan.

Langkah 6: Ambil Sijil Perakuan Faraid

Setelah keputusan dikeluarkan, pegawai mahkamah akan memaklumkan tarikh untuk mengambil Sijil Perakuan Faraid. Sijil ini diperlukan untuk langkah seterusnya seperti:

  • Pembahagian harta pusaka
  • Proses tuntutan di Amanah Raya atau Pejabat Pusaka Kecil

Kesimpulan

Proses permohonan perintah faraid ini penting untuk memastikan hak setiap waris diiktiraf secara sah dan adil. Walaupun prosedurnya nampak teknikal, ia bertujuan melindungi hak waris dan mengelakkan konflik.

Oleh itu, adalah digalakkan untuk merancang dan menyusun dokumen harta pusaka lebih awal agar waris tidak terbeban selepas pemergian kita.

Nota Tambahan: Jika anda tidak pasti cara mengisi borang atau menyediakan dokumen, dapatkan bantuan daripada perunding perwarisan atau pihak yang berpengalaman dalam pengurusan pusaka Islam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top