Prosedur Permohonan Perintah Faraid Di Mahkamah Syariah

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Faraid ialah kaedah pembahagian harta pusaka orang Islam yang telah meninggal dunia, berdasarkan hukum syarak. Ia menetapkan bahagian yang sepatutnya diterima oleh setiap waris yang sah.

Untuk pengurusan harta pusaka, adakalanya memerlukan perintah faraid untuk kepastian waris dan bahagian mereka. Oleh itu, artikel ini menjelaskan sedikit maklumat berkaitan hal ini.

Maklumat ini telah dirujuk ahlinya. Apapun, untuk kepastian lanjut, maka tuan puan disyorkan untuk merujuk Mahkamah Syariah untuk maklumat terkini jika ada perubahan.

Klasifikasi Nilaian Kes Faraid

Penentuan nilai harta pusaka dalam sesuatu permohonan Perintah Faraid adalah penting bagi menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang berkenaan — sama ada di bawah Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah.
Secara umumnya, klasifikasi tersebut dibahagikan kepada dua kategori utama seperti berikut:

Pertama, Mahkamah Rendah Syariah.

Permohonan Perintah Faraid yang didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah adalah bagi kes di mana jumlah keseluruhan nilai harta pusaka tidak melebihi seratus ribu ringgit (RM100,000.00).

Kedua, Mahkamah Tinggi Syariah.

Permohonan Perintah Faraid yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Syariah pula melibatkan kes di mana nilai keseluruhan harta pusaka melebihi seratus ribu ringgit (RM100,000.00). Selain itu, kes faraid berlapis (munasakhat) juga hendaklah didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah kerana melibatkan tuntutan pusaka yang lebih kompleks.

Nota: Saya dapat maklumat bahawa ada negeri berbeza nilaian sama ada ia dimohon di Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah. Untuk kepastian, tuan puan perlu rujuk Mahkamah Syariah negeri masing-masing.

Langkah-Langkah Permohonan Perintah Faraid

Permohonan perakuan faraid dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah di negeri masing-masing. Berikut adalah langkah-langkahnya:

Langkah 1: Dapatkan borang permohonan.

Waris yang ingin membuat permohonan perlu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan borang permohonan perakuan faraid. Pegawai di kaunter akan memberikan senarai semak dokumen yang perlu disediakan.

Langkah 2: Isi borang dan sediakan dokumen.

Pemohon (mestilah salah seorang waris yang berhak) perlu:

Pertama, mengisi borang permohonan dengan lengkap.

Kedua, sertakan dokumen berikut:

  • Sijil Kematian Asal dan Salinan.
  • Salinan IC pemohon & waris-waris.
  • Salinan kad pengenalan semua waris (atau dokumen pengenalan diri).
  • Borang A (dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah).
  • Laporan nilaian harta (juga dari Pejabat Tanah Daerah).
  • Salinan dokumen berkaitan harta alih dan tak alih.
  • Jika harta di bawah Amanah Raya Berhad, surat rasmi dari Amanah Raya menyatakan jumlah nilai aset si mati.

Ketiga, bayaran pendaftaran dikenakan bergantung kepada nilai harta pusaka.

Langkah 3: Serahkan borang dan dokumen ke Mahkamah.

Setelah semua dokumen lengkap, serahkan permohonan di kaunter Mahkamah Syariah.

Langkah 4: Terima tarikh siasatan atau bicara.

Pihak mahkamah akan memberikan tarikh perbicaraan/siasatan ahli waris. Pemohon perlu hadir bersama dua orang saksi lelaki.

Langkah 5: Siasatan dan keputusan Mahkamah.

Pada hari siasatan, semua waris yang hadir akan ditanya tentang status waris dan aset si mati.

Jika tiada pertikaian dan semua dokumen lengkap, keputusan akan diberi terus pada hari yang sama.

Jika terdapat keraguan atau ketidaklengkapan maklumat, mahkamah akan menangguhkan kes dan memberi tarikh lain untuk siasatan lanjutan.

Langkah 6: Ambil Sijil Perakuan Faraid.

Setelah keputusan dikeluarkan, pegawai mahkamah akan memaklumkan tarikh untuk mengambil Sijil Perakuan Faraid. Sijil ini diperlukan untuk langkah seterusnya seperti:

  • Pembahagian harta pusaka.
  • Proses tuntutan di Amanah Raya, Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.

Kesimpulan

Proses permohonan perintah faraid ini penting untuk memastikan hak setiap waris diiktiraf secara sah dan adil. Walaupun prosedurnya nampak teknikal, ia bertujuan melindungi hak waris dan mengelakkan konflik.

Oleh itu, adalah digalakkan untuk merancang dan menyusun dokumen harta pusaka lebih awal agar waris tidak terbeban selepas pemergian kita.

Nota Tambahan: Jika anda tidak pasti cara mengisi borang atau menyediakan dokumen, dapatkan bantuan daripada perunding pewarisan atau pihak yang berpengalaman dalam pengurusan pusaka Islam.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

2 thoughts on “Prosedur Permohonan Perintah Faraid Di Mahkamah Syariah”

  1. Assalamualaikum
    Saya dalam proses menguruskan Pusaka Arwah Tok yang meninggal pada 2010. Nama Bapa tiada lagi didalam geran, pihak pejabat tanah suruh buat urusan di pejabat pusaka kecil (secara online). Soalan saya : Adakah masih perlu ke Mahkamah Syariah untuk dapatkan sijil Faraid yang baharu?

    1. Waalaikumussalam,

      Untuk pengurusan pusaka yang utama adalah di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil. Jadi perintah yang dikeluarkan itulah yang terpakai di pejabat tanah. Perintah faraid bertujuan untuk mengesahkan sahaja dan ia adalah option jika diperlukan oleh pegawai pusaka. Selalunya jika masalah pusaka 2 3 lapis sahaja, pihak pegawai pusaka tak perlukan perintah faraid kerana mereka sendiri dapat kira untuk bahagian waris.

      Apapun, ia kembali kepada situasi waris dan juga harta yang ada.

      Allahu A’lam.

Leave a Reply to Abu Nuha Nuwairah Cancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top