Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Persoalan
Assalamualaikum,
Saya memiliki isteri dan 2 anak perempuan sahaja dan tiada anak lelaki dan 2 adik beradik lelaki seibu sebapa. Bagaimana pewarisan harta saya jika berlaku kematian? Saya mengenali adik beradik saya tidak mampu menjaga kebajikan anak-anak saya. Apakah perancangan yang boleh dibuat untuk maslahah anak-anak saya?
Bolehkah saya hibahkan semua harta saya kepada isteri saya?
Jawapan
Waalaikumussalam, soalan yang bagus untuk dikongsi kepada tuan dan juga masyarakat luar sana yang hadapi masalah yang sama. Untuk menjawab persoalan ini saya cuba untuk ringkaskan dalam perkongian kali ini. Topik ini panjang bahkan jika dijelaskan dalam satu sesi konsultansi boleh mengambil masa 2 jam. Bahkan lebih daripada itu lagi jika dikupas satu persatu.
Pembahagian Isu
Tuan, merancang harta ini ada beberapa perkara yang perlu diambil berat:
Pertama, pengurusan harta pusaka. Siapa yang akan uruskan jika berlaku kematian? Punca harta beku ialah disebabkan pengurusan pusaka tidak diurus. Untuk selesaikan masalah ini, tuan ada 2 pilihan iaitu sediakan khairat pusaka ataupun biarkan harta tersebut diurus oleh waris-waris. Pilihan pertama menjamin harta akan diurus oleh pakar dan pilihan kedua tiada jaminan harta tersebut di urus dengan baik.
Perkongsian tentang khairat pusaka sudah dijelaskan dalam posting:
1) Khairat pusaka, pengurusan harta percuma. (tekan sini)
2) Mengapa perlu sertai khairat pusaka? (tekan sini)
3) Kelebihan dan kekurangan khairat pusaka. (tekan sini)
Kedua, perancangan harta dengan instrumen yang betul.
Berdasarkan senarai waris, saya simpulkan di dalam poster.
Cuba tuan perhatikan, bahagian anak-anak sebenarnya telah dijamin oleh Allah melebihi waris lain iaitu 32/48 (16/48 seorang). Bahagian saudara lelaki pula 5/48 setiap orang. Bahagian isteri 6/48 tidak dinafikan sedikit. Namun saya sudah jelaskan di dalam posting lepas. (tekan sini)
Jika dilihat pembahagian tersebut, itulah yang ditetapkan syarak kepada ahli waris yang berhak. Tidak ada yang boleh dipertikaikan.
Memandangkan saudara lelaki seibu sebapa dapat 10/48 dan jumlah tersebut agak tinggi jika kita lihat kepada nilai harta yang RM208,333.33. Andai kata nilai tersebut pada sebuah rumah, agak membebankan jika jumlah tersebut dituntut oleh mereka. Kebarangkalian rumah terpaksa dijual untuk dapatkan tunai. Apa jalan keluar untuk masalah ini?
Solusi yang boleh diambil ialah hibah. Ini kerana hibah adalah pemberian secara sukarela semasa hidup dan berkuat kuasa semasa hidup. Ini bermakna jika rumah tersebut dihibahkan, ia terkeluar daripada harta dan tidak menjadi pusaka tuan.
Persoalan
Persoalan tuan bolehkah hibahkan semua harta kepada isteri?
Dari segi hukum, harta tuan semasa hidup adalah hak milik tuan dan tuan boleh buat apa sahaja dengan harta tersebut. Nak sedekahkan, nak hibahkan, nak waqafkan, nak jualkan dan sebagainya, maka tiada halangan untuk tuan berbuat demikian. Namun, semua yang tuan lakukan tindakan tersebut dengan niat yang bercanggah dengan apa yang Islam gariskan seperti hibahkan semua harta untuk lari daripada pembahagian faraid, maka niat tersebut adalah salah. (tekan sini)
Kenalpasti
Oleh itu, tuan boleh hibahkan harta yang ada atas dasar kasih sayang, atas dasar kebajikan anak-anak dan isteri maka tiada masalah untuk berbuat demikian. Namun begitu, sebelum tuan hibahkan harta, tuan perlu raikan 3 perkara besar:
Pertama, pastikan tuan tiada hutang. Ini kerana pemberian hibah adalah sunat dan pembayaran hutang adalah wajib. Tidak wajar jika perkara wajib diabaikan lebih-lebih lagi berkaitan dengan hak Allah, hak manusia dan hak organisasi.
Kedua, keperluan kelangsungan hidup. Apabila hibahkan semua harta, ini bermakna tuan tidak memiliki harta bahkan tuan menumpang harta orang lain.
Ketiga, pastikan semua kewajipan nafkah sebagai ayah, suami dapat ditunaikan dengan baik. Begitu juga kewajipan ibadah seperti haji dan lain-lain.
Oleh itu, apabila ada yang bertanya kepada saya adakah boleh hibahkan semua harta. Maka saya minta untuk mempertimbangkan persoalan di atas. Kita lebih berhak menikmati harta yang diusahakan semasa hidup dan harta tersebut kita boleh manfaatkan untuk ibadah berkaitan dengan harta seperti zakat, haji, korban dan sebagainya.
Nasihat saya, jika tuan nak hibahkan, maka pilih harta tertentu sahaja seperti rumah, hartanah dan lain-lain yang sukar untuk dibahagikan serta rumit pengurusannya. Harta-harta lain seperti wang tunai dalam bank, saham dan sebagainya dibiarkan terus menjadi hak milik demi kewajipan yang saya utarakan di atas dan juga meraikan semua waris merasai pusaka jika berlaku kematian.
Jika tuan ada persoalan tentang hibah bersyarat, seperti pemberian hibah dengan syarat pemberi boleh ambil manfaat daripada harta tersebut sepanjang hidup, maka perkongsian hibah bersyarat saya akan kongsikan pada perkongsian mendatang. Secara ringkasnya, sekiranya syarat tersebut tidak menzalimi penerima dan juga tidak melanggar konsep hibah serta syariat, maka syarat tersebut boleh dilaksanakan.
Adakah wasiat boleh menyelesaikan masalah?
Persoalan ini sering menjadi salah faham terutama wasiat yang diberikan kepada waris. Padahal wasiat kepada waris adalah terbatal. Jika tuan berwasiat rumah, kereta tertentu kepada anak perempuan contohnya, maka wasiat tersebut tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan persetujuan waris lain dengan menggunakan konsep takharuj iaitu pelepasan hak.
Jika ada waris tidak bersetuju dengan wasiat tersebut, maka pembahagian kembali kepada faraid. Ini kerana wasiat adalah pemberian masa hidup dan berkuat kuasa selepas mati. Wasiat hanya terpakai kepada bukan waris. Oleh itu, wasiat tidak boleh memenuhi perancangan yang dibuat oleh pemilik harta jika diberikan kepada waris.
Kesimpulan
Tuan perlu meraikan dua perkara besar iaitu pengurusan harta pusaka dan perancangan harta tuan. Pengurusan harta pusaka boleh diselesaikan dengan khairat pusaka dan perancangan harta pula menggunakan instrumen hibah. Jika ada hasrat untuk berikan kepada bukan waris, tuan boleh wasiatkan tetapi tidak boleh lebih 1/3 daripada harta bersih.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Allahu A’lam.