Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Univerisiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.
Isi Kandungan
Definisi Lepas Hak (التخارج)
Lepas hak, atau dalam bahasa Arab disebut “التخارج”, merujuk kepada satu perjanjian atau persetujuan antara para waris untuk mengeluarkan salah seorang atau beberapa orang daripada bahagian mereka dalam warisan dengan pertukaran sesuatu nilai tertentu yang boleh datang daripada harta pusaka itu sendiri atau daripada sumber lain. Dalam situasi lepas hak, seorang waris boleh melepaskan haknya kepada waris yang lain dengan balasan seperti wang atau aset lain yang disepakati.
Sebagai contoh, dua orang waris boleh mencapai persetujuan di mana salah seorang akan mengambil alih bahagian waris yang lain dengan memberikan jumlah wang atau harta tertentu. Ini bermakna waris yang melepaskan haknya tidak lagi mempunyai tuntutan terhadap pusaka, dan bahagiannya kini dimiliki oleh waris yang lain.
Hukum Lepas Hak Dalam Warisan
Lepas hak dibenarkan dan sah dalam Islam, asalkan ia dilakukan secara suka rela dan dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat. Tidak ada unsur paksaan atau penipuan yang boleh mencemari perjanjian tersebut. Keabsahan lepas hak ini disokong oleh pelbagai dalil dari sejarah Islam, termasuk kes yang melibatkan sahabat Nabi, Abdur Rahman bin ‘Auf.
Dalam satu riwayat, Abdur Rahman bin ‘Auf telah menceraikan isterinya, Tamadir binti al-Asbagh al-Kalbiyyah, semasa beliau sedang sakit tenat. Selepas beliau meninggal dunia, Tamadir masih berada dalam tempoh edah, dan dia berhak mewarisi harta suaminya bersama tiga isteri yang lain. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga isteri tersebut bersetuju untuk menyelesaikan bahagian Tamadir dalam pusaka dengan memberikan kepadanya sejumlah 83,000. Ada pendapat yang mengatakan jumlah tersebut adalah dalam bentuk dinar, sementara ada yang mengatakan ia dalam bentuk dirham. Kisah ini menjadi salah satu contoh yang menunjukkan kesahihan dan kebolehlaksanaan lepas hak dalam Islam.
Lepas Hak Menurut Undang-Undang
Berdasarkan undang-undang di Malaysia di dalam pengurusan pusaka di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil juga membenarkan apabila ada waris ingin lepaskan hak mereka. Apabila seorang waris melepaskan haknya kepada waris yang lain, waris yang menerima hak tersebut akan menggantikan kedudukan waris yang keluar dalam memiliki bahagian harta pusaka itu.
Sekiranya lepas hak berlaku antara seorang waris dan waris-waris lain, dan jika balasan yang diberikan kepada waris yang melepaskan haknya datang daripada harta pusaka, maka bahagian waris tersebut akan dibahagikan kepada waris-waris lain mengikut kadar nisbah yang sama. Namun, jika balasan diberikan daripada harta peribadi para waris yang lain, dan cara pembahagian bahagian tidak dinyatakan secara spesifik dalam perjanjian, maka bahagian waris yang keluar itu akan dibahagikan secara sama rata antara semua waris yang tinggal.
Kesimpulan
Lepas hak (التخارج) adalah satu konsep yang penting dalam pengurusan pusaka, di mana para waris dapat mencapai persetujuan untuk menyelesaikan hak waris tertentu dengan cara damai dan berlandaskan hukum syarak. Amalan ini membolehkan para waris mengelakkan konflik dan persengketaan mengenai pembahagian harta pusaka, terutamanya dalam situasi di mana sebahagian waris mungkin tidak ingin atau tidak memerlukan bahagian mereka dalam warisan. Oleh itu, lepas hak menyediakan fleksibiliti dalam pengurusan pusaka dan membantu memastikan pembahagian harta pusaka dapat dijalankan dengan lancar dan adil.